PEMERINTAHAN ISLAM DI MALAYSIA: KEKALKAH JIKA DAPAT?

Hamba mendapat ijazah dalam kejuruteraan Mekanikal di Institut Teknologi Mara, atau ringkasannya ITM. Tetapi sebelum itu, hamba mengambil Diploma terlebih dahulu sebelum mengambil ijazah muda, juga di ITM. Maknanya, hamba adalah seorang jurutera yang telah dibina oleh sistem pembelajaran di ITM. Diploma, hamba mengambil masa selama 3 tahun untuk habis belajar, manakala untuk ijazah muda, hamba perlu habiskan selama 2 1/2 tahun untuk mendapat segulung ijazah itu.

Perlu juga diberitahu, hamba adalah golongan ketiga di ITM yang dapat melanjutkan pelajaran lepas diploma dengan nama 'Ijazah Sarjana Muda'. Sebelum ini sijil ini dinamakan 'Advance Diploma'.

Kawan-kawan hamba, selalu menggunakan ringkasan ITM itu sebagai Institut Tendang Melayu. Mana tidaknya, ramai kawan-kawan hamba yang mengambil diploma bersama-sama dahulu tidak dapat menghabiskan pembelajaran kerana tidak lulus didalam peperiksaan.

Pemarkahan peperiksaan di ITM semasa hamba belajar dahulu adalah terlalu ketat. Markah-markah lulus mungkin tidak pernah diturunkan oleh mereka untuk membantu siswa-siswi yang tidak kecapaian markah untuk lulusnya. Mungkin ini adalah kerana pihak ITM dahulu begitu menjaga status mereka sebagai institut pengajian tinggi. Mungkin juga, kerana namanya hanya sebagai institut, ITM terlalu menjaga reputasinya untuk menyaingi IPTA-IPTA yang lain yang nama mulanya adalah universiti.

Semasa hamba belajar diploma dahulu, siswa-siswi diwajibkan untuk mengambil bahagian didalam Kem Biro Tata Negara (BTN). BTN adalah tajaan kerajaan Malaysia. Kami perlu menyertai kem itu semasa cuti semester pertama. Namun, pihak ITM ketika itu juga ada menganjurkan kem yang lebih kurang sama dengan BTN sebanyak 2 kali. Kedua-duanya adalah wajib untuk diambil setiap siswa sebagai 'lesen' untuk mendapatkan diploma.

Kem yang dianjurkan oleh ITM itu, yang namanya hamba lupa, adalah satu kem bina semangat kepada para siswa-siswi. Lebih kurang begitulah. Kem yang pertama, ianya tidaklah teruk mana. Kem BTN lebih mencabar dari kem pertama anjuran ITM ini. Tetapi, untuk kem yang kedua, yang dilakukan semasa kami cuti di semester 3, kemnya adalah sangat mencabar.

Latihan-latihan ala tentera telah dibuat, dicampakkan didalam hutan kemudian balik sendiri tengah pagi-pagi buta jam 2 dilakukan. Tidur didalam pondok beratapkan nipah beralaskan batang buluh sahaja. Mandi air telaga. Nasib baiklah makan disediakan penganjur, bukannya buru sendiri lepas itu masak dengan resepi masing-masing. Rintangan laluan didalam hutan, jalan dalam lumpur sedalam dada sejauh 2 tiang pencawang elektrik dan macam-macam lagi. Selepas isya' pula akan diadakanlah ceramah 'motivasi' kepada kami.

Ceramah motivasinya biasalah, ianya hanya semata-mata untuk menaikkan semangat Melayu para siswa-siswi. Namun, didalam banyak ceramah-ceramah itu, apa yang hamba ingat sehingga sekarang adalah satu soalan yang dilemparkan oleh si-motivasi itu. Soalannya berbunyi ;

"Siapakah pemimpin di Malaysia ini yang paling ditakuti Amerika Syarikat?"

Maka ramailah yang memberi jawapan. Ada yang menjawab ;

"Mahathir!"

"Bukan!", jawab si-motivator.

"Anwar Ibrahim!"

"Bukan!", jawab si-motivator lagi.

"Tengku Razaleigh!"

"Pun Bukan!", jawab si-motivator. Selepas nama Razaleigh muncul, tiada lagi jawapan dari para siswa dan siswi. Maka jawablah si motivator itu, yang cara memotivasikan siswa adalah seperti penyokong kuat Anwar Ibrahim. Jawabnya ;

"Pihak Amerika paling takut pemimpin di Malaysia ini adalah Abdul Hadi Awang!". Itulah jawapan ringkas si-motivator itu.

Senyap sunyi seketika dewan kayu didalam tengah-tengah hutan di Segamat apabila nama Ustaz Abdul Hadi Awang disebut. Hamba pun terkejut juga, semasa itu Tok Guru adalah timbalan Presiden PAS dan menjadi anggota parlimen Marang yang kuat berkempen didalam Parlimen untuk meluluskan rang undang-undang murtad.

Ada juga mamat umno yang pro-Anwar itu yang menyebut nama tok guru. Bisik didalam hati hamba. Semasa itu, Anwar adalah masih TPM. Baru menggantikan Tun Ghafar Baba.

Kemudian, baru sebentar tadi hamba terbaca satu artikel didalam TKO yang bertajuk APAKAH ITU NED : WAJIB DIBACA OLEH AHLI PAS (http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=News&file=article&sid=1356). Tajuk artikel ini juga telah dikeluarkan akhbar SIASAH keluaran 19-25 Julai 09.

Apabila terbaca artikel itu, maka barulah hamba ternampak apa yang Tok Guru sudah nampak tentang masa depan gerakan Islam PAS ini. Hamba seperti terperasan bahawa adakah PAS akan menjadi pembangkang selepas ia berkuasa? Adakah PAS akan di'tendang' keluar seperti juga dahulu didalam BN, tetapi didalam PR selepas sedekad dua jika ia dapat berkuasa bersama-sama PR.

Adakah DAP akan masih bersama dengan PAS apabila sistem siasah Islam hendak dibentangkan oleh pimpinan PAS semasa PR di dalam kerajaan. Adakah PKR tidak akan bersama dengan PAS jika hudud cuba dilaksanakan, jika Al-Quran dan Sunnah Rasulullah hendak dinaikkan taraf lebih tinggi daripada perlembagaan Malaysia setelah mungkin 10-20 tahun PR memerintah?

Harap ianya tidak! Tidak akan berlaku,..... Harapnya Islam akan menang di bumi Malaysia ini, selama-lamanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?