Memerangi Ketagihan Arak Menegakkan Hukum Islam
Khas untuk pimpinan dap dan pkr yang joint sekali oktoberfest di oneutama...
Memerangi Ketagihan Arak Menegakkan Hukum Islam
Tuan Yang Di Pertua, terima kasih kerana memberi peluang saya menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada SPB diatas ucapan baginda. Baginda sungguh prihatin dengan pembangunan modal insan Negara yang tercinta ini. Tidak dapat dinafikan yang kelangsungan atau dengan izin, survival, Malaysia bergantung kepada Modal Insan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berakhlak mulia tetapi juga mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang mantap. Itulah sebabnya maka Kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk menjaga kesihatan rakyat dan membasmi segala macam jenis penyakit yang menggugat kesejahteraan rakyat.
.........
Teks ucapan penuh YB Dr Siti Mariah Mahmud : MP Kota Raja pada sessi perbahasan di Parlimen petang semalam.
Memerangi Ketagihan Arak Menegakkan Hukum Islam
Tuan Yang Di Pertua, terima kasih kerana memberi peluang saya menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada SPB diatas ucapan baginda. Baginda sungguh prihatin dengan pembangunan modal insan Negara yang tercinta ini. Tidak dapat dinafikan yang kelangsungan atau dengan izin, survival, Malaysia bergantung kepada Modal Insan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berakhlak mulia tetapi juga mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang mantap. Itulah sebabnya maka Kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk menjaga kesihatan rakyat dan membasmi segala macam jenis penyakit yang menggugat kesejahteraan rakyat.
Namun bukan sahaja saya
tetapi ramai lagi rakyat di luar sana dan di dalam dewan ini mengeluh
kenapa kerajaan telah sekian lama mengabaikan satu unsur penyakit ia itu
ketagihan arak atau dengan izin, alcoholism. Arak, dadah dan rokok
adalah tiga dadah merbahaya. Satu dunia tidak dapat menyangkalnya lagi.
Bukti saintifik sudah lebih daripada mencukupi untuk membuktikan ke-3
bahan ini merosakkan akal dan jasad manusia, namun undang-undang
membezakan di antara ke-3 bahan ini. Sementara dadah di sebut sebagai
najis dan diharamkan dan boleh dihukum mati jika mengedarnya, rokok
pula dikenakan cukai yang tinggi dan ada usaha (walaupun pada saya,
ianya tidak memadai) untuk memberi amaran kepada perokok tentang
bahayanya pada kotak-kotak rokok. Tapi apa sudah jadi dengan minuman
keras? Kenapa minuman keras mendapat layanan istimewa? Alkohol
diklasifikasikan sebagai dadah psikoaktif mempunyai cirri-ciri
“depressant/kemurungan”, ketagihan dan menyebabkan daya tumpuan
berkurang. Dadah-dadah lain yang mempunyai kesan ini memerlukan
preskripsi doktor untuk membelinya.
Walaupun
seksyen 2(1) Akta Kastan 1967, mentakrifkan “liquor” yang memabukkan
(intoxicating liquor) termasuklah apa-apa alkohol atau apa-apa cecair
yang mengandungi lebih dari 2% spirit pruf (saya difahamkan ialah
alkohol mutlak/ethyl alcohol) , yang sesuai, atau bermaksud untuk, atau
yang boleh dengan apa-apa cara di ubah lagi bagi, digunakan sebagai
minuman , Akta Eksais (Akta 176) pula dalam seksyen 32 (1) telah
memberi pengecualian kepada penjualan minuman beralkohol seperti bir
(ale, stout, porter) atau todi atau arak natif (sabah) ianya kesemua
jenis arak tapaian atau yang di hasilkan oleh proses pemeraman. Ini
bermakna penjualan runcit kecil-kecilan tidak melebihi kuantiti yang
ditetapkan boleh dijual di kedai-kedai tanpa perlesenan.
Bir
dan todi mengandungi alkohol melebihi 2%. Saya diberitahu yang bir
mengandungi dalam sekitar 5-8% kandungan alkohol. Sudah tentu boleh
memabukkan. Dalam Seksyen 32 (3) pula memberi kuasa mutlak kepada
Menteri (Kewangan) untuk membenarkan sesiapa sahaja menjual secara
runcit apa-apa liquor yang memabukkan! Sungguhpun Peraturan Eksais 7A
untuk penjualan apa-apa liquor telah menghadkan jualan kepada
seseorang berumur bawah 18 tahun, kadar pematuhan dan penguatkuasaan
amatlah mengecewakan.
