Mari sama-sama kita sebut syahadah

Khamis, Mac 13, 2014

QATAR DAN IKHWAN

Qatar di hujung jalan?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain pada 5 Mac lalu mengisytiharkan memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar, dalam satu tindakan yang menampakkan dengan jelas lagi perbezaan antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dalam menangani Ikhwanul Muslimin dan Iran, terutama melibatkan dua kuasa penting yang berjiran, Arab Saudi dan Qatar.

Perkembangan ini walaupun menggemparkan, telah lama menampakkan tanda-tandanya dalam kalangan negara-negara GCC dan seluruh rantau Asia Barat, yang mudah diperhatikan sejak tercetus kebangkitan massa serantau.

Asas kepada tindakan Saudi, UAE dan Bahrain ini ialah dasar yang dikongsi negara-negara monarki di rantau ini, yang termasuk juga Jordan, terhadap gerakan Ikhwan, dan terhadap Iran yang menjadi pesaing kepada Arab Saudi terutamanya.

Perbezaan ini kelihatan semasa kebangkitan Arab memuncak pada 2011 dan 2012, dengan fokus utama pada Mesir dan Syria, yang menyaksikan peranan besar gerakan Ikhwan.

Di Syria, segala-galanya bertemu termasuk peranan Qatar dalam membantu pemberontak yang dikuasai Ikhwan dan persaingan serantau Iran dengan kuasa-kuasa Arab yang berpotensi mengubah landskap politik rantau Arab.

Qatar meningkat naik di bawah Emir Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani, yang dengan sumber kewangan yang besar hasil gas dan minyak, membina kekuatan dalam segala bidang termasuk perniagaan antarabangsa dan diplomasi.

Qatar membina nama melalui peranan sebagai perantara yang mendamaikan pihak-pihak berkonflik di seluruh rantau Arab dan Afrika, membina pengaruhnya melalui peranan mendamaikan ini.

Pada masa sama, Qatar juga meningkatkan pengaruh serantaunya melalui stesen berita satelit al-Jazeera, yang menjadi instrumen penting bagi dasar luar Doha, sehingga menjejaskan hubungan dengan negara serantau terutama Saudi.

Kemuncak peranan al-Jazeera sebagai instrumen dasar luar Qatar ialah apabila kebangkitan di Mesir tercetus dan menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak pada awal 2011. Al-Jazeera menyumbang melalui liputannya yang kelihatan cenderung menyebelahi penentang Mubarak.

Hari ini, selepas kejatuhan Mubarak dan Abdel Fatah al-Sisi sedang berusaha untuk menjadi presiden Mesir seterusnya, al-Jazeera masih menunjukkan kecenderungan pro-Ikhwan, yang menjelaskan tindakan pihak berkuasa Mesir menahan dan memenjarakan wartawan al-Jazeera di sana.

Pada permulaan kebangkitan serantau, yang turut melibatkan negara-negara monarki Teluk Parsi, Qatar dan Arab Saudi berkongsi agenda yang sama, yakni mempertahankan kerajaan-kerajaan terbabit daripada tekanan pembangkang dan gerakan protes.

Berbeza dengan liputan terhadap Mesir, al-Jazeera - terutama saluran berbahasa Arab yang ditonton di Asia Barat - memperlihatkan kecenderungan berbeza dalam liputannya terhadap protes di Bahrain dan Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, hubungan baik Saudi dan Qatar yang berkongsi kepentingan sama mempertahankan pemerintah serantau teruji apabila konflik di Syria bermula dan berpanjangan.

Walaupun berkongsi agenda menjatuhkan rejim Bashar al-Assad, Riyadh dan Doha lama-kelamaan melihat perbezaan yang sukar didamaikan, seperti sokongan pemerintah Qatar kepada Ikhwan, dan dilihat mempunyai agenda untuk melihat Ikhwan menguasai Syria pasca-Assad.

Qatar telah mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir, yang telah dikuasai Ikhwan selepas Mubarak dijatuhkan. Pada Mei 2013, Qatar menambah bantuan kepada Mesir sebanyak AS$3 bilion, dalam bentuk pinjaman rendah faedah, menjadikan jumlah bantuan dari Qatar sebanyak AS$8 bilion dalam tempoh singkat dua tahun Ikhwan menguasai Mesir.

Bantuan Doha telah membantu Kaherah mengelakkan daripada meminjam daripada Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, yang akan memaksa pemerintah mengambil langkah-langkah sukar yang tidak popular. Kaherah, sebelum bantuan Qatar itu, sedang berunding dengan IMF untuk bantuan sebanyak AS$4.8 bilion.

Perkembangan ini, bersama sokongan kuat Qatar kepada Ikhwan di Syria, menimbulkan pelbagai persoalan tentang agenda serantau Doha, yang dilihat memberi sokongan kuat kepada Ikhwan dalam usaha mendapatkan hasil apabila kumpulan-kumpulan Ikhwan menguasai kerajaan pascakebangkitan.

