IDEOLOGI IBU DAN AYAH HAMBA.

Hamba hari ini cuti. Bukan kerana hendak meraikan kejayaan Bersih 2.0, tetapi hendak meraikan hari ulang tahun kelahiran anak lelaki hamba yang berumur 1 tahun, hari ini. Ibu dan ayah hamba juga berada dirumah bersama adik perempuan hamba.

Nur Muhammad. Lahir jam 10.50 pagi 11 Julai 2010 di Hospital Selayang. Hamba berada disebelah isteri hamba dari mula masuk ke bilik bersalin sehingga Nur Muhammad keluar dari rahim umminya. Melihat betapa seksanya isteri hamba melahirkan anak lelaki hamba, menyebabkan perasaan hormat dan kasih hamba kepada ibu hamba bertambah menebal.

Semalam juga, ibu hamba menegur hamba, kenapa degil sangat tidak ikut nasihatnya, jangan pergi demo. Hamba cuma senyum dan gelak-gelak kepada ibu, kemudian buat cerita lain dari tajuk demo. Tidak mahu ber'dialog' dengan ibu yang melahirkan hamba. Ibu hamba adalah seorang insan, yang cukup tebal sifat Melayunya. Adik beradik ibu, dahulunya, semuanya adalah anti Perikatan. (mesti pelik bukan orang ultra Melayu tidak sokong umno, hanya orang tua-tua pembangkang dahulu sahaja yang mengerti)

Ada yang masuk Parti Sosialis, ada yang PRM dan ada yang PAS. Perlu diingat, PAS di Kuala Kangsar dahulu adalah kelompok yang ultra Melayu. Pemikiran Dr Zulkifli Mohamad, yang juga adalah anak Kuala Kangsar, kampung Kota Lama Kiri, yang kuburnya bersemadi di depan (seberang jalan) rumah sepupu hamba, adalah idola kepada adik beradik dan sepupu papat ibu hamba. Dan pemikiran ibu juga telah ditempiaskan oleh semangat Melayu Islam Dr Zulkifli.

Maka, perasaan hormat kepada pemikiran idiologi ibu hamba, hamba hormat sungguh-sungguh. Yang paling hamba hormat, ibu tidak pernah menyokong umno, walau ayah hamba dahulu adalah ahli umno (yang tidak aktif). Namun, benci ibu kepada umno, adalah sama bencinya kepada MCA dan DAP. Ini adalah jelas. Bukan ibu benci orang Cina, tidak, ibu benci akan politik yang dibawa oleh Cina MCA dan DAP. Walau selama 10 tahun, ibu berboskan Cina MCA semasa beliau bekerja.

Dan ideologi chauvinis Melayu ala PAS ini masih terpahat dalam pemikiran hamba sehingga kini, namun ia diseimbangkan dengan semangat ideologi baru PAS, atas dasar yang dipegang oleh Tok Guru Abdul Hadi Awang. Kerana itu hamba adalah seorang penyokong tegar Ayah Chik. Sehingga kini.

Apabila ada rakan-rakan yang berkata, apabila balik kampung, mereka akan ber'kempen' sedikit demi sedikit ibubapa mereka, maka bagi hamba, ianya adalah tidak relevan bagi ibubapa hamba, kerana hamba merasai ideologi yang dipegang ibu adalah haknya dan beliau ada hujahnya tersendiri, manakala ayah, beliau ada akal sendiri. Tidak perlu anak-anaknya menasihat beliau, ayah sendiri tahu apa yang perlu dibuat. Hamba anak ayah, tahulah tahap pemikiran ayah. Seorang pemimpin ahli Kesatuan Pekerja berpuluh-puluh tahun. Ber'dialog' dengan Menteri-menteri kabinet sudah menjadi kebiasaan, apalagi ber'perang' dengan ketua pengarah ditempat kerjanya hanya semata-mata untuk kebajikan rakan sekerja.

Maka sehingga ke hari ini, ayah tidak marah hamba aktif didalam PAS, malah hamba nampak ayah berbangga melihat anaknya aktif didalam politik. Sama seperti beliau aktif dalam politik Kesatuan Pekerja. Dan hamba selalunya meminta nasihat ayah, "Apa pandangan ayah berkenaan..", "Apa rasa ayah jika...". Ayah tidak pernah menyatakan beliau menyokong siapa dan unid siapa. Namun dari zahirnya,beliau bukan jenis atas pagar. Ayah seorang yang berpendirian, seperti hamba, dan tidak akan menjadi lalang.

Yang penting, umno bn tidak akan dapat undi dari ayah dan ibu hamba, begitu juga DAP.... minta maaflah DAP Segambut.....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?