Disebabkan
pengecualian ini bir mudah didapati di merata-rata tempat di seluruh
Malaysia. Dengan pengecualian ini juga pihak PBT tidak boleh
menghadkan penjualan bir dan minuman seangkatan dengannya sekiranya
kedai menjual secara runcit mengikut takrifan undang-undang. Saya kira,
hanya kerajaan Kelantan yang berani membuat keputusan menghadkan
penjualan arak di premis-premis tertentu.
Kerajaan
Kedah pula tidak mampu membuat perubahan di Langkawi kerana seksyen
32(1) (c) memberi pengecualian kepada kedai runcit bebas duti yang
dilesenkan dibawah seksyen 65(D) Akta Kastan 1967.
Tuan Yang di Pertua,
Saya
meneruskan hujjah saya kenapa kerajaan perlu serius melihat isu arak
ini dengan lebih mendalam dan diakhir hujjah ini saya akan
mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan hari (the government of
the day). Sekiranya saya memerlukan masa yang lebih, dengan izin,
please be lenient with me, only this time.
Saya
mahu pihak kerajaan tahu yang rakyat, yang Islam dan bukan Islam
sebenarnya akan berada dibelakang kerajaan untuk kerajaan mengorak
langkah membuat satu polisi minuman keras yang melindungi rakyat
terbanyak dan tidak hanya membuka peluang yang begitu luas kepada
perusahaan minuman keras. PAS sudah tentu akan menyokong apa-apa
pindaan kepada undang-undang untuk mengawal lebih ketat penjualan dan
pengambilan arak dan menangkis sanggahan yang mengatakan pengawalan
penjualan arak menafikan hak asasi manusia dan hak bukan Islam.
Tuan Yang di Pertua,
Untuk
sedikit makluman Dewan, Minuman keras terbahagi kepada 3 kategori
besar. Bir, Wain dan Spirits – klasifikasi dibuat bergantung kepada
kandungan alkohol atau alcohol by volume (ABV). Spirit mengandungi
kandungan alkohol yang tinggi bermula dari 20% dihasilkan dari
proses penyulingan dan penuaan. Sementara bir dan wain yang dihasilkan
melalui proses pemeraman atau penapaian mengandungi ABV dari 1% ke
20%. Kesemuanya cecair memabukkan mengikut takrifan di dalam Akta
Kastan 1967.
Tuan Yang di Pertua,
Tidak
ramai rakyat Malaysia tahu yang kita menduduki tangga ke-10
tertinggi/terbesar dalam pengambilan alkohol di dunia, walaupun Negara
kita mempunyai hanya 26 juta orang penduduk dan sebuah Negara yang
kecil. Setiap tahun, rakyat Malaysia membelanjakan USD 500 juta
membeli alkohol. Walaupun secara purata pengambilan alcohol jatuh
sebanyak 7 L per kapita, mereka yang mengambil alcohol sebenarnya adalah
peminum tegar. Dikalangan rakyat Malaysia, kaum India walaupun 8%
daripada kependudukan Negara ini merupakan peminum alcohol berat
dengan kadar melebihi 14 L alcohol mutlak setahun. Kerajaan mungkin
menganggap ketagihan arak di kalangan kaum India sebagai satu masalah
unik kaum India dan tidak memberi perhatian langsung kepada masalah ini
dan meninggalkan isu ini ditangani oleh NGO. Di sebalik ketagihan
arak kaum India ialah masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup. Saya
tidak berniat untuk mengupas isu ketagihan arak dikalangan kaum India
sekarang Cuma ingin berkongsi pengalaman dengan Dewan ini. Setelah
saya memenangi parlimen Kota Raja dalam PRU lepas, saya di datangi
beberapa kumpulan yang terdiri dari kaum India meminta saya menangani
masalah ketagihan arak dikalangan kaum India di dalam kawasan. Mereka
meminta PAS mengawal jualan arak di kawasan yang saya menangi
sepertimana dilakukan di Kelantan. Mereka menjamin, kaum wanita India
akan meneruskan sokongan sekiranya perkara ini boleh dilakukan kerana
kaum wanita dan anak-anak menjadi mangsa penderaan apabila sang suami
mabuk.