Qatar juga membina hubungan dengan Hamas di Gaza,dan menggunakan pengaruhnya mendorong perpindahan pemimpin Hamas di Damsyik ke Doha.

Hamas dikaitkan dengan ideologi yang hampir dengan pegangan Ikhwan, dan muncul menjadi kumpulan yang tidak disenangi rejim-rejim Arab, termasuk pemerintah baharu Mesir, yang meneruskan kembali dasar era Mubarak.

Pada 2012, Sheikh Hamad melawat Gaza dan mengikrarkan bantuan sebanyak AS$400 juta untuk pembangunan wilayah itu.

Negara-negara monarki Arab, terutama Saudi, UAE dan Kuwait melihat Ikhwan dan Iran sebagai ancaman besar, walaupun UAE dan negara-negara lain bersikap lebih pragmatik dalam hubungan dengan Iran.

Qatar tidak berkongsi pandangan sama dengan negara seranrau berhubung Ikhwan dan Iran. Doha masih meneruskan dasar mengimbangi hubungan dengan rakan serantau dan Iran, yang tidak dilihat sebagai ancaman yang besar seperti yang dinilai oleh Riyadh, walaupun dengan apa yang berlaku di Syria.

Pada Julai 2012, ketua polis Dubai Dahi Khalfan memberi amaran tentang ancaman Ikhwan di rantau Teluk, yang melibatkan satu "komplot antarabangsa" untuk menjatuhkan pemerintah di rantau itu.

Amaran ini mengsahkan lagi kebimbangan negara-negara Arab Teluk terhadap ancaman Ikhwan, yang kini mempunyai cita-cita politik yang besar di seluruh rantau Arab, dan mendapat sokongan kewangan dan diplomatik Qatar.

Dalam menjelaskan tindakan memanggil pulang duta, Saudi, UAE dan Bahrain menyebut campur tangan dalam politik negara GCC oleh Qatar, ekoran tindakannya memberi sokongan kepada Ikhwan.

Pada masa sama, Qatar juga menjadi tempat kediaman Yusuf al-Qaradawi, tokoh agama yang mempunyai kaitan dengan Ikhwan dan sentiasa mengutarakan pandangan menyebelahi kepentingan pemerintah Qatar dan Ikhwan.

Kenyataan-kenyataan al-Qaradawi telah beberapa kali mencetuskan ketegangan antara Qatar dengan negara jiran, terutama UAE. Februari lalu, UAE menyampaikan protes kepada pemerintah Qatar ekoran kenyataan al-Qaradawi di televisyen mengkritik kerajaan UAE yang memberi sokongan kepada pemerintahan al-Sisi di Mesir, kenyataan terkini al-Qaradawi yang menunjukkan sokongan kepada Ikhwan.

Setiausaha agung GCC, Abdullatif bin Rashid al-Zayani turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam kenyataan al-Qaradawi itu, menjelaskan lagi tekanan ke atas pemerintah Qatar.

Di bawah emir baharu Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, pencapaian-pencapaian yang bermula semasa era bapanya kelihatan menampakkan tanda-tanda digugat, dan pengaruh Qatar kelihatan mula merosot.

Pengaruh Qatar di Mesir terjejas teruk apabila Presiden Mohamed Morsi dijatuhkan, sekaligus membuka ruang kepada negara serantau lain masuk bersaing membina pengaruh masing-masing.

Riyadh menyambut baik kejatuhan Morsi dan mengucapkan tahniah kepada pemerintah baharu, walaupun al-Sisi belum lagi secara rasmi memegang peranan sebagai pemerintah sementara.

Saudi dan UAE segera menghulurkan bantuan dan pinjaman kepada Mesir sejurus kejatuhan Morsi. Saudi memberikan AS$5 bilion, dan UAE AS$3 bilion. Kuwait kemudian mengumumkan bantuan sebanyak AS$4 bilion, menjadikan jumlah bantuan tiga negara itu AS$12 bilion, dalam masa sehari, kurang seminggu selepas Morsi diguling.

Perkembangan yang pertama kali berlaku dalam sejarah GCC ini menjadi satu ujian kepada kesatuan organisasi yang sedang berdepan cabaran kebangkitan serantau dan perbezaan dasar luar, dan pada masa sama sedang merundingkan penyatuan yang lebih rapat.

Perkembangan ini juga menguji kepimpinan Arab Saudi, melibatkan ukuran sejauh mana negara-negara serantau menurut agenda yang ditetapkan Riyadh. Sebelum ini, Oman telah menunjukkan sikap yang agak bebas dalam tindakan dasar luarnya.

Ujian besar juga dihadapi emir baharu, Sheikh Tamim, yang mengambil alih pada masa perkembangan serantau menjejaskan pencapaian dasar luar Qatar selama ini, dan mendedahkannya kepada risiko kemerosotan pengaruh serantau yang serius. - Mac 6, 2014

0 ulasan: