Bajet 2015 hanya cantik pada angka - TGHA

SHAH ALAM - Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak minggu lalu disifatkan gagal menjawab masalah utama yang menghantui ekonomi Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, empat masalah utama iaitu struktur asas ekonomi Malaysia yang tidak kukuh; kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat; daya saing ekonomi Malaysia dan kemampanan ekonomi negara, membuktikan kerajaan masih belum ada hala tuju jelas bersabit ekonomi negara.

"Selagi mana kerajaan gagal untuk menjawab dan bertindak secara konkrit kepada semua persoalan-persoalan di atas, maka maklamat negara berprestasi tinggi atau apa saja sasaran yang diletakkan oleh kerajaan akan hanya menjadi retorik politik.

"Ianya sekadar cantik pada angka dan statistiknya, tetapi tidak memberi makna yang sebenar kepada rakyat marhaen dalam negara kita ini," jelas Abdul Hadi.

"Penekanan secara tidak bersepadu dalam pendekatan ekonomi hanya akan melemaskan lagi rakyat dalam suasana tekanan sara hidup yang sudah cukup membebankan. Pendekatan fiskal melalui pengurangan subsidi dan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) (di mana kami menolak pelaksanaan GST ini) hanya akan terus meningkatkan lagi inflasi dan sara hidup rakyat," tambahnya lagi.

Menurut Abdul Hadi lagi, setelah meneliti intipati bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, kerajaan nampaknya tidak menekankan sektor perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada ekonomi negara.

"... sumbangan sektor perkhidmatan yang substantif iaitu sekurang-kurang 70 peratus dari KDNK negara.

"Namun sasaran kerajaan yang hanya meletakkan 60 peratus sumbangan sektor perkhidmatan dalam tahun 2020 membuktikan kerajaan tidak menekankan atau bersedia ke arah struktur ekonomi yang betul untuk Malaysia," katanya.

Malah ujar Abdul Hadi, Bajet 2015 kerajaan juga gagal memperincikan langkah-langkah ke arah meningkatkan produktiviti negara bagi mengatasi kadar pertumbuhan produkitiviti yang semakin merosot.

"Malah kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia adalah lebih rendah dari kebanyakan jiran-jiran negara Asean yang lain.

"Struktur ekonomi yang mampan dan berdaya saing, sepatutnya mengambil kira elemen-elemen penting pertumbuhan ekonomi seperti input buruh, input modal dan faktor produktiviti keseluruhannya," katanya.

Malah menurut Ahli Parlimen Marang itu, tindakan kerajaan menambah pemberian BR1M dan pada masa sama mengurangkan subsidi akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Tidakkah ini juga akan menghasilkan kesan yang sama seakan inflasi, iaitu mengherot keseimbangan ekonomi negara, dan yang lebih teruk, akan juga mengurangkan produktiviti, menjejaskan daya saing dan meningkatkan lagi inflasi," tegas Abdul Hadi lagi.

sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?