CERITA BENAR SYARIKAT AISYALAM SDN BHD; BHG 2.

Keuntungan syarikat sudah berlipat kali ganda. Ditambah lagi dengan penurunan gaji pekerja yang dibuat hasil mesyuarat ajk Almari yang diputuskan sendiri oleh pengerusi ajk, iaitu En. Aisyalam. Pn. Onmu dan En Sirdi Alaj sudah kembong perut dengan kenaikan pangkat mereka dan sedikit wang yang ditiris dari syarikat. Cumanya hanya para pekerja sahaja yang merungut kerana gaji mereka sudah dipotong.

Pekerja 1, "Saya berasa serba salah lah En. Sapitrap, rasanya seperti ingin berkata sesuatu kepada pengurusan syarikat kerana pemotongan gaji kita ini." kata pekerja 1 yang bernama En. Marhaen kepada supervisor syarikat Aisyalam Sdn Bhd, En. Sapitrap. Nama beliau seperti orang Siam, namun beliau bukan dari Siam, cumanya daerah kelahirannya bersempadan dengan Siam.

En. Sapitrap menjawab, "Saya pun memang sedang merancang untuk bertindak terhadap pengurusan syarikat ini. Perancangan pertama kita dahulu yang tidak jadi itu mesti dijadikan pengajaran." kata En. Sapitrap. Dahulu, semasa pihak pengurusan hendak melaksanakan penurunan gaji, supervisor inilah yang paling vokal menentang. Namun sayangnya, beliau dicemuh oleh pekerja lain ketika itu.

"Itulah! Dahulu, kita hendak lawan pengurusan, korang semua cemuh kita. Sekarang, lihat! Gaji sudah kena potong. Padan muka. Dulu beriya-iya benar dengan duit RM200 dan sehelai kain pelekat, sekarang, melopong takde duit," marah Pn Lida. Beliau adalah satu-satunya muslimat yang bekerja sebagai buruh kasar mengutip durian di syarikat itu. Beliau juga adalah Timbalan Ketua Kesatuan Pekerja syarikat Aisyalam.

"Bersabar Pn. Lida. Cerita lama jangan dikenangkan. Kita teruskan usaha yang baru ini. Pihak pengurusan harus ditentang mengikut cara demokrasi. Bukan kekerasan." jawab En. Sapitrap.

En. Marhaen menambah, "Betul itu Pn. Lida, kita perlu bersabar dan jangan mengungkit-ungkit kisah lama. Saya mewakili para pekerja yang lain memohon maaf atas kesilapan kami dahulu. Tetapi, sebenarnya, bukan salah kami juga, sebenarnya Pn Lida pun dahulu yang buat hal."

"Eh? Apa halnya?" Tanya Pn. Lida kehairanan dengan kritikan yang tiba-tiba menjelma dari En. Marhaen.

"Mana taknya. Dahulu, masa kempen merebut jawatan Penolong Ketua Kesatuan Pekerja, bukan geng-geng Pn. Lida ke yang main kotor kutuk-kutuk dan lobi-melobi melampaui batas?" kata En Marhaen.

"Oh, yang itu. Sebenarnya, kami hanya meraikan demokrasi dalam pemilihan Kesatuan Pekerja itu. Bukankah semasa pemilihan itu telah dibuat cara baru bagi memilih, iaitu satu orang, satu undi. Bukan lagi satu cawangan, satu undi. Namun sebenarnya ianya adalah arahan Ketua Kesatuan ketika itu." jawab Pn. Lida.

"Haiya, apa bising-bising ini. Mahu buat piket ka?" tiba-tiba En. Tee Kor mencelah. Beliau adalah Ketua Biro Hasil kutipan Durian. Baru memenanginya seminggu lalu.

"Ha,.. ini En Tee Kor bagus. Tiada apa masalah apa-apa pun. Bukan seperti En. Sapitrap dan Pn. Lida yang selalu berebut-rebut jawatan." En. Marhaen membising lagi dengan tidak semena-mena.

"Aik? Saya pun kena juga?" tanya soal En. Sapitrap kehairanan. Sebenarnya selain supervisor syarikat, En. Sapitrap juga adalah imam di surau syarikat itu.

"Mestilah kena. Jangan buat-buat lupa, macam mana tok imam berkempen 'senyap-senyap' masa hendak merebut jawatan tok imam surau dahulu. Saya ada dengar bermacam-macam ceritalah En. Sapitrap. Macam-macam cerita yang tidak molek dan tidak elok didengar. Malu saya dengan geng-geng berkopiah ini." bising En. Marhaen lagi.

En. Sapitrap confuse, lalu bertanya kepada En. Marhean. "Apa cerita yang awak dengar dan di mana cerita itu yang awak perolehi?"

Jawab tegas En. Marhaen, " Dalam Blog!"

En. Sapitrap, Pn Lida dan En. Tee Kor geleng-geleng kepala. Blog yang mereka bertiga gunakan untuk berkempen menentang pengurusan syarikat yang zalim telah diguna pakai untuk memecah belahkan kesatuan mereka pula.

"Cuba bawa bertenang En. Marhaen. Sebenarnya, apa yang ditulis dalam blog, bukan semuanya betul. Ada kadang-kadang ditokok tambah untuk hanya semata-mata menaikkan rating penjenguk ke blog individu tersebut." nasihat En. Tee Kor kepada En. Marhaen.

"En. Tee Kor, saya tiada masalah dengan kamu. Tetapi saya kecewa dengan Pn. Lida dan ada sedikit tidak puas hati dengan En. Sapitrap. Saya dan geng-geng saya sekarang seramai 5 orang sedang bersiap sedia membuat satu kumpulan yang dinama, Golongan Ketiga. Kami akan buat kumpulan ini kerana mengikut kepada dasar politik Great Britain. Kumpulan ini ditubuhkan kerana kecewa dengan perangai Pn. Lida dan En Sapitrap yang serupa dengan pihak pengurusan. Kami tidak berpuas hati!" bising En. Marhaen lagi.

"Inilah masalah kamu En Marhaen. Ingat dia itu pandai segala-galanya. Apa yang kita buat semua tidak betul. Jika tidak betul, betulkanlah kami. Ini tidak, merajuk tidak tentu pasal. Lepas itu kutuk macam nak rak kami dibuatnya seperti kami ini lagi busuk dengan pihak pengurusan. Ke kamu ini boneka Pn. Onmu?" melenting Pn. Linda seketika.

En. Marhaen tidak puas hati dengan lentingan Pn. Lida lalu menjawab, "Eh! Tolong sikit. Sudah jenuh saya menasihatkan Pn. Lida semasa saya dalam jawatankuasa Kesatuan Pekerja dahulu. Tetapi, kamu buat deek je."

Untuk menenangkan keadaan, En. Sapitrap mencelah, "Udah-udah le itu. Apa ini bergaduh-gaduh. Yang gaduh-gaduh, Melayu juga. Tengok En. Tee Kor, rileks je dia. Semua pekerja Cina sudah bersama dengan dia untuk menentang pihak pengurusan. Tetapi, kita yang Melayu ini, masih bergaduh, dengan geng Pn Lida lah, dengan geng kumpulan ketigalah. Apa cerita ini? Cubalah bawa bertenang dan bersama dengan saya, saya sudah lama menentang pihak pengurusan. Sejak tertubuhnya syarikat ini, saya telah sibuk menegakkan keadilan untuk para pekerja. Cumanya kita perlu bersabar. Menang bukannya boleh terus dikecapi esok lusa. Tetapi memakan masa. Jom kita ke surau dahulu, kita bersolat...."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?