SERONOK MENJAGA ANAK.
Seorang isteri dan baru 3 orang anak. Itulah aset kehidupan hamba yang amat berharga Allah SWT telah kurniakan kepada hamba.
Merasai senang susah membesarkan anak yang baru mengenal hidup adalah satu tanggungan yang amat berat telah diujikan oleh Allah Rabbul Jalil kepada pasangan hidup yang baru sedang membangunkan satu institusi keluarga. Salah satu ujian yang diberikan ialah anak kecil yang sakit. Ini adalah satu ujian yang cukup berat menguji kesabaran ibu dan ayah.
Anak hamba yang kedua masuk wad hospital lagi. Sudah 2 hari. Kakaknya baru baik demam tetapi masih batuk-batuk kuat serupa adiknya yang kecil.
Semalam, hamba menjaga anak hamba Nurul Iman di hospital. Sepatutnya hanya ibu dan keluarga yang perempuan boleh menjaga anak kecil di wad pada malam hari. Tetapi hamba memohon dikecualikan kerana isteri hamba menyusukan anak yang kecil dan ibu hamba menjaga cucunya (anak abang) yang demam di KL. Maka hambalah yang menjaganya semalaman.
Anak hamba yang kedua ini cukup bermasalah memakan ubat. Alhamdulillah, antibiotik diberi terus dicucuk melalui tangan, tetapi ubat demam perlu dimakan. Sudah dipujuk, dirayu untuk Iman memakan ubat, namun tidak berjaya. Maka hamba ambil keputusan menggunakan air untuk menyembuhkan demamnya. Hamba mandikan dia, kemudian sepanjang malam mengelapkan kepala, badan dan kakinya dengan air. Alhamdulillah, Iman sudah surut demam tanpa ubat demam.
Bila terfikirkan kembali, semalaman tidak tidur kerana menjaga anak dari demam dengan mengelap badannya dengan air, menjadi tugas yang 'mudah didalam susah'. Maksudnya, nafsu kita memang berkehendakkan sangat untuk melelapkan mata, tetapi kasih sayang ayah kepada anak membuatkan tubuh badan ini dikuatkan untuk berjaga malam menjagai anak yang sedang sakit. Itulah pemberian Allah SWT yang amat istimewa.
Melihat anak hamba esok paginya, bangun dari tidur, kemudian melihat kearah kita lalu tersenyum, memberikan kita satu perasaan seronok yang amat mendalam. Hanya pengalaman yang dapat disimpulkan perasaan seronok itu....
Ulasan