NAJIB DAN ANWAR BAKAL 'CIUM MULUT'?

Oleh Shahbudin Husin


Dulu minum teh tarik bersama, kini Mahathir dan Daim juga sudah jadi musuh bersama...

Ungkapan politik selau mengingatkan,  tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi.

Orang-orang lama juga ada berpesan, dunia politik ini untuk mereka yang tebal kulit mukanya. Ia hanya sesuai untuk mereka yang boleh berpura-pura, sanggup buang kawan dan sentiasa terbuka untuk berbaik dengan musuh.

Yang banyak pengalaman pula ada berkata, kalau dalam matematik,  dua darab dua bersamaan empat, tetapi dalam politik jawapannya boleh jadi lain daripada angka itu.

Begitulah selalunya perjalanan politik. Paling kerap berlaku ialah kawan bertukar jadi lawan dan lawan bertukar jadi kawan. Dua orang yang bergaduh boleh berbaik bila musuh yang dihadapi adalah orang yang sama.

Dalam perseteruan antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim sejak bertahun-tahun sebelum ini serta berdasarkan rentetan peristiwa antara keduanya, barangkali di luar pemikiran semua orang tentang kemungkinan kedua-duanya boleh bersatu dan bekerjasama.

Apatah lagi penyokong Anwar dan Najib juga sama-sama agresif menyerang, mencerca dan memaki-hamun kedua-dua pemimpin itu. Jika penyokong Najib membuat serangan dengan antaranya berkaitan dakwaan liwat dan mengedarkan video seks, penyokong Anwar pula membalasnya dengan menuduh Najib sebagai "pembunuh" dalam kes Altantuya, dikawal Rosmah dan banyak lagi.

Tetapi perkembangan mutakhir ini semakin memperlihatkan Najib dan Anwar bakal bersatu dan saling "cium mulut"  antara satu sama lain. Puncanya tidak lain kerana kedua-duanya sudah mempunyai musuh yang sama - Mahathir dan Daim.

Media arus perdana yang dulunya melanyak Anwar dan parti pembangkang habis-habisan, terutama dalam isu liwat dan video seks, kini tiba-tiba memberi ruang seluas-luasnya kepada PKR dan Ketua Pembangkang itu mengenai isu rasuah melibatkan Daim Zainuddin. Tindakan media arus perdana ini secara logiknya tentulah mendapat lampu hijau daripada Najib terlebih dahulu.

Dengan Anwar pantas menyambut sedia menyerahkan bukti yang dimilikinya mengenai kekayaan Daim dan sekali lagi publisiti meluas diberikan oleh media arus perdana, ia umpama salam dan "kenyit mata" Najib sudah pun disahut dengan mesra dan penuh makna oleh Ketua Pembangkang itu.

Beberapa pemimpin UMNO juga turut mengkritik Mahathir melalui akhbar arus perdana sedangkan selama ini mereka hanya diam mengenai kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib.

Blog dan pengamal media sosial pro Najib kini lebih terbuka dan berani menyerang Mahathir serta Daim, termasuk mengungkit isu-isu lama semasa keduanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Dalam masa yang sama, serangan media pro Najib kepada Anwar agak reda dan berkurangan sejak kebelakangan ini. Mahathir dan Daim lebih dimusuhi berbanding Anwar.

Sementara Mahathir dan Daim saling bergilir menyerang Najib dengan pelbagai isu kelemahan dalam kerajaan, Anwar pula hanya berdiam saja. Meskipun ada juga pemimpin pembangkang lain turut bercakap soal 1MDB misalnya, tetapi Anwar nampaknya lebih berminat tumpang sekaki dalam isu melibatkan Daim daripada turut menyerang Najib.

Dalam percaturan kuasa dan kepentingan peribadi, walaupun bergasak bagai nak runtuh dunia, realitinya tidak mustahil Najib dan Anwar boleh berbaik dan menukar hubungan lawan menjadi kawan. Selain musuh yang sama, mereka juga ada kepentingan masing-masing yang boleh dijadikan tawar-menawar.

Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pernah bersama untuk menentang Mahathir setelah bermusuh sekian lama dalam UMNO. Mahathir dan Ku Li yang bermusuh boleh berbaik dan Musa Hitam yang dipecat juga boleh kembali menyokong Mahathir. Anwar yang selama bertahun-tahun memusuhi Pas dan DAP, segera menggamit mereka sebagai rakannya sebaik dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

Semuanya dengan mudah boleh berubah apabila kepentingan atau musuh menjadi sama.

Dalam realiti sekarang, Najib hanya ingin terus berkuasa di Seri Perdana tetapi berdasarkan keputusan PRU 13 lalu, halangannya kini lebih sukar kerana tiada lagi sokongan daripada Mahathir dan Daim.

Anwar pula hidup mati politiknya bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwatnya yang dijangka diketahui tidak lama lagi. Sementara Najib masih menghitung-hitung untung rugi antara membebas atau memenjara, Anwar tentulah lebih suka dibebaskan berbanding memimpin perjuangan daripada dalam penjara.

Di ketika yang sama, Anwar juga diketahui masih ghairah untuk kembali menggenggam kuasa. Jika Najib sedia berkongsi kuasa dan memastikannya tidak ke penjara, tambahan pula Mahathir dan Daim sudah jadi musuh bersama, membalasnya dengan sokongan bukanlah masalah besar bagi Anwar.

Dengan serangan Mahathir dan Daim yang kian berterusan ini, Najib juga mungkin terfikir beliau akan kehilangan sama-sekali talian hayatnya jika Anwar berada di dalam penjara. Najib juga tahu hanya Anwar yang sesuai untuk membantunya menghadapi serangan Mahathir dan Daim ini.

Jika kerjasama atau "cium mulut"  itu dapat diwujudkan, mungkin dengan cara Anwar bersama penyokongnya menyertai UMNO atau bekerjasama antara parti dengan PKR, Najib tentunya berasakan peluangnya mengekalkan kuasa menjadi lebih cerah lagi. Ini kerana selain undi Melayu kekal dalam genggaman melalui UMNO, perolehan undi bukan Melayu, undi bandar, separa bandar dan golongan muda kepada kerajaan boleh diperbaiki lagi dengan bantuan Anwar dan PKR.

Selain dibebaskan daripada hukuman penjara, Anwar dan pasukannya juga akan diberikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Anwar mungkin diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri semula manakala yang lain akan dijadikan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan baru itu nanti.

Meski tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian berjaya meletakkan orang-orang kanannya dalam kerajaan, termasuk Nurul Izzah, Rafizi, Shamsul Iskandar dan lain-lain, ia tetap merupakan kejayaan besar bagi Anwar.

Lagi pula dengan PR yang kian berpecah, terutama hubungan Pas dengan DAP yang sentiasa berbalah, ditambah dengan golongan ulama dalam Pas juga sukar diramal kehendaknya, harapan Anwar untuk berkuasa melalui gabungan itu turut kian kabur kebelakangan ini.

Berbaik dan bergabung bukan saja pilihan terbaik untuk Anwar, tetapi juga sesuatu yang sukar ditolak oleh Najib demi masa depan politiknya.

Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan dan dua darab dua tidak semestinya empat adalah antara hukum politik yang dihalalkan demi kepentingan masing-masing. Hukum yang sama juga, jika menjadi kenyataan, akan menyaksikan penyokong Najib mencium tangan Anwar dan penyokong Anwar mencium tangan Najib. (SH 20/01/2015)-shahbudindotcom

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?