Kadar
pengambilan bir di Malaysia pula menyamai Negara-negara Eropah ia itu
11 L per kapita. Umur purata ketagihan arak ialah 22 tahun dan umur
pertama rakyat mula terdedah kepada pengambilan alkohol semakin awal
dalam kehidupan. Apa akan jadi kepada modal insan Negara apabila belia
dan remaja menjadi peminum arak dan kemudiannya menagih arak.
Pengiklanan dan promosi agresif syarikat-syarikat minuman keras seperti
Carlsberg dan Guiness menggunakan pendekatan penajaan sukan tertentu
dan mengeksploitasi wanita muda seksi untuk mendedahkan orang-orang
muda kepada minuman syaitan ini. Carlsberg telah menjadi penjadi penaja
utama Maybank Malaysian Open Golf 2010. Dalam satu kenyataan
Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, di antaranya, “ We wanted to treat
our consumers to an exclusive experience of Maybank Malaysia
Open…….There was an abundant flow of Carlsberg beer throughout
throughout the day” dan seterusnya. Ia nya satu kenyataan terbuka yang
mahu menggalakkan orang muda golongan atasan dan berada untuk mencuba
minuman syaitan ini. Yang berhormat sekelian boleh melayari internet
sendiri untuk mendapat maklumat selanjutnya.
Jumlah
rakyat yang mengambil alkohol juga kian bertambah saban hari. Namun
tiada statistic resmi dari pihak kerajaan. Saya harap satu kajian
menyeluruh dibuat untuk mengetahui status sebenar permasalahan ini. Para
pemimpin perlu juga tahu Malaysia sekarang menjadi hub arak ke
Negara-negara Asia. Pemasaran arak di Eropah dan Amerika sekarang sudah
tepu, maka mereka menoroka pasaran baru di rantau ini. Maka kita
tidak hairan syarikat-syarikat besar seperti Carlsberg dan Guiness
sanggup menanam modal berjuat-juta di Negara kita tetapi sanggupkah
rakyat Malaysia melihat Negara kita satu hari dikutuk dan dilabel
sebagai Negara Islam yang bersubahat dengan kesengsaraan beribu-ribu
nyawa di rantau ini. Sekarang ini pun Malaysia sudah terpalit dengan
label pusat pemerdagangan manusia terutama wanita dan kerajaan
berhempas pulas untuk membersihkan nama Malaysia. Kita tidak akan
terdaya membersihkan nama sekiranya perusahaan arak digalakkan dan ada
facts and figures untuk membuktikannya.
Kesan Alkohol
Kesan
negatif pengambilan alkohol terhadap otak melebihi kesan positif yang
bersifat sementara. Kesan utama ke atas otak manusia menyebabkan
proses kognitif iaitu di antaranya persepsi, tumpuan, kesedaran,
keupayaan berfikir, kecerdasan dan banyak lagi fungsi otak terganggu
yang sering disebut sebagai keadaan mabuk. Akibat daripada gangguan
fungsi normal otak ini menyebabkan fungsi akal yang waras terganggu dan
maka berlakulah kemalangan jalan raya, penderaan isteri dan anak,
pergaduhan serta banyak lagi kesan negatif ke atas diri peminum,
keluarga dan masyarakat yang ahli yang berhormat semua sedia maklum.
Kesan jangka panjang menyebabkan kerosakan organ tubuh termasuk hati
dan otak sudah memang diketahui dalam dunia perubatan. Ketagihan arak
atau alkohol tidak jauh bezanya dari ketagihan najis dadah.
Saya
tidak akan mampu menceritakan tentang kesan alkohol dalam Dewan ini.
Saya harap Ahli-ahli yang berhormat dapat membaca satu artikel yang di
tulis oleh Prof Madya Dr Azizi Yahya, Fakulti Pendidikan, UITM yang
menyerlahkan kesan negatif alkohol secara ilmiah.
Nilai Ekonomi Perniagaan Arak
Kutipan
cukai dari perniagaan arak meningkat kepada RM 817 juta pada tahun
1996 dari RM 769 juta pada tahun 1994. Berapakah nilai kutipan cukai
minuman keras agaknya sekarang? Menteri Kewangan di dalam jawapan
bertulis mengenai nilai cukai import minuman keras dari tahun 2004 ke
2008 menyatakan nilai cukai import masa itu ialah RM442.6 juta. Nilai
eksport minuman keras pula RM1.1 billion.
