ISU AIR PERCUMA: KERAJAAN SELANGOR MEMANG SALAH. YANG MENYAMAN MEMANG BETUL!

Saya suka bertanya kepada rakyat Malaysia. Untuk apa mereka keluar mengundi di dalam Pilihanraya Umum? Kenapa anda semua perlu bersusah payah pergi ke pusat mengundi, beratur berminit-minit di saluran mengundi yang telah diarahkan oleh SPR, dan kemudian pergi ke kotak berdinding 3 untuk memangkah calon yang anda semua sokong? Kenapa?

Kenapa anda semua perlu bersusah payah memberikan masa anda untuk pergi ke saluran mengundi untuk memenangkan seorang manusia untuk dijadikan mereka wakil rakyat anda? Adakah anda semua mahukan sesuatu dari mereka atau anda semua hanya seronok-seronok nak mengundi. Lepas mengundi, lantak engkaulah..... begitu?

Mahu tidak mahu, kepada sesiapa yang kamu pangkah, mesti ada terdetik dihati sanubari kamu untuk menginginkan sesuatu daripada mereka yang kamu pangkahkan itu. 'Jika menang, aku nak itu dan ini'. Mesti ada. Jangan hendak berbohong. Kecualilah anda membuat undi rosak atau tidak keluar mengundi.

Sangat bodohlah kepada pengundi untuk tidak mahukan sesuatu daripada calon yang bertanding. Kerana yang memenangkan mereka dan yang memberikan kerusi empok sebagai ADUN atau ahli Parlimen adalah dari undi anda semua.

Oleh itu, jika kita sudah menang, menjadi ADUN, menjadi EXCO dan kemudiannya ada yang menjadi Menteri Besar, semuanya adalah kerana jasa-jasa undi daripada rakyat yang mengundi kamu.

Jika dilihat kepada kepimpinan umno, pemikiran mereka telah manjadi satu kebiasaan, untuk membantu, hanya kepada mereka-mereka yang mengundi mereka, atau mereka menganggap rakyat yang menyokong mereka. Dan jika seseorang itu, terang-terangan adalah penyokong pembangkang, yakni mereka yang kalah, lebih 90% pemimpin umno tidak akan mengendah dan menolong mereka.

Jika mahu pertolongan, isi borang umno. Jika mahukan bantuan, mesti sokong umno. Ini adalah tabiat yang sudah sebati kepada cara dan SOP kepimpinan puak-puak umno. Walaupun yang memohon bantuan itu adalah orang Melayu, disebabkan dia adalah ahli PAS, maka permohonan itu akan dibakul sampahkan.

Semua ini rakyat sudah mengerti. Terutamanya rakyat Selangor, mereka sudah terbiasa dengan perkara ini.

Namun, tiba-tiba, dengan tidak semena-mena, Selangor telah bertukar kerajaan. umno bn kalah. Mereka yang dahulu pembangkang telah mendapat kerusi yang lebih banyak dari bn. Mereka yang dahulunya pembangkang telah bergabung menjadi Pakatan Rakyat (PR). Dan terjadilah kerajaan baru Selangor diterajui oleh PR.

Maka bersungguh-sungguhlah kerajaan baru ini untuk memerintah negeri Selangor agar mereka memerintah dengan lebih baik daripada umno bn yang telah menjadi pembangkang. Bersusah-payah jugalah kerajaan Selangor diterajui PR untuk mengotakan janji mereka dari apa yang telah mereka janjikan semasa pilihanraya dahulu.

Salah satu janji PRU 12 adalah air percuma. 20m3 pertama, pengguna domestik, adalah percuma. Tidak ada pula saya teringat semasa berkempen untuk Barisan Alternatif dahulu, BA menjanjikan hanya meter individu yang mendapat air percuma, tidak kepada pengguna meter air pukal. Yang ada, pengguna domestik dapat air percuma untuk 20m3 pertama. Itu memang ada.

Oleh kerana ada kesukaran untuk mengirakan meterpadu kepada pengguna meter pukal, maka mereka yang menduduki rumah pangsa, rumah kondo dan rumah flat, yang bermeter pukal, tidak diberikan keistimewaan air percuma itu.

Saya sendiri telah menikmati air percuma untuk rumah saya. Ada dua rumah saya yang tiap-tiap bulan tidak perlu dibayar bil air. Cuma kadang-kadang perlu juga membayar RM3-6 kerana terlebih guna akibat kenduri kendara.

Tetapi, ada kawan saya yang duduk di flat, tidak dapat menikmati air percuma itu, sehingga sekarang. Sudah hendak masuk 5 tahun janji Barisan Alternatif dahulu, yang tidak ditepati kepada segelintir manusia.

Maka adakah salah jika mereka membuat keputusan untuk menyaman kerajaan PR. Yang dahulu telah menjanjikan perkara ini kepada mereka.

Isunya disini ialah, mahu tidak mahu, janji kita kepada mereka telah tidak ditepati.

Janji kita kepada mereka ialah air percuma 20m3 pertama. Itu janji kita. Kita tidak menjanjikan hanya kepada mereka yang memiliki meter individu semasa PRU12 dahulu. Itu pasti.

Isu meter individu dan pukal hanya terbit setelah kita memerintah. Itu juga pasti.

Dan mereka yang menunggu untuk dapat menikmati air percuma yang telah dijanjikan oleh kita selama 5 (LIMA) tahun juga adalah benar. Bukan palsu.

