LELAKI INDIA YANG BAIK HATI. (SATU CERITA BENAR)

Semalam, saya bersolat Jumaat di masjid Darul Quran. Khatib pada hari semalam, sedap dibacanya. Berkisar kepada cerita-cerita penghinaan terhadap Rasulullah dan agama Islam dan cara kita menanganinya. Bersemangat sungguh khatib berkhutbah semalam.

Semasa solat, hujan turun. Khatib yang berkhutbah berapi-api tadi, membaca surah dalam solat dalam keadaan sungguh mendayu-dayu. Seperti langit pun menangis mendengar bacaan imam. Saya dapat merasai, imam menahan menangis ketika membaca surah. Sayang sekali saya tidak tahu makna surah itu. Jahilnya saya.....

Selesai solat Jumaat, saya terus ke Kuala Kubu Bharu. Ke kedai mamak. Makan nasi. Lapar perut. Makan nasi cara ala nasi kandar. Segala kuah yang ada di kedai mamak itu saya campurkan diatas nasi. Sayur peria goreng, dan lauk, ayam goreng. Pergh,.. memang sedap. Sudahlah hujan turun dengan lebat, kita pula makan sambil mendengar bunyi hujan jatuh menimpa bumi. Memang nostalgia.

Dalam keadaan yang begitu, selepas menyuap nasi 4-5 kali ke dalam mulut, mata saya terpandang seorang manusia. Dia sedang menghisap rokok daun. Berserban. berbaju lusuh. Berseluar lusuh. Dan memakai baju panas hitam. Keadaan dia tidak terurus. Saya pandang tidak lama. Mungkin tidak sampai 3-4 saat. Kemudian saya terus menyambungkan proses kerja memakan nasi saya. Atau lebih tepat, saya buat tak kisah pada insan itu. Dalam hati, 'mamat ni tak betul kot otak dia..'. Itu yang terkeluar dalam hati saya.

Berselang 5 minit saya makan. Mata saya terpandang seorang India yang memasuki kedai mamak itu. Kemudian dia duduk 4 meja didepan saya. Sambil mata berkeliaran mencari pekerja restoran untuk memesan air minuman. Orang yang saya anggap tidak siuman tadi, duduk betul-betul di tepi sebelah India itu. Semasa mamat India itu mengangkat tangan kepada pekerja restoran, mamat yang tak siuman itu pun mengangkat tangan kepada lelaki India itu. Macamlah lelaki India itu menyapanya.

Lelaki India itu memandang lelaki Melayu yang tak berapa betul itu. Lama juga dia memandang lelaki Melayu yang tak betul itu. Kemudian, lelaki India itu bangun, pergi depan mamat tak betul itu, sambil membuat tangan muncung yang ingin masuk ke mulut. Atau lebih tepat, lelaki India itu memberi syarat kepada lelaki Melayu yang tak betul itu, 'dah makan ke belum?'.

Mamat Melayu yang tak betul itu buat muka seposen. Kemudian lelaki India itu memanggil perkerja restoran, dan kemudian memesan air minuman untuk dirinya sendiri dan untuk Melayu yang kurang siuman itu dengan tambahan makanan apa-apa yang Melayu tak betul itu mahu. Saya tidak berapa jelas apa yang lelaki tidak siuman itu berkata, namun apa yang jelas, dia hanya hendak minum sahaja. Maka lelaki India itu pun belanjalah segelas minuman kepada lelaki Melayu yang kurang siuman itu.

Hati saya, tiba-tiba rasa sungguh tersentuh dengan lelaki India itu. Beliau saya lihat secara zahirnya sudah berumur. Mungkin dalam lingkungan akhir 50-an. Kerut wajahnya jelas terpancar beliau seorang yang dahulunya membuat kerja berat. Pakaiannya menunjukkan beliau itu seorang yang ala kadar. Seperti India-india yang ramai di Hulu Selangor, bergaji kerja di estet. Pasti dalam hati saya, melihat ranjau kehidupan lelaki India itu dengan penuh dugaan kesusahan.

India yg berhati mulia.
Namun, hatinya, saya lihat, seperti mengerti kesusahan yang ditimpa lelaki Melayu yang kurang siuman itu. Tidak terlintas langsung saya hendak membelanja lelaki Melayu yang tak siuman itu, tetapi lelaki India yang saya lihat, dirinya sendiri adalah berada pada paras tidak mewah, sanggup membelanja seorang yang beliau tidak kenali. Tidak siuman pula itu.

Sambil makan, hati saya bertekad untuk membelanja kedua-dua insan yang berada didepan mata saya. Namun, ianya tidak kesampaian, kerana, seperti tahu-tahu sahaja lelaki India itu, setelah dapat air pesanannya, beliau terus membayar tempahan beliau. Melepas saya hendak belanja seorang India yang berhati mulia itu......

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hanya orang susah mengerti erti sebuah kesusahan/kedaifan. sebab dia telah alaminya.
Tanpa Nama berkata…
dalam al quran ada mengatakan..jika kita permudahkan kehidupan org lain..insya allah ..MAHA ESA juga akan mempermudahkan kehidupan kita..wallahuallam..

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?