KARPAL SUDAH TIADA,... NEGARA ISLAM?

Dari rakan seperjuangan;...

Karpal sudah tiada....Negara Islam bagaimana? (18/4/14)

Friday, April 18, 2014



Awal pagi semalam sebagaimana telah diketahui umum bekas Pengerusi DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh telah meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri berhampiran Gua Tempurung di Lebuhraya Utara Selatan. Karpal adalah seorang ahli politik dan peguam yang terkenal.
Suka tidak suka mediang Karpal selain terkenal sebagaimana dinukilkan di atas beliau juga merupakan salah seorang penentang kuat sebarang usaha untuk memperkenal atau melaksanakan hukum dan peraturan Islam dalam Negara. Kenyataan paling keras yang pernah beliau keluarkan yang kini sinonim dengan beliau hidup atau mati adalah : “An Islamic state over my dead body”.

Tidak pernah sedikit pun semasa hidupnya, beliau bertindak lembut atau berlapang dada dalam isu Negara Islam, malah beliau bertegas sehinggalah akhir hayatnya. Ini terbukti apabila wartawan kanan akhbar The Star, Joceline Tan, memetik kata-kata terkahir mendiang kepadanya sebagaimana dilapor dalam akhbar berkenaan hari ini:
“We cannot stop them from tabling the Bill but we can vote against it..”

Beliau bertegas menyatakan walaupun tidak boleh menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang untuk perlaksanaan Hudud di Kelantan, namun akan berusaha menentang rang undang-undang berkenaan.
PAS dijadulkan berusaha membuka laluan bagi perlaksanaan Hukukm Hudud di Kelantan dengan membawa pindaan Perlembagaan dan “Private Bill” atau Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat. Menurut MB Kelantan, Ustaz Dato Ahmad Yakob:

“Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang ahli Parlimen bukan kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud,”

Terbaru menurut ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasruddin Hassan, Presiden PAS sendiri iaitu Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli parlimen Marang, akan membentangkan rang undang-undang berkenaan dalam persidangan Parlimen tahun ini juga.
Berbalik kepada isu mendiang Karpal, mengapa begitu lantang beliau menentang perlaksanaan Islam?

Jawapan spontan yang diberikan sudah pastilah kerana beliau seorang bukan Islam, maka lumrahlah baginya untuk menolak apa sahaja yang berbentuk Islam. Logik ini terlalu umum, namun demikian harus diberi perhatian bahawa ramai juga yang bukan Islam yang boleh menerima malah tiada halangan terhadap perlaksanaan Hudud di Kelantan lebih-lebih lagi dengan jaminan bahawa ianya tidak akan terkena pakai atas mereka.
Lantas mengapa Karpal menolak?

Ideologi atau fahaman Karpal terserlah pada ideologi DAP, partinya, yang merupakan sebuah parti yang menganut fahaman sosialis,yang memperjuangkan hak kesaksamaan dikalangan rakyat jelata. Ianya berdiri atas prinsip sekularisma yang menolak sebarang fahaman asing selain prinsip demokrasi yang diperkenalkan Barat.
Dan sebagai seorang peguam, Karpal berdiri di atas kepercayaan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipertahankan oleh semua rakyat, adalah Perlembagaan yang rupa dan bentuknya itu sendiri adalah sekular, dalam hal ini tiada ruang untuk memperkenal atau melaksanakan sistem dan pertauran keagamaan apa lagi Islam bagi menggantyikan peraturan yang sedia ada.

Kerana itu hidup atau mati Karpal akan menolak Negara Islam, lantas padanlah apabila beliau mengatakan …. “An Islamic State over my dead body!”
Apa pun hari ini Karpal telah tiada. Pemergiannya pasti akan dirasai. Tiada lagi kelantangannya selepas ini di Parlimen atau dipentas-pentas politik mahupun mahkamah.

Soalnya bagaimana dengan Islamic State yang beliau tentang sampai mati itu?
PAS sebagaimana yang disebutkan sudah pasti akan membentang “Private Bill” di Parlimen, ada atau tiada Karpal. Sebagaimana DAP, parti PAS juga berjuang dengan prinsip dan matlamat yang jelas iaitu mahu mepertahan dan melaksanakan Islam. Samada ditentang atau diterima bagi PAS itu merupakan satu tanggungjawab.

Sesungguhnya itulah yang dituntut dalam Islam, samada seorang Muslim itu akur ataupun tidak tetapi Islam punya cara hidup tuntutannya yang perlu diperjuang sehingga terlaksana oleh penganutnya.

Dunia sedang menunggu apakah pindaan di Parlimen itu kelak akan berjaya disokong oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia sehingga memungkinkan Enakmen Kanun  Jenayah Syariha Kelantan 1993 dapat di laksanakan ataupun ianya akan ditolak.
Karpal sekiranya hidup telah dengan jelas menyatakan yang beliau akan menolak pindaan berkenaan. Di Dewan Rakyat hari ini terdapat 222 orang ahli. Tanpa Karpal tinggal 221. Bagi memungkinkan pindaan berkenaan diluluskan memerlukan dua pertiga sokongan ahli-ahli dewan ataupun 148 menyokong. Apakah PAS akan dapat angka berkenaan sedangkan PAS cuma mempunyai 21 orang wakil?

Oleh kerana sebagai seorang Islam, kita masing-masing diwajibkan menyokong perlaksanaan dan penguatkuasaan peraturan Islam maka kita menganggap semua ahli Dewan Rakyat Islam akan menyokong Private Bill ini maka seramai 137 ahli djangka menyokong iaitu:
PAS – 21
UMNO – 88
PKR – 16
PBB (Sarawak) – 10
DAP – 2

Ini bermakna “Private Bill” berkenaan masih kekurangan 11 sokongan. Dari manakah 11 itu nanti akan datang?
Bagi saya yang penting diperingkat ini adalah pembentangan  “Private Bill” berkenaan oleh kerana rakyat Kelantan sejak 1990 lagi menunggu perlaksanaannya iaitu lebih 24 tahun.  PAS akan berhadapan dengan wakil-wakil seumpama Karpal, yang bukan Islam, yang sekular. Cubalah meyakinkan mereka jika berupaya.

Tetapi yang lebih penting adalah 21 dari PAS tidak ada sebab, kesemuanya wajib menyokong. Jika ada ahli PAS di Dewan yang menolak atau tidak hadir maka wajarlah tindakan disiplin dikenakan ke atas mereka. Mereka itu wajar dipecat tanpa alasan.
Selain itu PAS perlu melobi baki 116 wakil Islam di Dewan. Umno setakat ini telah menyatakan akan membrikan sokongan. PAS perlu pastikan yang mereka menyokong. Bagaimana dengan 16 dari PKR yang Muslim termasuk Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim? 2 DAP yang Muslim iaitu YB Zairil Bukit Bendera dan YB Mohd Ariff Sabri Raub? Dan 10 dari PBB?

Kesimpulannya bagi saya PAS perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka menterjemahkan keadilan Islam melalui perlaksanaan Enakmen ini di Kelantan.
Karpal sudah tiada, mudah-mudahan kekerasan hati yang dimiliki mendiang itu tidak diwarisi oleh ahli-ahli Dewan yang lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?