BODOH DAN PANDAI. SEBAB NILAI SPM KE?

"Anak hang result SPM berapa A?"

"Anak awak dapat semua A ka untuk PMR dia?"

"Anak aku kantoi SPM. Takda A langsung. Habis masa depan. Ke mana aku nak bawa anak aku ni?"

Tiga ayat diatas adalah lumrah alam jika kita duduk di bumi Malaysia. Suara-suara mengukur arus tingkat kepandaian anak berdasarkan nilai keputusan peperiksaan. Kayu ukur berapa A, keputusan cemerlang dalam SPM, adalah satu metod umat Malaysia untuk membandingkan nilai akal manusia berumur 17 tahun.

Tidak pernah saya mendengar, seorang ayah atau emak menyebut,

"Anak saya dapat semua C dalam SPM. Tetapi takpa, dia tak pernah tinggal solat 5 waktu."

Atau...

"Anak saya dapat teruk keputusan peperiksaannya. Tapi takpe, dia pandai bertukang. Jika korang nak sarung pisau, anak saya boleh buat."

Saya ingin menyoal seluruh penduduk Malaysia. Apakah nilai ukur kepandaian seseorang, apabila habis pengajian sekolahnya?

Jika seorang manusia itu mempunyai kepandaian mencipta barang. Mempunyai akal inovasi yang tinggi, tetapi tidak mempunyai daya akal yang kuat untuk menghafal dan mengira, sehingga menyebabkan beliau gagal dalam SPM, adakah rakyat Malaysia akan menilai manusia itu sebagai kurang cerdik?

Saya ingin memberi satu contoh, bagaimana syarikat membuat Ajinomoto mendapat keuntungan berlipat kali ganda sehingga syarikat itu berada kukuh seperti sekarang?

Ianya hanya kerana ukuran diameter lubang botol ajinomoto.

Satu ketika, syarikat Ajinamoto mempunyai masalah keuntungan. Mereka menghadapi kesulitan untuk mengekalkan momentum keuntungan walaupun ramai orang membeli produk mereka. Namun keuntungan mereka diambang negatif.

Maka, satu mensyuarat tergempar untuk memerah otak untuk menaikkan profit syarikat dilaksanakan.

Dalam banyak idea-idea yang diberikan, idea yang tidak disangka-sangka, yang datangnya bukan dari ahli yang bermesyuarat, tetapi disampuk oleh tukang sapu yang terdengar akan keluhan pihak-pihak atasan syarikat itu. Ideanya adalah;

"Apa kata kita besarkan lubang ajinamoto itu. Mesti pembeli akan kerap membeli sebab cepat habis."

Dan, yang menariknya, pihak atasan menerima idea itu, dan syarikat Ajinamoto mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Ingin saya bertanya, siapakah yang pandai dalam situasi cerita di atas. Kumpulan pengurusan yang bergaji besar yang mempunyai sijil berdepa-depa, atau seorang penyapu, yang mungkin SPMnya hanya pangkat 3 kah yang pandai?

Sistem penilaian kepandaian pelajar telah lama disukat melalui peperiksaan. Semenjak zaman kemerdekaan. Malah, semua kita adalah dari kalangan manusia yang melalui sistem itu.

Dan, apabila, sistem PBS dibuat, dimana peperiksaan itu ditiadakan, sudah semestinyalah ada tentangan oleh rakyat terhadap benda yang baru itu.

Cumanya, saya adalah sebahagian daripada  insan rakyat Malaysia yang bersetuju dengan sistem baru yang ingin dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Walaupun ianya diambil dari sistem terbaik dunia, iaitu Finland, namun ianya tetap ada cacat celanya, kerana nisbah guru dan murid di Finland adalah 1:12, manakala Malaysia adalah 1:42.

Seorang guru, hendak menilai anak muridnya seramai 42 orang, mungkin boleh? Tetapi kena ingat, ambil contoh guru yang mengajar Sains Tingkatan 2, satu kelas ada 42 murid, tetapi satu sekolah ada 6 kelas, dan guru Sains tingkatan 2 adalah 2 orang, maka seorang guru perlu menilai 42murid X 3 kelas = 126 murid.

Seorang guru, menilai 126 murid. Adil tidak kepada murid dan guru itu?

Namun, isteri saya yang seorang guru berkata dia mampu untuk menilai 126 murid itu. Kerana terdapat sistem yang mudah dan teratur untuk menilai setiap murid yang diajarnya. Itu kata dia yang mendapat kursus terus daripada LPM yang membuatkan beliau menjadi jurulatih utama PBS Sains tingkatan 2.

Maksudnya apa disini?

Maksudnya, sistem ini adalah baik untuk rakyat Malaysia, cumanya, ianya disebabkan baru bermula, dan dalam tempoh keserasian oleh para guru yang sudah terbiasa dengan cara KBSM, maka terdapat kekalutan sedikit ketika ini. Ataupun, 'salah faham' teknik mendidik dan mebimbing.

Beri mereka masa, beri mereka semangat, insyaAllah anak-anak kita akan dinilai kepandaiannya berdasarkan apa yang mereka minat, apa yang mereka berpotensi, apa yang mereka suka (dengan dibimbing ya), dan seterusnya menjadi manusia yang bijaksana dan bijaksini dengan kepandaiannya. Bukan berdasar kepada nialaian A dalam SPMnya.....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?