PPSMI DIMANSUHKAN; SEPATUTNYA DIHARAMKAN TERUS.

PPSMI. Tidak lama lagi, ungkapan 5 huruf itu akan berkubur. Mungkin bersama-sama bekas PM yang melaksanakan projek itu. Ada yang bersetuju, ada yang tidak, ada yang sangat bersetuju dan ada yang sangat tidak, dan ada juga mereka yang tidak kisah.

Ungkapan potasium akan tidak kedengaran lagi selepas ini. Ianya akan diganti dengan Kalium. Bahasa antarabangsa. Potasium adalah bahasa Inggeris, dan kalium, adalah bahasa antarabangsa untuk sains. Banyak lagi ungkapan inggeris akan kembali kepada bahasa antarabangsa sains. Jika pelajar dahulu pening kepala hendak mencari nombor atom untuk Sodium, selepas hilangnya PPSMI, pelajar akan senang mencari nombor atom di Pariodic Table bagi Sodium, kerana huruf ungkapan bagi Sodium yang terpampang di jadual berkala itu adalah Na, bukannya So, yang semestinya sehingga kiamat pelajar tidak akan menjumpai ungkapan pendek So didalam jadual berkala, selama-lamanya.

Ya, Sodium dalam bahasa sains antarabangsa adalah Natrium. Dan bahasa melayu bagi potasium dan sodium adalah Kalium dan Natrium. Mengikut bahasa antarabangsa sains.

Mungkin juga pelajar akan kembali terjumpa ungkapan plumbum, atau minyak tanpa plumbum, yang dahulunya disebut dalam bahasa Inggeris Lead. Mungkin juga guru akan kembali menyebut Stanum sebagai Tin, atau ada guru yang akan menyebut timah, bukannya stanum. Timah adalah sama dengan Stanum dan sama dengan Tin. Cumanya, sebutan sahaja yang berbeza.

Apabila menyebut perbezaan, untuk bahasa matematik, ungkapan perbedaan akan kembali menyinar di akal fikiran pelajar-pelajar. Tiada lagi sebutan derivative. Integration akan kembali disebut pengkamilan. Namun, jangan pula salah sangka, tatacara membuat derivation dan intergration adalah tetap sama seperti dahulu. Proses trigonometri masih sama, proses al-gebra juga masih sama.

F=ma tetap akan sama formulanya. Cumanya Force(F) akan bertukar kepada kekuatan, mass (m) bertukar menjadi jisim dan accelaration (a) menjadi pecutan. Apa yang penting, unitnya tetap tidak berubah, iaitu kgm/s2. Yang penting didalam ilmu fizik adalah unitnya, bukannya bahasanya. Mudah..

Apa yang menjadi pelik adalah ada manusia yang tergila-gilakan sangat menyokong PPSMI. Kenapa ada manusia menganggap untuk meningkatkan pengetahuan pelajar didalam sains dan matematik, maka Inggeris perlu digunakan? Pelik lagi ajaib.

Ianya seperti jika hendak memaniskan air kopi, maka sumber air itu yang ditukar, bukannya menambahkan gula. Air tetap air, kopi tetap kopi, dan gula tetap gula.

Untuk memintarkan pelajar Malaysia berbahasa Inggeris, maka mata pelajaran Inggeris itu perlu direformasikan. Tatacara, sistem dan sumber perlu dirombak 100%. Bukannya dengan menyibuk kepada matapelajaran sains dan matematik.

Kami profesional yang berumur 30-an dan awal 40-an, semuanya terdidik semenjak darjah 1 hingga tingkatan 5 didalam bahasa Melayu. Sains didalam bahasa Melayu begitu juga Matematik. Ungkapan relau, omboh, sesondol, penyemperitan adalah mainan telinga kami namun kami tetap mengerti apakah dia furnace, piston, cam dan extrusion. Tidak ada masalah. Kami telah diberi pengetahuan asas di alam persekolah tentang sains dan matematik. Kami sudah faham.

Kerana asasnya kami sudah ada, maka apabila ianya diterjemah kepada bahasa Inggeris, atau bahasa Jerman dan Jepun sekalipun, kami sudah boleh mendalami lagi ilmu sains dan matematik dengan lebih jauh. Asas kami sudah kukuh.

Mengapa asas kami begitu kukuh? Kerana kami difahamkan dengan ilmu matematik dan sains itu didalam bahasa yang kami mudah faham. Bahasa Melayu.

Jadi kepada pejuang bahasa Inggeris, jangan menyibuk dengan sains dan matematik, tetapi sibukkanlah diri kamu dengan mata pelajaran Inggeris itu sendiri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?