KERJA HAMBA, PASIR DAN SINGAPURA.

Letih sungguh hari ini. Kesibukan kerja sehingga menyebabkan hamba makan tengah hari jam 4 petang tadi. Hamba seorang jurutera. Jurutera Faundri. Kerja-kerja kasting yang melibatkan penuangan logam.


Sesiapa yang ada melihat cerita Discovery Channel dalam Astro tentang kerja penuangan besi dan keluli, itulah kerja hamba. Kerja yang tidak glamour. Berurusan dengan kerja yang kotor, panas, bertoksid dan sangat merbahaya.


Petang jam 2.20 petang tadi ada penuangan logam besi seberat 2 ton, suhu penuangannya adalah sekitar 1,400'C. Melihat kepada cecair itu sahaja sudah memedihkan mata. Panas yang melampau. Serupa berada didalam larva gunung berapi.


Walaupun merbahaya, tetapi jika dikawal dan dijaga keadaan mengikut pengiraan kejuruteraan dan pengalaman, maka situasi bahaya itu dapat dikawal dan dikendalikan, insyaAllah. Namun jika silap perkiraan, maka diharap jangan ada perkara buruk yang berlaku. Tempat kerja hamba pernah terjadi satu letupan besar terhadap relau 100kg. Namun letupan itu alhamdulillah, tidak ada yang melibatkan kematian. Tidak seperti apa yang berlaku di Perwaja Steel dahulu.


Kerja faundri ini, walaupun tidak glamour, namun hamba cukup minat, sudah 10 tahun hamba berkecimpung didalam bidang ini. Walaupun kadang-kadang tidak tahan dengan karenah orang atasan yang seperti diktator, namun kerana minat yang cukup mendalam, maka hamba teruskan juga dengan kerja ini.


Logam yang dilebur didalam relau akan dituang didalam acuan yang telah dibentuk menjadi rupa produk yang diingini didalamnya. Acuan yang digunakan adalah acuan pasir. Proses membuat acuan pasir atau 'moulding' adalah menjadi tanggung jawab hamba sebagai juruteranya. Pasir yang digunakan adalah pasir silika. Pasir yang disebut-sebut oleh Dr. Mahathir yang dijual oleh Johor kepada Singapura sebanyak 700 lori sehari.


Pembelian pasir silika itu, atau nama Inggerisnya, 'Dried Silica Sand', adalah dibawah tanggungjawab hamba. Satu ton, adalah disekitar RM150-200, mengikut 'mesh number'nya.


Apa yang hamba nampak, pasir silika yang dibeli jika ianya berasal dari Johor, kualitinya amat tidak memuaskan. Terlalu banyak habuk jika hendak dibandingkan dengan Perak dan Selangor (Selangor sekarang tidak dibenarkan menjual pasir). Dahulunya, semasa akhir 90-an, pasir johor adalah cukup elok dan baik, namun semenjak masuknya tahun 2000, pasirnya merudum teruk kualitinya.


Setelah membaca blog TDM, maka memang betullah sangkaan hamba selama ini, pasir yang bagus dijual kepada Singapura dan lebihan pasir yang tidak dijual, barulah dijual ke Malaysia. Cap ayam sungguh! Serupa kes air juga kita ini dibuatnya jika ada urusan berkait rapat dengan Singapura. Teruk sungguh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?