Dan oleh itu, adakah salah mereka menyaman kerajaan Selangor?

Adakah kita akan menjadi manusia yang beranggapan, oleh kerana yang menyaman ini adalah tali barut umno, maka kita berfikiran ianya hanya untuk mencemar nama baik kerajaan PR?

Jika ada. Saya sendiri tidak akan menyokong kerajaan yang mempunyai pemikiran demikian. Saya sendiri akan tidak menyokong lagi kerajaan PR. Kerana mentaliti pemerintahan mereka adalah serupa seia sekata dengan umno bn.

Kita lawan umno dahulu kerana umno dahulu semasa memerintah Selangor, melayan pembangkang seperti sampah. Jadi, adakah kita juga akan melayan pembangkang sekarang, seperti sampah? Adakah kita akan sentiasa mengambil sangka bahawa semua yang dibuat oleh pembangkang adalah untuk menjatuhkan kerajaan?

Jika ya, maka sama siallah kerajaan PR dengan kerajaan umno bn dahulu. Kerana mentaliti yang korup tentang 'berlainan pendapat', dianggap semuanya negatif. Itulah perlunya pemimpin kerajaan PR sekarang mempunyai mentaliti yang positif. Akal yang digunakan adalah kedua-dua belah otaknya, kiri dan kanan.

Rakyat tidak pedulikan tentang perkara-perkara yang birokrasi dalam perlaksanaan kerja sesuatu kerajaan. Mereka hanya hendak melihat keputusan. Rakyat tidak peduli siapa yang salah untuk tidak mengindividukan meter pukal mereka. Jangan membodohkan rakyat. Mereka tahu masalah datang dari tokey-tokey syarikat perumahan. Mereka tahu masalahnya ada terletak kepada bahu Syabas. Tetapi, mereka juga tahu, yang mempunyai kuasa untuk membuangkan masalah-masalah ini adalah kerajaan Negeri.

Jika bukan kerajaan Negeri, siapa lagi? Malaikat dari langit?

Kemudian, ada pula suara yang mengatakan, RM1.15juta itu adalah melampau samannya. Apa yang melampaunya? Cuba kita matematikkannya;

20m3 air pertama adalah bersamaan dengan RM11.40. Janji bermula bulan April 2008. Sekarang bulan 9 2012. Maknanya sudah lebih kurang 54 bulan janji tidak dilaksanakan. Yang menyaman 2,020 orang rakyat Selangor. Oleh itu, RM11.40 X 54 X 2020 = RM1,243,512.00. Maka, apa yang melampaunya?

Kita jangan jadi akal macam orang umno. Kita memerintah, tolonglah berbeza dengan puak umno bn.

Maka, jika ada terdetik kerajaan PR untuk melawan habis-habisan mereka yang menyaman kerajaan Selangor, maka kamu semua akan saya anggap adalah serupa sama seia sekata dengan perangai umno.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Mazwandi Mustaffa,

Kita keluar mengundi adalah untuk memberi kepada diri kita sendiri peluang tukar kerajaan. Oleh kerana itu saya juga bersetuju bahawa kita mengundi seseorang calon dari sesuatu parti untuk mengharapkan sesuatu darinya.

Memang berbalai kalau kita mempunyai akal yang waras dalam memilih siapa yang layak menjadi wakil rakyat dimana kita berada tanpa dikaburi dengan wang ringgit sebagai rasuah. Seperti terjadi diSabah dan Sarawak, mereka dirasuah hanya hanya sekali dengan beberapa ringgit saja tapi hidup puak mereka tersiksa selama lima tahun. Dan bila sampai pilihanraya mereka diperbodohkan lagi dan lagi......

Saya sanggah pendapat saudara berkaitan ".....adakah salah mereka menyaman kerajaan Selangor?..." Bagi saya jika tindakan saman itu diteruskan seolah-olah orang itu seperti pendatang haram yang tidak ada wakil rakyat dimana mereka berada.

Sepatutnya mereka perlu merujuk dan berbincang dulu dengan wakil rakyat setempat berkaitan masaalah yang mereka hadapi sebelum bertindak menyaman. Jika saluran ini tidak digunakan sepenuhnya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pemikiran mereka.

Saudara, kerajaan negeri menyatakan dalam manifestonya adalah air percuma untuk seluruh rakyat Selangor. Jika nak mendapatkan air percuma itu maka meter air mestilah berasingan bukan jenis pukal. Bagi rakyat yang menggunakan meter air jenis ini hendaklah bersatu dan bersetuju menukarkan meter tersebut.

Takan begitu sombong, nasi dan lauk telah disediakan dihadapan mata... nak masuk kedalam mulut sendiri pun kerajaan negeri nak suapkan ?



ibnmustaffa berkata…
Itulah saya kata. Mentaliti kita masih berada pada tahap ubn. Bila kita yg menyokong kerajaan, menganggap org yg menyaman kerajaan sebagai begitu sombong, sesuatu perlu dibaiki. Kita menjadi serupa dgn umno.

5 tahun tidak mendapat air percuma spt dijanjikan. Bukan 5 hari. PRU 13 pun dah dekat. Bermakna, kita telah gagal menjalankan amanah kita sebagai pemerintah.

Jgn sombong apabila dapat kuasa, kita anggap pembangkang sebagai sampah.

Kita menjaga semua orang, termasuk orang yang memaki dan mengfitnah kita tiap2 hari. Itulah perbezaan kita dengan umno.

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?