NAK KACAU TUHAN SEKEJAP.

Ade layar laman dakwah Islam di Sabah tadi. Lalu terbaca artikel dibawah ini. Saya rasa, ianya wajib dikongsikan kepada semua......

Dakwah Di Pedalaman Sabah 14: Mengganggu Tuhan?


Dakwah kami di Salong tidak terhenti begitu saja. Kami susuli lagi, kali ini dengan misi untuk pergi lebih jauh, hingga ke Pensiangan, kira-kira 114 km dari Nabawan.

Saya bersama Ustaz Arabi dan seorang murid, Muhammad Muslim tiba di Salong waktu Asar, setelah menempuh perjalanan panjang sejak pagi. Setelah menunaikan solat Asar dan Zohor (jamak taakhir), Angin memberitahu kami, ada jemputan kenduri petang itu di kampung seberang. (Kampung Belantos)

Kenduri itu adalah sempena perkahwinan pasangan pagan dan kristian. Di pedalaman seperti itu, mereka tidak begitu kisah soal agama dalam perkahwinan, kerana yang beragama dan tidak, lebih kurang saja amalannya.

Saya bersetuju sahaja, atas dasar dakwah. Inilah peluang untuk bertemu penduduk kampung, serta memperkenalkan Tuhan kepada mereka.

Jemputan itu jam 6.00 petang. Kami merentas jambatan gantung yang agak panjang dan tinggi. Terbuai-buai, sedikit gayat rasanya. Kami berempat, bersama Angin, disambut oleh penduduk kampung bagaikan menyambut tetamu istimewa.

Mereka berbaris sepanjang jalan, bermula dari jambatan gantung hingga ke rumah pengantin, yang terletak kita-kira 200 meter. Menarik…yang lelaki berdiri di hadapan, sementara yang perempuan di belakang. Hanya yang lelaki sahaja yang menghulur tangan bersalaman. Yang perempuan hanya meletak tangan di dada kiri sambil tunduk hormat macam orang Jepun.

Mereka seperti memahami bahawa kami tidak bersalam dengan yang bukan mahram, walaupun mereka belum mempelajarinya. Kadangkala saya lebih malu dengan sikap perempuan yang Islam, tetapi tidak segan silu menghulur tangan untuk bersalam dengan sesiapa sahaja.

Beberapa anak muda menghulur tangan bersalam sambil tangan kirinya disorok di belakang. Mereka sedang menyorokkan tempayan kecil yang berisi tapai (arak). Mereka tidak mahu kami melihat mereka memegang arak, tetapi saya tahu dari baunya.

Itulah fitrah. Perkara melanggar syariat itu, sebenarnya semua manusia tidak suka. hanya mereka yang rosak fitrahnya sahaja yang menyukai, kerana telah dihiasi oleh nafsu dan syaitan. Alhamdulillah, saya dapat merasakan peluang cerah untuk mereka mendapat hidayah dari Allah.

Tiba di rumah kenduri, tuan rumah menyambut kami dengan gembira. Beliau memberikan sebuah beg plastik berisi gula-gula. Sudah menjadi adat mereka menggembirakan kanak-kanak dengan menabur gula-gula. Saya dan Ustaz Arabi menaburkan gula-gula, maka berebut-rebutlah anak-anak kecil menyambut dan mengutipnya di halaman.

Kami dikenalkan kepada pasangan pengantin yang didudukkan di atas sebuah pangkin yang berhias daun dan bunga. Tiada lain dalam hati, kami hanya mendoakan agar mereka berdua mendapat hidayah.
Kami dijemput naik ke rumah untuk makan. Terkejut, yang ada hanya sebuah kuali yang baru dibeli dan beberapa tin ikan sardin.

“Jangan bimbang tuan, kami belikan kuali ini khas untuk tuan. Kami akan masakkan.” Kata tuan rumah. Seorang penduduk yang telah Islam memasak untuk kami.