Pada
tahun 1995 terdapat 2,360 premis awam yang dilesenkan menjual minuman
keras. Angka ini dikatakan telah berganda pada tahun berikutnya
(1996). Ini tidak termasuk premis atau kedai-kedai runcit yang menjual
minuman beralkohol dalam tin (beer, stout, shandy) yang tidak
memerlukan perlesenan. Saya minta Menteri Kewangan menyatakan berapa
premis atau jumlah lesen yang dikeluarkan menjual arak di seluruh
Negara pada ketika ini.
Perusahaan
arak tempatan atau samsu kita begitu aktif dan dianggarkan
menghasilkan samsu USD43.4 juta (RM180 juta) pada tahun 2006. Samsu
boleh mengandungi alkohol setinggi 38% dan boleh terdapat dengan mudah
di kedai-kedai runcit dan tempat-tempat kediaman. Ianya boleh didapati
semurah RM2 dalam botol kecil atau di isi dalam palstik sahaja.
Mungkin
Menteri Kewangan dapat memberitahu Dewan yang mulia ini berapa jumlah
setahun penghasilan arak di dua kilang pemeraman arak (Guiness dan
Carlsberg) yang dilesenkan kerajaan di KL ini. Dan dari jumlah ini
penghasilan ini berapa peratus yang dipasarkan di dalam Negara dan
berapa banyak pula yang dieksport? Akhbar The STAR melapurkan yang
kilang arak di Malaysia nilai perniagaan bird an stout di Malaysia
ialah RM 4.77 billion . Walaupun kadar eksais dikatakan tertinggi di
Asia, dan nombor dua tertinggi di dunia selepas Norway, nampaknya
semakin ramai yang mampu membeli.
Mungkin
angka di atas tidak menjadi persoalan malah menjadi kebanggaan
sesetengah pihak kerana Negara mendapat keuntungan dan secara tidak
langsung rakyat turut mendapat manafaat. Tetapi bagaimana pula kalau
dibentangkan yang anggaran perbelanjaan rakyat Malaysia membeli arak
ialah USD500juta (RM1750,000,000 atau RM1.75 billion) pada tahun 2006?
Nilai import pula minuman keras dari tahun 2004 ke 2008 ialah RM212
juta. Secara relatif tidaklah sebanyak nilai eksport.
Sebagai
Negara Islam, berapa ramai pula rakyat Malaysia yang beragama Islam
yang terlibat di dalam industri arak ini? Dari pengilangan,
pengangkutan, penjualan? Pernahkan kerajaan membuat kajian, berapa
ramai pula rakyat beragama Islam minum arak ? Berapa ramai peminum
sosial dan berapa ramai pula yang ketagihan arak? Kerajaan mempunyai
statistik mengenai jumlah penagih dadah , jumlah pengidap HIV/AIDS,
jumlah kematian akibat kemalangan dan banyak lagi statistik. Kerajaan
adakah angka untuk jumlah rakyat Malaysia yang terjebak dalam ketagihan
arak (chronic alcoholism) mengikut kaum dan jantina? Kalau ada saya
minta diberi jawapan, kalau tiada, kenapa tidak? Tidak kah Menteri
Kesihatan tahu yang ketagihan arak ialah satu penyakit yang merbahaya?
PERSPEKTIF AGAMA-AGAMA
Saya
mengajak Yang Berhormat sekelian terutamanya yang beragama Islam,
Hindu, Kristian dan Budha merujuk kepada agama masing-masing tentang
larangan arak yang jelas.
Di
dalam agama Islam, surah Al Maidah ayat 90-91, Allah SWT berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan
pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah semuanya kotor/keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah
kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. sesungguhnya syaitan itu
hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebenciaan di
antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu
daripada mengingati allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh
itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara2 yang keji dan
kotor itu atau kamu masih berdegil)
Rukun
Agama Budha yang ke-8 dengan jelas menyatakan “ Budhists should
abstain from liquor”. Budha juga menolak menjual arak sebagai sumber
pendapatan.
Dalam
Bible, The Book of Proverbs Bab 23:29-33 memberi nasihat ini “ Do not
look at wine when it is red, when it sparkles in the cup and goes down
smoothly. At the last it bites like a serpent, and stings like an
adder. Your eyes will see strange things. And your nind will utter
perverse things”.
Dalam
agama Hindu, tujuan utama penganut Hindu ialah untuk bersatu dengan
Tuhan. Ianya hanya boleh tercapai melalui badan dan akal yang sihat.
