Mari sama-sama kita sebut syahadah

Selasa, September 02, 2014

PAKATAN RAKYAT; MENGUNTUNGKAN PAS?

Timbalan Presiden ada menyatakan, bahawa tahaluf siyasi adalah satu-satunya cara untuk PAS menang dalam pilihanraya Malaysia. Beliau berkata, semenjak PRU kedua lagi, PAS telah menjalankan kerja tahaluf siyasi bersama Parti Negara untuk menang di Kelantan dan Terengganu.

Jika hendak lebih terperinci, sila baca artikel ini; Tahaluf siyasi punca utama kejayaan PAS

Konteks yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden PAS itu, adalah dari segi konteks yang umum. Ianya bukan menjuruskan kepada Pakatan Rakyat (PR). Kerana jika ianya adalah berkaitan dengan PR, maka dari segi matematik kerusi, PAS telah rugi beberapa kerusi Parlimen dan DUN.

Malang bagi suasana politik di Malaysia, isu politik adalah berbeza dengan agak ketara bagi setiap negeri. Maksudnya, jika tahaluf siyasi bersama dengan dap dan pkr ini menguntungkan politik di negeri Selangor untuk PAS, namun ianya tidak semestinya sama dengan negeri-negeri lain.

Mari kita lihat Matematik kerusi pada PRU13 dahulu.

PRU 13, di Selangor, PAS menang 4 kerusi Parlimen.

PRU 12, PAS menang 4 kerusi Parlimen juga.

Untuk DUN, PRU13- PAS menang 15, PRU12 menang 8. Tambah 7 kerusi.

Untuk negeri Kedah pula;

PRU13, Parlimen PAS menang 1.
PRU12, Parlimen PAS menang 5. Hilang 4 kerusi.

Untuk DUN, PRU13 menang 9, PRU12 menang 15. Hilang 6 kerusi.

Untuk negeri Perak;

PRU13, Parlimen PAS menang 2 kerusi.
PRU12, Parlimen PAS menang 2 kerusi juga.

Untuk DUN, PRU13 PAS menang 5 kerusi. PRU12 menang 6 kerusi. Hilang 1 kerusi.

Kita lihat pada 3 negeri ini sahaja dahulu. Takut pembaca akan menjadi keliru.

Sebelum itu, perlu diingatkan, pada PRU12, PAS bertahaluf siyasi bersama PKR sahaja didalam bentuk Barisan Alternatif (BA). DAP tidak termasuk dalam BA. Dap sudah keluar daripada BA pada tahun 2001 dahulu. Namun, satu kerjasama mulut untuk tidak bertanding 3 penjuru antara BA dan dap telah dipersetujui. Walau bukan semua tempat.

Hanya pada PRU13, barulah boleh dikatakan, PR bertanding pilihanraya.

Oleh itu, dari senario ini, dalam isu Selangor, Pakatan Rakyat memang cukup menguntungkan PAS.

Namun, dari segi negeri Kedah, Pakatan Rakyat adalah menyusahkan PAS.

Manakala untuk Perak, Pakatan Rakyat adalah non issue...

Nanti, mesti ada pula orang yang mengatakan, bahawa Pakatan Rakyat menguntungkan PAS Terengganu. Jika dilihat dari matematik kerusi, itulah lojiknya. Dari PRU12, PAS menang 8 DUN, kepada PRU13 menang 14 DUN. Tambahan 6 DUN.

Namun, politik Malaysia tidak boleh ditakrif terus menerus daripada angka-angka yang diperolehi. Ianya semuanya berkaitan isu, dan cara PAS negeri menangani isu berkaitan.

Bila dilihat dari konteks Terengganu, walau ianya mungkin akan dinafi oleh PAS negeri, masyarakat umum telah mebuat penilaian bahawa PAS Terengganu tidak mesra PR. Maksud tidak mesra PR ini bukan bermaksud tidak bekerjasama dengan parti komponen PR, tetapi bermaksud tidak ikut telunjuk pkr dan dap.

Di Terengganu, isu yang digembar gembur PAS boneka dap tidak dapat dipercayai oleh majoriti manusia di pantai timur Terengganu. Mungkin utara dan hulu Terengganu, isu ini telah sedikit sebanyak bermain diminda pengundi. Manakala pkr yang seolah tidak wujud di Terengganu juga menyebabkan isu ABAI tidak sangat kedengaran di Terengganu, kecuali di Hulu dan Utara.

Namun, isu diatas, telah menyebabkan PAS Kedah terkesan dengan propaganda itu. Menyebabkan PAS tersungkur di Kedah. Begitu juga di Perak. Melayu di Perak telah tidak mengundi PAS kerana isu dap.

Manakala, di Selangor, isu itu mungkin telah menaikkan lagi peratus pengundi Cina mengundi PAS. Oleh itu, menyebabkan PAS menang 15 kerusi DUN di Selangor.

Perkara ini adalah terlalu kompleks. Pakatan Rakyat sebenarnya, ada yang menguntungkan PAS, dan ada juga tidak menguntungkan PAS. Tetapi, yang nyata, ianya sangat menguntungkan dap.

Kenapa agaknya ianya sangat menunguntungkan dap? Kenapa orang Cina sekarang sokong dap berbanding dengan mca dan gerakan atau parti-parti berlandaskan kaum cina di Sarawak? Ini semua kerana isu dan propaganda yang dimainkan dap. Mereka telah menunjukkan kepada pengundi cina bahawa, dap adalah bukan seperti mca dan gerakan. Dap bukan parti sampingan, yang hanya menurut perintah umno. Tetapi dap adalah parti yang dominan didalam Pakatan Rakyat melebihi PAS. Perspektif  itu telah menguntungkan DAP dan, ia juga menguntungkan PAS untuk menikmati undi pengundi Cina.

Namun, malangnya, oleh kerana sikap yang ditonjolkan dap itu, dan sikap pemimpin PAS yang 'seperti' hanya menurut perintah, maka pengundi Melayu di Perak, Kedah dan juga Negeri Sembilan telah kekal dan ada beralih arah kembali kepada umno.

Maka, dari segi logiknya, apakah PR ini membebankan PAS, atau membantu PAS memenangi pilihanraya. Saya tidak menyalahkan tahaluf siyasi, cumanya saya ingin bertanya, perbezaan tahaluf siyasi dahulu dan kini, apakah yang berbeza? Nampak jelasnya, tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat ini telah menampakkan bahawa buat julung kalinya, PAS adalah bukan parti yang dominan dalam kerjasama politik itu. Adakah ianya disengajakan oleh pihak PAS untuk memenangi hati pengundi Cina, sehingga terlupa untuk memenangi hati pengundi Melayu? Atau ianya hanyalah perspektif masyarakat umum melihat PAS telah menjadi parti sampingan sahaja didalam PR??



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Berniaga klu x untung2...lama2 hbs modal dan undi simpanan...beralih la...Insya Allah ada jalanNya diberi kpd kita. Mana tau org plak nak bernaung dgn kita. Pkr xder akhlak...igt dap nk duduk lama ke dgn Pkr...skrg ni dia duduk krn nak undi Melayu melalui Pas.