Penyakit ‘Naif’ yang akhirnya membunuh


Penyakit ‘Naif’ yang akhirnya membunuh

comango

katanya “Pemerintah kita kan Melayu, takkanlah kita terancam kot”

Hari ini serangan terhadap umat Islam berlaku dalam pelbagai bentuk dan rupa, samada secara jelas, secara  tidak langsung atau secara halus. Di dalam kepelbagaian serangan ini, wujud suatu serangan yang amat berbahaya, yang boleh membawa kepada lumpuhnya umat secara menyeluruh jika serangan ini berjaya. Iaitulah suatu serangan yang bertujuan menjadikan orang yang diserang itu berasa bahawa dia tidak berada dalam situasi diserang. Saya suka untuk menamakannya sebagai penyakit “naïf”.

Serangan dalam bentuk ini akan menjadikan orang yang diserang itu tidak berasa terancam, berasa selesa walhal pada hakikatnya dia sedang diancam lalu keadaan ini dijadikan sebagai peluang keemasan oleh musuh untuk melakukan pukulan maut.Akhirnya orang yang menghadapi serangan ini tidak akan sedar bahawa dia sedang kalah hinggalah apabila dia sedar bahawa kampungnya sudah tergadai sedang dia sibuk bersorak.

katanyaBilangan ahli Parlimen Melayu dan Islam kan ramai di Parlimen”



Serangan menggunakan senjata ini bukanlah baru, bahkan perkara inilah merupakan antara senjata yang paling banyak digunakan oleh musuh dalam mengalahkan umat Islam. Perhatikanlah sejarah! Lihatlah bagaimana runtuhnya keagungan tamadun Khilafah Abasiyyah di tangan Mongol.

أَوَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ كَانُواْ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَانُواْ هُمۡ أَشَدَّ مِنۡہُمۡ قُوَّةً۬ وَءَاثَارً۬ا فِى ٱلۡأَرۡضِ فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِہِمۡ وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن وَاقٍ
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. (Al Ghafir:21)

Dr Ragheb El Sergani menceritakan hal ini di dalam buku beliau “Qisah Tatar: minal bidayah ila ain jalut” akan suasana naïf yang melanda umat Islam ketika itu:

“Penduduk di Baghdad ini telah menzalimi saudara-saudara mereka selama 40 tahun, mereka dengar akan kisah penyembelihan saudara-saudara mereka yang berada di Afganistan, Uzbakistan dan lain-lain oleh tentera Mongol, mereka juga mendengar akan kisah muslimah-muslimah dirogol dan pembunuhan kanak-kanak kecil, namun mereka langsung tidak berbuat apa-apa. Bahkan mereka mendengar akan kisah khalifah sebelum itu berkomplot dalam membunuh umat Islam atas kepentingan politik namun mereka tetap diam membisu. Maka mereka sepatutnya dihukum atas kenaifan ini”

Umat Islam di Baghdad ketika itu merasakan mereka adalah kuasa terbesar dunia, mereka adalah pemerintah yang berdiri atas dasar Islam yang diredhai oleh Allah SWT, jadi tidak mungkin mereka akan dikalahkan oleh mana-mana pihak khususnya tentera Mongol yang merupakan suatu bangsa yang seolah-olah tidak wujud dalam peta dunia. Perasaan berasa selesa dan tidak rasa terancam inilah menyebabkan mereka kalah.

muktasim

Hulaghu Khan menyeksa Khalifah ketika itu sebelum dibunuh

katanya “Tengok cara bukan Islam perintah, berapa banyak duit diberi untuk bangunkan Islam”

Bahkan lebih mengejutkan lagi, penyakit “naïf” ini sampai ke tahap adanya dikalangan pimpinan umat Islam ketika itu yang bekerjasama dengan Mongol dalam menjatuhkan Khilafah Abasiyah. Perkara yang sepatutnya dirasakan sebagai suatu ancaman menjadi sebaliknya, mereka rasakan ianya sebagai suatu peluang lalu bekerjasama dengan musuh, mereka lupa siapa musuh dan siapa kawan. Akhrinya mereka hanya menyedari hal ini  apabila mereka turut dibunuh setelah selesai diperkudakan oleh Mongol.

