Wujud Gerakan Melemahkan Presiden PAS?





Logikalnya adalah tidak munasabah wujud orang Islam dalam PAS boleh berfikir bahawa seorang Presiden yang diiktiraf seluruh dunia kealiman dalam bidang fiqh dan ketelitian dalam politik perlu disingkirkan dari mengemudi sebuah gerakan Islam bersifat tempatan. Seorang yang diangkat sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, bekas Setiausaha Majlis Perundingan Al-Aqsa, wakil Sunni dalam rundingan damai Sunni-Syiah tiba-tiba cuba untuk disunyikan dari sebuah tugas yang jauh lebih kecil dari itu.


Tapi ini semua telah berlaku. Pencalonan Presiden yang dibuat oleh kawasan Kota Bharu dengan memanggil semua media menjadi suatu fenomena baru yang amat songsang dalam PAS. Perancangan yang begitu licik diatur dengan mencalonkan Naib Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man adalah bukti wujudnya mainan di belakang tabir. Selama ini tidak pernah keluar dari YDP Kota Bharu, Dato Wan Rahim menyokong kenyataan-kenyataan Dato' TITM. 



Dato' TITM sudah dikenali pendiriannya yang menolak PasMa, Dato Wan Rahim pula selalu memuji-muji serta membela PasMa. Dato TITM juga sering mengingatkan ahli untuk teguh dibelakang Presiden dan menyokongnya, tetapi Dato Wan Rahimlah orang paling terkenal yang konsisten mengkritik setiap laku Presiden secara terbuka.

Tiba-tiba semalam, beliau setuju lantik TITM sebagai Presiden?


Percayalah. Ini sekadar sandiwara sahaja. Sebenarnya mereka bukan mahukan kepimpinan TITM pun. Mereka sekadar cuba nak lagakan antara TITM dan TGHH yang selama ini teguh seiringan. Mereka ada rancangan lain selepas keadaan dalaman PAS tambah berkecamuk. Merekalah kumpulan yang merosakkan keharmonian PAS selama ini!

Selama ini jawatan tidak menjadi buruan. Selama ini pemilihan bukan suatu yang penting dalam PAS kerana masing-masing tidak bernafsu untuknya. Tapi hari ini, kumpulan mereka telah ajar ahli PAS untuk bercakap soal pangkat dan jawatan, meniru parti-parti seperti UMNO, MIC, dan PKR.

Grand design bagi permainan ini sangat besar. Pengaruh TGHH sedang pesat membangun. Watak seorang kepimpinan gerakan Islam dalam masa yang sama genius dalam bidang akademik amat tidak disenangi barat dan zionis. Musuh Islam melihat keterlibatan TGHH di arena antarabangsa sebagai bahaya yang perlu disekat. 

Jika tidak disekat, semangat jihad yang ada padanya, kepakaran tarbiyah yang boleh membangun rijal-rijal pejuang, pengalaman politik demokrasi yang amat luas, hubungan dengan musuh-musuh barat yang sekian lama terjalin, kepetahan pidato yang memukau, kebolehan menghurai isi Al-Quran dan Sunnah dengan begitu hebat, semua ini mampu untuk menggerakkan suatu kebangkitan baru dalam masyarakat Islam dunia.

Lihatlah bukti di depan mata. Jemputan luar negara yang diterima samada atas kapasiti sebagai pemimpin gerakan Islam, ataupun atas kapasiti tokoh Ulama amat banyak. Kehadiran beliau ke sesebuah negara dimanfaatkan semaksima mungkin dengan wacana, pidato, dialog, rakaman TV, siaran langsung, radio, ulasan akhbar dan sebagainya. Universiti, stesen penyiaran TV, konti radio, parti politik, badan kerajaan, parlimen, jemaah-jemaah Islam semuanya memanggil beliau untuk berdiskusi tentang pelbagai perkara. 

Orang-orang besar negara turun menyambut kedatangan beliau walaupun beliau belum memegang apa-apa autoriti untuk kerajaan Malaysia. Dia Ulama versatil yang serba boleh. Hanya satu dalam 6 billion umat manusia.

Kempen TGHH di peringkat antarabangsa sejak dari dulu adalah menyedarkan umat Islam yang hanyut dalam perbalahan sesama Islam ciptaan barat, bahawa musuh sebenarnya adalah Amerika dan Zionis. TGHH konsisten mempromosikan kesatuan Islam sejak dari dulu. Penganjuran Himpunan Antarangsa di Rusila dalam masa terdekat ini menjadi igauan dunia barat. Wakil jemaah Islam dari 50 buah negara bakal berkampung di tempat TGHH, cukup untuk membuat musuh tidak senang duduk. 

Musuh Islam tidak mahu umat Islam sedar. Musuh tidak suka umat Islam bersatu. Apa yang difikirkan musuh, orang seperti ini perlu dibanteras segera. Langkah membunuh karektor TGHH perlu segera dicatur. Fikir mereka, untuk mematikan pohon yang menjulang tinggi, potong saja akarnya. Untuk menghapuskan TGHH yang dijulang tinggi, potong saja akarnya di Malaysia!

Justeru perlu untuk kita fikirkan segera masadepan umat Islam. Jangan kecilkan pandangan hanya kepada Putrajaya dan jawatan Menteri. Ingat kembali matlamat gerakan Islam setempat seperti yang digariskan Imam Hasam AlBanna, iaitu untuk mendirikan sebuah kesatuan Umat Islam sejagat, bukan sekadar sebuah negara bangsa.

AlMarhum Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan, antara bentuk penyelewengan jalan dakwah ialah apabila hanya menghadkan perancangan sekadar membebaskan negara masing-masing sahaja, tanpa mempedulikan masa depan Islam keseluruhan.

Jangan sampai kita diperlaku seperti buah catur di atas papan permainan musuh. Demi Islam sejagat, pertahankan TGHH!

(Alang Ibn Shukrimun)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?