HUDUD: Perlembagaan (dan undang-undang) Tuhan lebih tinggi dari perlembagaan negara

Yang terbaik dari Saudara Aspan Alias. Sila baca

Perlembagaan (dan undang-undang) Tuhan lebih tinggi dari perlembagaan negara

Isu hudud semakin panas dan DAP merupakan parti yang paling rasa kepanasannya. Yang terakhir Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan keras kepada PAS dan mengingatkan PAS samada parti itu patut yakin dengan janji-janji UMNO dalam hal hudud ini. LGE bertegas untuk menentang hukum hudud ini dilaksanakan di Kelantan dan beliau mengingatkan PAS yang parti itu telah mengecewakan penyokong bukan Islamnya dan tidak berterima kasih diatas sokongan bukan Islam dalam PRU yang lalu yang membolehkan PAS mendapat kerusi yang banyak dalam pilihanraya yang lalu.

Hanya yang belum di sebut oleh LGE ialah supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat sahaja. Jika saya anggap saya sebagai ahli PAS, saya tidak menerima kenyataan LGE yang PAS telah mendapat kelebihan kerusi dalam pilihanraya yang lalu kerana sokongan DAP dan kaum bukan Islam, ia merupakan satu kenyataan yang tidak berhati-hati. Sesungguhnya dalam pilihanraya yang lalu PAS telah menjadi korban DAP dan Parti itu mendapat satu kerusi kurang dari pilihanraya 2008 yang lalu.

Yang mendapat kelebihan kerusi yang banyak ialah DAP, dari 28 kepada 38 hasil dari PAS yang membawa orang Melayu dan Islam berpusu-pusu menyokong parti itu sehinggakan DAP mengambil kesempatan dengan menggunakan orang Melayu dan Islam sebagai pembawa poster dan banting sahaja dalam pilihanraya yang lepas.

Jika DAP berterusan mengkritik PAS sebegini ia terlupa yang parti itu telah memungkiri janji untuk menghormati perjuangan politik dan agama lain seperti yang disebutnya semasa berbahas dengan Dr Chua Soi Lek suatu ketika sebelum PRU yang lalu.

PAS sekarang sedang menerima gamitan dari mereka yang tidak suka dengan hukum Islam dan gamitan dari pihak yang berkehendakkan Islam itu di masyurkan dan di tingkatan penerimaannya terhadap umat manusia yang beragama Islam terutamanya. PAS boleh memilih untuk meninggalkan perjuangan Islamnya dan bersekutu dengan pihak yang semuanya tidak betul dengan Islam ini.

Tindakan DAP cuba untuk mengelirukan PAS supaya tidak percaya kepada UMNO itu adalah satu lagi tindakan yang tidak difikirkan sebelum membuat kenyataan. Adalah tidak munasabah bagi PAS untuk mempercayai DAP dalam hal meningkatkan Islam ketahap yang tertinggi. Dalam membuat kritikan terhadap PAS agar tidak percaya kepada UMNO, LGE sendiri secara terbuka tidak menyokong pengamalan hukum hudud di Kelantan.  Saya bukannya meminta PAS percaya dengan UMNO, tetapi saya hanya mengatakan yang DAP langsung tidak boleh berbincang tentang hudud ini.

Apa pun sebabnya UMNO bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal tentang hudud ini, ia dipersetujui oleh mereka yang beragama Islam. Seburuk-buruk UMNO itu ada juga bau Islamnya walaupun ia tidak setahap mana.

Bagi saya yang penting sekarang kita wajar bersetuju untuk perlaksanaan hukum hudud itu dan Dewan Legislatif perlu menyokong usul persendirian itu. Samada ia akan terlaksana tahun hadapan atau tahun-tahun yang akan datang itu bergantung kepada beberapa perkara pokok yang perlu diselesaikan dan dipersediakan.

Pertamanya ia perlu difahami oleh semua bangsa dan berbagai agama dalam negara ini. Ia perlu diterangkan dengan secara 'detail' dan pastikan semua pemimpin memahami apa hudud itu sebenarnya.

Malahan jika kita tidak melaksanakan hudud itu, kita perlu memahami apa hudud itu, setidak-tidaknya dijadikan sebagai sumber ilmu bagi mereka yang jahil-jahil seperti saya ini.

Jika kita mahu menjadi orang Islam sebenarnya saya meminta diri saya dan semua orang untuk mengambil agama itu seratus peratus. Kita tidak boleh menyesuaikan agama itu dengan kehendak nafsu-nafsi kita semata-mata kerana Islam itu di turunkan sebagai agama yang lengkap. Kalau kita tidak mahu mengikut kehendak sebahagian dari agama itu, kita akui yang kita engkar dengan kehendak agama dan Tuhan kita, tetapi jangan menyatakan agama kita itu tidak sempurna. Kita akui kita tidak mampu menerima agama kita yang lengkap itu.

Jika kita malas bersolat, terima sahaja yang kita engkar untuk bersolat misalnya, tetapi jangan katakan yang kita tidak payah bersolat. Saya selalu tinggal solat lima waktu itu, tetapi saya tidak akan berkata yang kita tidak perlu bersolat.

Begitu juga dengan hukum hudud ini. Jika tidak berkemampuan untuk menerimanya, akui sahaja yang kita engkar, jangan katakan yang hudud itu zalim dan sebagainya. Biarkan Lim Guan Eng kata hukum Islam itu zalim. Jangan pula kita terikut berkata perkara yang sama kerana Lim Guan Eng itu bukan bandingan dengan  Tuhan kita.

Jika perlu ditinggalkan sahaja Pakatan Rakyat, lakukanlah dengan penuh komitmen dan keyakinan. Tetapi jika masih hendak mengikuti LGE itu adalah hak masing-masing, tetapi kita mesti akui yang kita engkar terhadap agama kita. Itu demokrasi, boleh ikut LGE jika percaya kepadanya dan kita boleh ikut kehendak agama kita jika kita yakin agama kita itu agama yang sempurna dan lengkap.

Tetapi jangan biarkan mana-mana individu yang bukan beragama Islam menghina agama kita. Sejahil-jahil kita yang beragama, kita tidak mampu membiarkan agama kita dilangkah dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

Pada siapa yang merasa berat berjuang untuk kehendak Allah s.w.t. duduk diam ditepian bersama saya, tetapi jangan terdorong untuk mengiyakan pandangan mereka yang tidak suka dengan hukum agama kita.
Kita perlu ingat se garang dan se hebat mana kita sekali pun didunia ini, akhirnya nanti kita akan pergi menghadap Allah s.w.t. juga. Walaupun jasad kita dimakan ulat tetapi ingat roh kita lah yang akan menerima bahagia atau celaka akhirnya nanti.

Oleh kerana kita ada roh itulah maka ada elemen dosa dan pahala. Roh kita akan mengadap Tuhan Azawajalla dan dialah yang akan menanggung segala dosa dan noda kita didunia ini.

Perlembagaan Tuhan lebih tinggi dari perlembagaan negara. Perlembagaan negara itu adalah buatan manusia, boleh diubah dan disesuaikan dan diubah. Yang tidak boleh diubah ialah Perlembagaan Tuhan yang Maha Pencipta itu.


Pencipta-pencipta perlembagaan negara itu sendiri adalah ciptaan Allah s.w.t. Guan Eng itu sendiri adalah ciptaan Tuhan. Ingat itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?