Mari sama-sama kita sebut syahadah

Selasa, Julai 29, 2008

KHALIFAH JATUH KERANA ISU BANGSA.

Sebentar tadi, hamba melihat tarikh lahir hamba pada kad pengenalan. Tercatit pada tarikh masehinya ialah 3 Mac. Memang benarlah, itu tarikh hamba dilahirkan ke dunia dari rahim ibu hamba yang tersayang. Cuma apabila teringatkan kembali, apa yang telah di'usrah'kan kepada hamba, itu jugalah tarikh peristiwa hitam, jatuhnya khalifah Islam di muka bumi ini, 3 Mac 1924.

Jika dilihat, jangka hayat tiadanya pimpinan Islam di dunia ini tidaklah sampai ke usia 100 tahun. Selama 1,419 tahun Islam ini ada kepimpinan yang disebut khalifah, sekarang, baru 84 tahun khalifah Islam tiada di muka bumi. Jika dibubar angka mengikut peratusan, baru 6% jangka hayat Islam di dunia ini tiadanya kepimpinan khalifah.

Namun, apabila melihat kesannya terhadap umat Islam. Amat dasyat. Amat kronik. Amat menyayatkan.

Kepada rakan-rakan yang profesyen kerjanya adalah guru, cuba tanya anak murid, siapakah Khalifah Islam yang terakhir? Bilakah Khalifah Islam digulingkan? Apakah puncanya Khalifah Islam itu digulingkan? Bagaimanakah Khalifah Islam digulingkan? Dan akhir sekali, tanya kepada anak murid, apakah hukumnya jika tiadanya khalifah Islam dimuka bumi, berdosa atau tidak?

Hamba pasti, majoriti atau semua anak murid yang ditanya tidak dapat menjawab. Mungkin juga guru yang bertanya itu tidak boleh juga menjawab soalan yang ditanyanya. Kerana apa? Kerana apa perkara yang mustahak ini tidak boleh dijawab? Jawapannya ialah sistem kehidupan yang kita lalui, diulangi, SISTEM kehidupan seharian kita, dari detik saat ke saat, yang kita lalui, telah diadun agar umat Islam lupa akan peri pentingnya kewujudan pemerintahan khalifah Islam di muka bumi ini.

Kepada soalan di atas, hamba akan menjawab hanya 1 soalan yang dicadangkan diberikan kepada anak murid guru-guru, iaitu soalan yang berbunyi, bagaimanakah Khalifah Islam itu digulingkan? Jawapannya mudah. Bangkitkan isu kebangsaan kepada umat Islam. Ya, itulah jawapannya, bangkitkan isu bangsa kepada umat Islam. Beginilah caranya khalifah digulingkan. Bangkitkan isu bangsa, bangsa dan bangsa. Isu bangsalah yang telah meranapkan khalifah Islam diseluruh dunia dan isu bangsalah yang menyebabkan kita semua sekarang ini hidup di dalam tiadanya kepimpinan khalifah Islam di muka bumi.

Maka oleh itu, adakah isu bangsa ini perlu dibawa ke mana-mana oleh kita umat Islam? Adakah boleh kita memainkan isu bangsa untuk mendapatkan sesuatu dimuka bumi ini? Bagus sangatkah taksub dengan isu-isu bangsa ini? Bangsa atau kebangsaan didalam bahasa arabnya bermaksud assabiyah. Perkara yang jelas disebut oleh Rasulullah SAW tentang tahap haramnya memainkan isu ini. Tetapi, mengapakah umat Islam tidak mahu dengar?

Allah telah menetapkan tarikh lahir hamba adalah bersamaan dengan tarikh jatuhnya khalifah Islam. Hamba berasa bersyukur terhadap Allah SWT kerana dengan samanya tarikh itu, diharap akan memperkukuhkan lagi kekuatan iman hamba untuk berjuang di jalan Allah agar kepimpinan khalifah Islam akan kembali wujud di bumi yang fana' ini. InsyaAllah.

1 ulasan:

Lebai Cute berkata...

Setuju sangat pendapat tuan hamba. Namun kealpaan khalifah juga mengundang kedurjanaan bangsa. Mudah-mudahkan kita tidak mengulangi sikap khianat bangsa israil pada para anbia mereka sendiri.