AIR MATA DI WAD ICU
Baca dan semailah didalam hati.......
....................
Catatan
sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini.
Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih
punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal
Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah
Harakah Islamiyyah.
Pagi
tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku
memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti,
jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang
dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa
sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan
yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.
Aku
menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah
hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya
berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa
kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada
beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik
Ustaz Azizan.
Assalamualaikum!
Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah,
"Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola
matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak
mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih
menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk
menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras
dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.
"Bersabarlah,
bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang
bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH
sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka
bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak
bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan
nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas
kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan
membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan
mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya.
Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH
memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh
disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu
teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis
laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam
pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi,
Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis
menekupkan mulut dengan tangan.
TGHH
memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap
kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini... "Bersabarlah...
kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima .....
Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah
sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama
daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata
TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di
belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih
tak terkawal lagi.
"Ana
akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada
sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk,
matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku
segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff
Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey.
Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.
Ustaz
Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa
ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku
mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan
ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah,
kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan
tangisnya.
"Ana
minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz
Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip
dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia
menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang
terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam
esakan.
TGHH
menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat
tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam
bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat
air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan
pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.
Demikianlah
kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana
Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini.
Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu
tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun,
kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu
bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air
mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
- HarajahDaily
Ulasan