Kebetulan masuk waktu Maghrib, kami minta izin untuk solat. Kami hamparkan serban sebagai lapik tempat solat, lalu solat berjemaah. Suasana bagaikan pertunjukan silap mata. Kami dikelilingi segenap penjuru. Setiap pergerakan kami diperhatikan. Hinggalah kami selesai solat dan berdoa.

Seorang penduduk kampung bertanya, “Apa yang tuan buat tadi?” Baru saya perasan, sejak mula lagi kami dipanggil oleh mereka dengan panggilan “Tuan”.

“Kami menyembah Tuhan. Kami meminta kepada Tuhan.” Jawab Ustaz Arabi. Muhammad Muslim mengangguk-anggukkan, mungkin sedang cuba memahami teknik dakwah yang sedang dipelajarinya secara langsung. Angin mendengar penuh minat.

“Ooo…, patutlah Tuhan marah pada orang kristian dan Islam. Suka mengganggu Tuhan” Ujar penduduk yang bertanya. Saya tidak dapat mengingati lagi namanya.

“Mengapa pula?” Ustaz Arabi memancing kekeliruan mereka tentang ketuhanan selama ini. Rata-rata mereka di sini pagan, belum beragama.

“Tuhan marah orang Islam, orang kristian. Waktu senang mereka panggil Tuhan, masa susahpun mereka panggil Tuhan, kacau sama Tuhan. Bila Tuhan mahu tidur?”. Penuh yakin dia menjawab.

Saya hanya tersenyum. Inilah peluang untuk memperkenalkan Allah kepada mereka.

Saya nyatakan, “Tuan-tuan semua, Tuhan sebenarnya bukan begitu, kerana Allah itu Maha Berkuasa. Dia tidak memerlukan makan, tidak tidur dan tidak pernah letih seperti kita. Kita ini makhluk ciptaanNya. Allah suka jika hamba-hambanya selalu minta pertolongan dariNya.”

“Jika Allah itu tidur, letih…dia bukanlah Tuhan. Tuhan mestilah kuat, gagah, berkuasa…” Sambung Ustaz Arabi.

“Oooo…jadi Tuhan orang Islam lainkah? Tuhan orang Islam kuat…baguslah macam tu. Boleh kita minta tolong.” Sambut penduduk kampung yang lain. Mereka saling berpandangan. Mungkin pertama kali mendengar tentang Tuhan. Baru mengetahui tentang Allah.

Begitulah rata-rata kepercayaan orang Pagan. Amat jarang pendakwah sampai kepada mereka untuk kenalkan kepada Allah. Kalau ada yang tiba, hanya ceritakan tentang hukum Tuhan, tetapi tidak kenalkan kepada pencipta syariat yang indah itu.

Hidangan telah tersedia. Kami dijemput makan. (Sebenarnya makanan tersebut dimasak sendiri oleh saudara Muslim. Mereka hanya menyediakan nasi, kami diberi satu tin ikan sardin dan sebuah kuali yang baru dibeli. Lucu juga, jadi tetamu, tetapi masak sendiri)

“Sebelum makan kami mahu “kacau” Tuhan sekali lagi.” Kata Ustaz Arabi. Penduduk kampung hanya ketawa, kerana mereka telah faham, bahawa Tuhan tidak boleh dikacau.

Kami berdoa, penduduk turut mengangat tangan walaupun mereka tidak faham dan belum Islam. Di luar semakin meriah dengan berbagai gelagat penduduk terutama kanak-kanak yang begitu gembira. Mereka belum makan, sebab itu kami cepat-cepat beredar selepas makan. Mereka menghormati kami, tidak makan dulu kerana ada hidangan yang tidak halal di situ.

Beberapa anak muda mengiringi kami hingga ke jambatan gantung….(bersambung)
محمد فضلي بن يوسف
17 Ramadhan 1432H
17 Ogos 2011

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?