MASJID PERLU DIBEBASKAN DARIPADA PEMIKIRAN SEKULARISME.

Hamba selalu mendengar dari ahli-ahli kariah masjid yang mengatakan jangan masukkan hal-hal politik didalam masjid. Sehinggakan AJK-AJK masjid yang sejemaah dengan jemaah Islam pun ada yang mengatakan 'hal masjid, masjid, hal politik, markas.' Betulkah pendirian itu?

Sultan seluruh Malaysia, jika bertitah berkenaan cerita masjid, mesti baginda akan bertitah, jangan jadikan masjid sebagai medan politik. Lebih-lebih lagi di Selangor. Pelik, tetapi itulah realiti kehidupan sekarang ini, masjid dan politik tidak boleh dicampur adukkan.

Jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sahaja, maka akan seperti perbuatan yang berdosa dan boleh membatalkan iktikaf di masjid jadinya jika kita berkata-kata perihal politik tanah air. Mulut seseorang yang menyebut hal-hal politik seperti dilabelkan sebagai manusia kurang ajar lagi biadap.

Mengapa begitu anggapan orang ramai? Sehinggakan ustaz-ustaz yang berceramah di masjid pun ada berkata, 'Ana kuliyyah Maghrib tidak pernah pun menyebut berkenaan dengan politik, mengapa pihak sana masih hendak 'ban' ana?'. Ya, sehingga begitu sekali kotornya politik jika ianya disebut didalam masjid, rumah Allah.

Mengapa manusia Muslim sekarang ini telah melabelkan politik itu kotor dan kotor itu adalah politik? Mengapa jika disebut politik sahaja, maka akal insan yang mendengar itu akan beristighfar banyak-banyak kerana sangkaan politik itu adalah seperti laluan ke neraka? Mengapa? Mengapa majoriti umat Islam diseluruh dunia beranggapan politik itu adalah satu budaya kotor, budaya tikam belakang, kutuk-mengutuk, tipu menipu. Mengapa?

Jawapannya mudah. Golongan sekular memang sengaja membenihkan kepada akal fikiran umat Islam bahawa berpolitik itu kotor lagi menjijikkan. Sesiapa sahaja yang ingin berkecimpung ke dalam arena politik, maka insan itu perlulah terlebih dahulu menjadi munafik terlebih dahulu. Hipokrit. Jika tidak hipokrit, maka jangan anda dekat dengan politik.

Begitu licik puak kafir hendak menjauhkan umat Islam dengan politik. Begitu mudah, puak fasik memitoskan satu kaedah untuk menjauhkan orang masjid daripada berkecimpung ke arena politik.

Orang masjid, biarlah di masjid. Orang politik, biarlah puak fasik menceburinya. Maka disitu, sahlah, puak sekularis telah berjaya menyesatkan umat Islam agar memisahkan politik dengan Islam. Jika ini berterusan, maka akan mudahlah para pemerintah yang akan memerintah nanti adalah dari golongan yang tidak beragama, tidak beriman dan tidak kesah halal-haram. Kemahuan menghalalkan cara. Maka akan timbullah para pemimpin yang beriktikadkan kapitalis.

Sepatutnya, Masjidlah yang menjuarai masyarakat didalam bercerita bab politik. Sepatutnya, masjidlah menjadi tempat berdiskusi diantara masyarakat untuk memilih pemimpin. Bukan setakat memilih AJK masjid, bukan setakat memilih Nazir masjid, tetapi wajib menjadi tempat mencetuskan idea untuk memilih pemimpin negara, memilih wakil Parlimen, memilih wakil DUN dan memilih pemimpin umat Islam seluruh dunia.

Masjid bukan hanya tempat bersolat 5 waktu, tetapi masjid adalah sebuah markas politik umat Islam untuk memilih kepimpinan. Masjid perlu dibebaskan daripada belenggu pemikiran sekularisme. Masjid perlu menjadi medan mewujudkan kembali negara daulah Islam. Masjid perlu wajib menjadi tempat dakwah untuk menyedarkan umat Islam agar mewujudkan kembali Khalifah Islam yang musnah pada 1924 yang lalu. Masjid wajib kembali menjadi masjid!

Sesiapa mengamalkan Agama suku, politik suku, ianya adalah haram, sesat, kufur lagi menjatuhkan akidah. (suku = asing, bahasa Terengganu)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?