“Badaruddin Lu’lu’ (Gabenor Islam di Mosul) tidak cukup hanya dengan tidak ambil kisah tentang hal Mongol, bahkan menghantar tenteranya untuk bersama-sama Mongol untuk menjatuhkan Abasiyah dengan slogan “Membebaskan tanah air daripada kekejaman Abasiyah”

Umat Islam ketika itu terpaksa membayar bayaran yang tersangat mahal akibat penyakit kenaifan yang melanda semua kelompok ketika itu, samada pemimpin atau pon rakyat. Para sejarahwan menganggarkan bilangan mereka yang terkorban di Baghdad lebih daripada sejuta nyawa umat Islam. Kenaifan ini turut menyebabkan runtuhnya sebuh tamadun yang hebat. Khalifah ketika itu juga dibunuh dalam bentuk yang sangat hina iaitu dengan digulung di dalam permaidani Istana lalu dipijak beramai-ramai.

katanya “Kitakan penduduk majoriti mana mungkin diorang boleh buat apa-apa”

Penyakit naïf ini bukan melanda sekali sahaja dalam sejarah umat Islam, penyakit ini juga menjadi penyebab utama kepada runtuhnya Kerajaan Islam di Andalus. Kisah kenaifan ketika jatuhnya benteng terakhir Andalus iaitu Granada adalah sebuah kisah yang sepatutnya kita sentiasa jadikannya sebagai pedoman.
Rampasan kuasa oleh Abu Abdullah bin Abi Hasan terhadap bapanya dengan kerjasama Kristien Eropah pada hakikatnya sudah cukup untuk mengajar kita supaya berhenti daripada bersikap naïf terhadap musuh. Kata-kata ibunya saat Abu Abdullah bin Abi Hasan menangis akibat telah ditikam belakang oleh musuh yang disangka sebagai rakan hendaklah kita jadikan sebagai peringatan:

ابك اليوم بكاء النساء على ملك لم تحفظه حفظ الرجال
“Kamu jangan menangis seperti seorang wanita untuk apa yang kamu tidak dapat membela sebagai seorang lelaki.”

katanya “Mana ada Melayu dan Islam terancam”

Kini serangan dalam bentuk ini kembali dilakukan oleh musuh khususnya di Malaysia, seruan-seruan naïf yang menyebut Islam dan Melayu tidak terancam semakin kuat dilaungkan. Lebih mengejutkan adakalanya seruan ini lahir daripada mereka yang secara jelas sedang menyerang kedua tiang utama tersebut di dalam Negara ini. Juga lebih memalukan apabila seruan tersebut lahir daripada mereka yang mengaku sebagai pejuang Islam namun buta dalam memahami waqi’ apa yang sedang berlaku disekeliling mereka.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya memahami apa yang sedang berlaku hari ini berdasarkan kepada realiti sekeliling, bukanlah berdasarkan kepada apa yang orang lain kata. Berhentilah berfikir seolah-olah hanya kita yang berperancangan sedangkan musuh tidak! Hakikatnya mereka beperancangan, mereka berstrategi, mereka tersusun bahkan berorganisasi.

Apa yang berlaku di Malaysia daripada isu IFC, isu kalimah Allah, isu Mahkamah Syariah, isu memperlekeh hak keistimewaan orang Melayu, isu LGBT, isu Comango dan pelbagai isu lagi kesemuanya adalah di bawah perancangan yang tersusun dengan rapi. Ia tidak berlaku secara tiba-tiba, berhentilah daripada bersikap naïf dalam memahami waqi’ dan dalam mengenali musuh.

Lihatlah akan hakikat kesungguhan musuh yang tak pernah penat dan lelah dalam usaha memadamkan cahaya Allah SWT ini! Lihatlah dengan sedar suasana satu demi satu jiwa umat Islam yang sedang dibunuh di serata dunia setiap hari! Lihatlah kesemua perkara ini dengan cahaya hati supaya akhirnya kita sedar akan betapa benarnya petunjuk wahyu yang Allah SWT ajarkan pada kita supaya dijadikan prinsip perjuangan kita:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰ‌ۗ وَلَٮِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ‌ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. (Al-Baqarah: 120)

Berhentilah bermimpi, hiduplah dengan realiti.

 firdaus
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

PULAU BATU PUTIH : MALAYSIA (PH) SERAHKAN JUGA PADA SINGAPURA?