KEPUTUSAN PRK : DIMANA METAFIZIKNYA?

Realiti kehidupan tanpa agama adalah seumpama seorang anak yang hidup didalam kejayaan semasa dewasanya tanpa mengendahkan ayahnya di kampung. Namun anak itu lupa bahawa ayahnya di kampung adalah kepala CEO kepada syarikat yang anak itu sedang bekerja siang malam untuk mendapatkan hasil gaji dari syarikat kepunyaan ayahnya itu. Namun di dalam syarikat itu, si anak selalu memaki hamun si ayahnya yang berada di kampung dan tidak mengaku ayahnya di kampung adalah ayahnya pun. Maka lama-kelamaan, agaknya apa yang ayahnya di kampung akan lakukan terhadap anaknya yang derhaka itu?

Apabila kita bertutur kata tentang agama, ianya ada banyak kaitan dengan perkara yang berbentuk metafizik, iaitu perkara yang tidak boleh dibuktikan dengan nyata atau fizikal. Contoh terbaik, apakah bukti fizikal yang mengatakan Rasulullah telah di isra'kan dari masjidil Haram ke Masijidil Aqsa? Apakah juga bukti fizikal yang mengatakan Rasulullah telah di mi'rajkan ke SiratulMuntaha berjumpa dengan Allah SWT, berdepan-depan? Sehingga kiamat, bukti fizikal tidak akan ditemui. Yang ditemui hanyalah bukti metafizik, iaitu pertuturan dari mulut Rasulullah SAW sendiri. Untuk meyakininya, itulah dia Iman.


(Tok Guru adalah Presiden, ketua dan kepala kepada jemaah, JANGAN lupa)

Begitu jugalah dengan sesuatu peristiwa yang telah berlaku didalam kehidupan. Kita boleh menyimpulkan peristiwa yang sudah berlaku itu dengan berbagai-bagai kaedah, samada dari kaedah bukti fizikal atau kaedah bukti yang bersifat metafizikal dan juga boleh digabungkan dengan kedua-duanya sekali.

Contoh yang ingin dibawa disini adalah peristiwa sesuatu keputusan pilihanraya. Ianya boleh disimpulkan dengan gaya fizikal dan ianya juga boleh disimpulkan dengan cara metafizikal. Cuba kita ambil keputusan pilihanraya kecil parlimen Pendang. Satu prk yang berjalan serentak dengan prk DUN Anak Bukit dimana ianya berlangsung akibat kematian ahli parlimen dan juga ahli dun itu, iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor.

Apa yang berlaku pada pilihanraya itu adalah DUN Anak Bukit berjaya dikekalkan oleh PAS, manakala Parlimen Pendang pula telah jatuh ke tangan umno BN. Mengapa ianya terjadi begitu? Apakah yang menyebabkan DUN Anak Bukit menang, tetapi Parlimen Pendang kalah? Apakah analisa yang telah dilakukan oleh mereka yang kalah itu.

Yang nyata, dari segi fizikalnya, kekalahan PAS di Parlimen Pendang adalah kerana 2 borang 14 di 2 saluran mengundi telah tidak diterima oleh PAS di tempat pengumpulan kiraan mengundi kerana kelemahan 'Counting agent' untuk mendapatkan borang 14 itu daripada ketua tempat mengundi. 2 saluran yang sepatutnya PAS menang, telah diseleweng fakta oleh pihak 'spr umno bn' dengan membuat borang 14 palsu yang mengatakan umno yang menang di 2 saluran itu. Maka oleh sebab itu, ditempat penjumlahan undi di markas besar PAS bagi prk Pendang menunjukkan PAS menang, tetapi apabila di tempat penjumlahan undi spr, PAS kalah. Ini adalah satu bukti fizikal yang nyata lagi empirikal dan jelas serta berfakta.




(Secara fizikal, lembu ini mati, tetapi secara metafizik, lembu ini adalah kenderaan di padang masyar)


Namun, adakah semasa itu, PAS telah membuat satu analisa yang berbentuk metafizikal? Adakah sesuatu 'task force' telah ditubuhkan khas untuk membuat post mortem tentang kekalahan di Parlimen Pendang itu melalui kacamata Islam? Apa yang hamba nampak, oleh sebab hamba pada ketika itu memang berada di Pendang dan Anak Bukit untuk menjalankan kerja-kerja pilihanraya, sesuatu perkara yang tidak baik telah dilakukan oleh PAS dan juga KeAdilan ketika itu semasa meraih undi.

Semasa itu, Barisan Alternatif sering berkempen untuk membersihkan nama Anwar Ibrahim kerana difitnah beliau itu peliwat, tetapi terlupa bahawa sebenarnya Barisan Alternatif juga telah melaksanakan kempen yang sama terhadap batang tubuh wanita umno. Ketika itu, isu Azalina itu seorang lesbian telah dinyalakan oleh pihak umno sendiri, namun, kerana hendakkan sangat kemenangan, maka PAS dan KeAdilan juga telah memainkan isu Azalina lesbian di prk Pendang dan Anak Bukit.

Poster"Awasi anak dara anda" dengan muka wajah Azalina terpampang telah disebarkan merata-rata tempat di Anak Bukit dan Pendang untuk meraih undi. Isu memburuk personaliti telah terbawa-bawa oleh Barisan Alternatif ketika itu. Maka, keputusannya, Allah berikan satu kemenangan dan satu kekalahan kepada PAS.

Pada ketika itu, adakah ahli-ahli PAS terperasan apakah yang hendak diberitahu oleh Allah SWT kepada jemaah kita? Adakah ahli PAS telah insaf diatas kesilapan membawa berita umpatan yang melibatkan hukum hudud iaitu menuduh orang berzina dengan kaum sejenisnya? Adakah ahli jemaah telah membuat muhasabah diri ketika itu? Adakah disebabkan isu Azalina lesbian masih dimainkan di PRU 11 menyebabkan Barisan Alternatif kalah teruk adalah sebagai punca metafizik kita kalah pada PRU 11?

Dalam kita sibuk-sibuk dengan gaya hujahan yang hanya melibatkan mata fizikal tentang kemenangan kecil 65 undi di Manek Urai, adakah sesiapa didalam jemaah yang dapat menerima gaya hujahan didalam bentuk metafizik? Adakah analisa gaya metafizik tidak dapat diterima oleh jemaah PAS yang sememangnya hujahan politiknya berpandu kepada metafizik iman dan taqwa, tetapi dengan kemenangan didalam kekalahan di Manek Urai, analisa fizikal lebih diutamakan? Adakah oleh kerana gaya hujahan fizikal lebih nampak moden lagi gah berbanding dengan gaya bahasa metafizik yang hanya berpandu kepada ayat Allah dan sebutan Rasulullah, maka hujah metafizik dianggap remeh. Jika ya, selamat datang kembali ke PRU 11 di PRU 13 nanti wahai PAS.......

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?