Seorang agamawan Hindu Thiruvalluvar mengatakan “ Mereka yang minum arak
tidak berbeza dengan mereka yang meminum racun, maka mereka tiada
bezanya dengan orang yang sudah mati”
Pada
30hb Oktober 2009, Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM telah
mengadakan satu muzakarah “pakar arak dan permasalahannya”. Ahli panel
dan peserta terdiri dari pelbagai profesyen , agama dan bangsa.
Mereka telah membuat rumusan dan beberapa cadangan kepada pihak
berkuasa (mungkin kepada Jabatan Perdana Menteri) untuk membuat
pindaan-pindaan kepada beberapa undang-undang. Soalan saya adakah
pihak Jabatan Perdana Menteri menerimanya dan apakah tindakan susulan
pihak menteri berkenaan?
Mengharamkan
minum arak tidak bercanggah dengan agama-agama besar dunia. Ia hanya
bercanggah dengan nafsu manusia atas nama hak kebebasan asasi manusi
untuk memilih. Saya tidak mencadangkan pengharaman terus tetapi
menyemak semula supaya masalah pengambilan arak tidak begitu
berleluasa dan tidak terkawal
Malaysian
Hindu Sangan (MHS) telah mengistiharkan peperangan terhadap ketagihan
arak / alcoholism kerana kesannya terhadap generasi muda Negara.
Mereka telah mencadangkan supaya penalti atau hukuman dikenakan kepada
peminum bawah umur dengan 2 hari dalam penjara,. Cadangan lain ialah
mengenakan cukai berperingkat (TIERED BASED TAX) berasaskan kandungan
alkohol minuman bukan satu kadar rata 10% untuk semua jenis minuman
dan menubuhkan satu pusat untuk menangani permasalahan penagihan arak
untuk jangka panjang yang merancang langlah-langkah pencegahan,
penyelidikan dan rehabilitasi.
UNDANG-UNDANG PERSEKUTUAN DENGAN ENAKMEN SYARIAH- SATU KONFLIK
Tuan Yang di Pertua,
Malaysia
sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila menjatuhkan hukuman sebat
ke atas seorang wanita, Kartika Sari, kerana kesalahan meminum arak.
Pengambilan arak tidak menjadi satu kesalahan dalam undang-undang sivil
walaupun sampai kepada tahap mabuk melampau sekiranya tidak
mencederakan sesiapa atau tidak memandu. Hatta sehingga memukul anak dan
isteri pun boleh dimaafkan lagi kerana dianggap masaalah domestik.
Namun di dalam Islam, ianya satu kesalahan jenayah serta telah
termaktub dalam enakmen syariah negeri-negeri serta Wilayah Persekutuan
. Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WP) 1977 Akta 559
menyatakan mana-mana orang yang, dimana mana kedai atau tempat awam
lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan
dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya.
Seksyen
19(2) Akta yang sama pula menjadikan kesalahan pada sesiapa yang
membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan
atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan. Enakmen ini jelas
berkonflik dengan Seksyen 35 Akta Eksais. Ketiadaan penyelarasan atau
konflik di antara undang-undang sivil dan enakmen syariah telah
menjadikan hukuman Islam ditertawakan dan dimomokkan. Setiap kali
alasan diberi adalah kerana undang-undang syariah di bawah kuasa negeri
dan lebih spesifik di bawah sultan-sultan dan agung. Cukuplah
meletakkan tanggung jawabnya di atas sultan dan agung. Bukan kah agung
dan sultan bertindak atas nasihat majlis agama masing-masing.
Tengoklah dalam enakmen syariah negeri Pahang, salah satu hukuman
minum arak ialah sebatan tetapi tiada pula dalam enakmen syaraiah WP.
Bagaimana
enakmen syariah hendak dilaksanakan dan dipandang sebagai perkara
yang betul apabila Akta Eksais tidak diselaraskan dengan Hukum
Syariah. Bagaimana kedudukan pekerja-pekerja Islam di dalam kilang
arak, di kedai-kedai runcit seperti 7-11, bagaimana pula kedudukan
pramugari dan pramugara kita yang menghidangkan arak, bar tender yang
mencampur minuman keras untuk pelanggan. Adakah kita redha melihat
saudara-saudara seIslam melakukan dosa. Betul kah mereka dalam keadaan
darurat dan berhak mengambil rukshah atau keringanan dalam hal ini?
