Mari sama-sama kita sebut syahadah

Khamis, November 12, 2009

TERINGAT MENUNAIKAN UMRAH DAHULU, 1425 HIJRAH.


Gambar Masjidil Haram yang hamba sempat ambil di dalam van untuk ke Tanaim melakukan umrah yang entah keberapa entah...... lupa.......



Gambar Masjidil Haram dari jendela hotel hamba. Rasanya hotel ini sudah tiada. Mesti sudah dirobohkan, wallahualam.


Gambar Masjid Nabawi dari tingkap atas hotel hamba menginap.


1425 Hijrah, adalah satu detik bersejarah bagi hamba kerana pada tahun itu, di bulan rejab, hamba telah pergi menunaikan umrah.

Umur hamba ketika itu 28 tahun, status perkahwinan masih bujang lagi. Solo. Duit sedang berisi di dalam bank. Hamba pergi menunaikan umrah secara solo, tidak berteman. Maksudnya hamba pergi seorang diri di dalam kelompok jemaah umrah yang di dalamnya semuanya ada berpasangan.


Kurusnya hamba ketika ini : Kawasan bukit uhud tak silap hamba.


Seronok dan bebas.

Lebih menyeronokkan ialah, Ustaz membimbing kumpulan umrah ini adalah ustaz Taib Azamuddin. Lebih menyeronokkan 2 kali ganda ialah di Madinah, hamba dapat duduk sebilik dengan Ustaz Taib bersama dengan seorang lagi jemaah yang bekerja di Proton.

Kebebasan yang dinikmati melakukan umrah secara solo ialah, hamba boleh pergi ke masjidil Nabawi dan Masjidil Haram sesuka hati hamba.

Pukul 3 pagi buat umrah pun boleh.

Pergi beribadat di masjidil Haram dari Zohor sehingga Isyak pun boleh.

Hendak tidur dalam masjidil Haram pun no problem.

Memang menyeronokkan iman. Pertama kali menatap Masjid Nabawi sekitar jam 3 pagi di Madinah, amat mengasyikkan iman. Pertama kali melihat Kaabah di dalam Masjidil Haram, amat memilukan hati iman.

Tidak pernah seumur hidup hamba menangis teresak-esak macam budak kecil, melihat Baitullah di depan mata. Anda perlu berada di sana baru anda semua merasai apa yang hamba rasa kesedihan jiwa yang amat sangat melihat Baitullah di depan mata. Air mata menjirus basah ke pipi, kemudian anda akan ketawa dengan tiba-tiba serentak dengan tangisan yang masih keluar dari air mata tanda sungguh bersyukur dan gembira yang amat sangat.

Hamba tidak boleh hendak menggambarkan dengan kata-kata perasaan hamba ketika berada di sana. Ianya adalah perasaan yang mesti dirasai sendiri oleh diri masing-masing.

Jika sudah ke sana, kita pasti akan terasa untuk ke sana lagi berulang-ulang kali. Sekarang ini, ketika AidilAdha akan menjelma, perasaan hamba untuk ke sana tiba-tiba bertambah kuat. Lebih-lebih lagi, abang hamba ada di sana untuk bekerja. Bekerja di landasan keretapi dari Masjidil Haram ke Arafah.

Bilalah agaknya hamba akan menunaikan ibadah haji? Bilakah agaknya kewangan hamba diizinkan untuk hamba ke sana? Hamba berharap sungguh, waktu hamba ke sana, adalah ketika waktu hamba didalam kesihatan yang tinggi untuk memaksimumkan hamba melakukan ibadah haji.

Rindu sungguh hamba dengan Baitullah. Rindu sungguh hamba dengan makam Rasulullah. Rindu sungguh hamba dengan tanah haram. Termasuk rindu sungguh hamba untuk membebaskan tanah haram al-Syarif, Baitulmaqdis.

Beg untuk kembali ke Malaysia. Disebabkan hamba solo dan bujang (maksudnya kuat le) maka hamba ditugas untuk mengangkat beg-beg ini turun dari bas dan juga masuk ke dalam tempat check-in airport, seronok...... :)

0 ulasan: