TERINGAT SUATU KETIKA DAHULU : SUP KAMBING DAN THRASH METAL

Ada sesiapa yang pernah ke Bangsar? Atau lebih tepat Bangsar lama, Lucky Garden. Dekat situ terdapat satu gerai makan sup yang amat dikenali bagi mereka yang tinggal disekitar kawasan itu. Gerainya gerai bodoh sahaja. Tepi jalan. Tapi, sup kambing dia memang power. Walau RM10 satu mangkuk besar, namun harga yang melampau mahal itu boleh diabaikan dengan kesedapan yang marbeles sup itu.

Hamba masih ingat, awal tahun 80-an, semasa hamba disekolah rendah, ayah hamba kerap juga belanja kami anak-beranak makan di gerai sup mamak itu selepas gunting rambut. Gerainya berdekatan dengan kedai gunting rambut. Punyalah sedap sup itu, lebih-lebih lagi jika waktu sejuk selepas hujan, fuih.... memang power!

Nostalgia makan sup mamak bersama ayah kembali terngiang-ngiang di kepala. Ketika hamba selesai solat asar di masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar semalam, tiba-tiba terasa sangat ingin memakan sup yang marbeles itu.

'Sup kambing satu, letak roti sekali.' Itulah ayat yang dinanti-nanti oleh mamak menjual sup itu. Satu pelanggan yang gemuk sudah datang. Dan penantian mamak itu untuk mendapat untung yang lebih sedikit dari seorang yang perut besar seperti hamba ini berbaloi kerana bukan sahaja itu sahaja order dari hamba, tetapi ada beberapa order tambahan oleh hamba, iaitu tambahan roti dan satu lagi sup kambing, bungkus!

Bukan untuk hamba sambung makan di rumah, tetapi hamba teringatkan ayah hamba yang mengesyorkan sup kambing mamak ini kepada hamba semasa hamba kecil dahulu. Jasa ayah akan tetap dikenang. Satu sup kambing khas untuk ayah di rumah.

Licin.


Sambil makan sup sorang-sorang digerai mamak itu, hamba termenung seketika peristiwa-peristiwa lama semasa hamba bersekolah menengah dan bujang dahulu. Banyak perkara yang hamba fikirkan.


Jikalaulah kawan-kawan hamba semasa sekolah dahulu melihat hamba, mesti mereka rasa pelik dan semacam dengan cara gaya perwatakan hamba. Macam ustaz. Kononnyalah. Tetapi hamba bukannya ustaz. Jauh lagi orang yang berilmu tentang Islam. Hamba cuma ingin menjadi baik. Mungkin.

Mungkin dalam proses ingin menjadi baik, maka Allah jadikan perwatakan hamba seperti seorang ustaz. Bukannya apa, jika hamba membeli nasi lemak di gerai-gerai, mereka akan panggil hamba ustaz, jika berborak-borak dengan orang yang baru kenal, mereka akan panggil hamba ustaz dan jika hamba berborak dengan para ustaz, ustaz-ustaz itu juga akan panggil hamba ustaz. Pelik. Dan memeningkan hamba. Malah hamba malu kepada Allah kerana hamba tahu akhlak hamba adalah jauh untuk diberikan title ustaz. Amat jauh..

Semasa hamba sekolah menengah dan bujang trang tang-tang dahulu, hamba ini berwatak mat rock sikit. Sikit je la, tak banyak. Jiwa hamba dahulu adalah jiwa kasar. Minat lagu-lagu 'berat'. Bukannya lagu-lagu jiwang. Hamba minat lagu Thrash Metal, Heavy Metal dan Black Metal.

Jika sekarang ini, mereka sibuk-sibuk dengan rosaknya akidah budak-budak dengan lagu Black Metal, hamba sudah dengar lagu itu semasa hamba disekolah menengah dahulu. Tetapi dengar lagu jelah, bukannya ikut sekali rentak perangai si kafir laknat itu.

Kumpulan yang hamba minat dahulu adalah Sepultura, Black Sabbath dan Metallica. Memang hamba dahulu telah jauh lari dengan minat hamba mendengar lagu-lagu pelik pada zaman itu. Oleh sebab itu jugalah hamba berasa tidak kekok jika berborak bersama-sama para remaja yang mendengar lagu berat ini. Memudahkan lagi hamba untuk berdakwah kepada mereka untuk kembali kepada Islam dan perjuangan Islam.

Malah, hamba berkata kepada mereka, Islam itu adalah indah, sangat indah, dan kamu semua akan berasa sungguh seronok bersama-sama didalam Islam itu. Bukan setakat mengamalkan Islam, tetapi berjuang menegakkan Islam didalam masyarakat. Malah, kamu semua jika minat sangat lagu berat ini, hamba pun masih dengar lagu berat ini, tetapi hanya Metallica, sebab mereka tidak memuja syaitan seperti kumpulan Black Sabbath..


Death Magnetic. Haru biru juga jika Ketua cawangan tahu hamba ada mendengar lagu sebegini..:)


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?