Bukankah di antara maqasid syariah pemerintahan Islam Hadari salah
satu tanggung jawab pemerintah adalah menjaga agama rakyat.
Saya
merayu bersungguh-sungguh supaya Kerajaan mengambil langkah serius
untuk menyelaras undang-undang di mana boleh untuk menepati hukum
Islam.
Saya
tahu amat berat Kementerian Kewangan membuat pindaan-pindaan dan
pengawalan yang lebih ketat terhadap perusahaan arak. Boleh kah Dewan
ini tahu berapa peratus kah pendapatan Negara disumbang oleh perusahaan
arak? Ahli Parlimen PAS telah beberapa kali meminta di dalam Dewan
ini hasil kerajaan dari pencukaian perusahaan haram (di antaranya judi,
arak dan riba) atau sin tax ini di asingkan daripada akaun atau dana
terkumpul Negara. Tujuan pengasingan Sin tax ini ialah supaya ianya
tidak digunakan untuk mambayar gaji atau menjadi punca dana yang
membawa kepada makanan rakyat dan menjadi darah dan daging rakyat
atau dana untuk kebajikan atau membina masjid. Ianya boleh digunakan
untuk infrastruktur dan perkara-perkara yang dibolehkan oleh syariat.
Menteri Agama kita tentu lebih mafhum daripada saya perkara ini.
Saya
terlalu bimbang yang gaji dan elaun kakitangan awam termasuk elaun
kami sebagai ahli yang berhormat, menteri-menteri juga subahah kerana
ada pencampuran sumber halal dan haram. Tidak susah mengasingkannya
pendapatan haram dari yang halal kerana ianya cuma memerlukan satu
usaha teknikal perakaunan. Tidak kah terlintas di hati Menteri-menteri
kewangan Malaysia dulu dan kini yang terdiri daripada orang Islam
(kecuali Mendiang Tun Tan Siew Sin) untuk menyelamatkan ummah daripada
kemelut ini. Perkara haram dan halal dalam Islam adalah teras di
dalam akidah Islam. Mungkin kerana kita tidak memahami konsep BARAKAH
dalam agama kita maka ramai yang memandang enteng tentang perkara ini.
Islam memberatkan kualiti sumber rezeki yang kita dapat dan tidak
semestinya kuantiti rezeki. Adakah kemelut gejala sosial umat Islam
di Negara kita berbanding dengan bangsa dan agama lain berpunca sumber
rezeki yang subahah maka hilang keberkatannya?. Maka ini menyebabkan
hidayah Allah SWT kepada rakyat terbanyak dan generasi muda
bermasalah. Rahmat Allah SWT seolah-olah tertutup kepada umat Islam
walaupun kerajaan merasakan telah mencurah begitu banyak bantuan untuk
pendidikan.
Lihat
surah Al-A’raf , ayat 96 – “Dan Tuhan berfirman, SEKIRANYA PENDUDUK
NEGERI ITU, BERIMAN SERTA BERTAQWA, TENTULAH KAMI AKAN MEMBUKA KEPADA
MEREKA (PINTU PENGURNIAAN) YANG MELIMPAH-LIMPAH BERKATNYA, DARI LANGIT
DAN BUMI. TETAPI MEREKA MENDUSTAKAN (RASUL KAMI) LALU KAMI TIMPAKAN
MEREKA DENGAN AZAB SEKSA DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN”
Kerajaan
hendak menjadikan Negara ini BALDATUN TAYIBBUN WA RABBUN GHAFUR.
Mulakanlah dengan langkah yang mudah ini – bersihkan pendapatan Negara
- asingkan pendapatan haram dari pendapatan yang diselaputi dosa.
Akhirnya Tuan Yang di Pertua,
Saya
mencadangkan kerajaan menubuhkan satu JK bersama atau satu kaukus di
peringkat parlimen untuk mengkaji semua aspek isu arak untuk merangka
polisi minuman keras negara pencukaian, pengilangan, pelesenan,
pengiklanan dan promosi, penjualan dan lain-lain lagi yang sentuh tadi,
menyemak undang-undang yang berkaitan dengan alcohol bertujuan untuk
membendung pengambilan minuman keras di kalangan rakyat terutama
golongan muda. .........
Teks ucapan penuh YB Dr Siti Mariah Mahmud : MP Kota Raja pada sessi perbahasan di Parlimen petang semalam.
Ulasan