Mari sama-sama kita sebut syahadah

Selasa, Jun 21, 2016

PAS KALAH TERUK. NAK BERUBAH CARA KEMPEN ATAU TIDAK?

PAS kalah teruk. Katakanlah apa pun, PAS kalah teruk dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kerana apa? Kerana cina tidak mengundi PAS. Dan Melayu tidak mengundi PAS.

Paling baik pun, mungkin 1% undi cina yang PAS dapat, dan undi Melayu hanya sekitar 30-35%. Dari segi pola pengundi Melayu, tidak mengubah apa-apa, dari PRU13 dan PRK ini. Walaupun PAS sudah tidak boleh dimomokkan sebagai kuda tunggangan dap (walau masih ada orang kampung masih berfikiran begitu), namun Melayu masih tidak mengundi PAS. Kenapa?

Jawapannya mudah. Sebab benda.

Ya, umno beri benda. Materialistik. Benda yang sementara. Walau hanya rm200, namun pada pandangan orang Melayu, ianya berkekalan sehingga dua abad.

Walau seguni beras 5kg, ianya seperti memberi emas bertimbun.

Kenapa begini?

Adakah Melayu bodoh?

Tidak.. Melayu tidak bodoh. Tetapi Melayu mempunyai hati yang lembut. Apabila orang memberi sesuatu, maka dia akan rasa satu ikatan yg kuat daripada si pemberi itu. Bukan semua melayu begitu. Tetapi kebanyakannya.

Mahu tidak mahu, insan seperti inilah yang akan mengundi, untuk memiilih calon yang bertanding menjadi wakil rakyat.

Sistem demokrasi itu sendiri, adalah sistem dimana sesiapa yang memberi sesuatu kepada pengundi sesuatu yang menyebabkan pengundi itu akan menjadi senang dalam pemikiran pengundi itu, maka pemberi itulah yang akan menang.

Maka apakah PAS akan lakukan untuk menarik minat orang Melayu untuk mengundi PAS. 30-35% Melayu mementingkan agama untuk menarik minat mereka mengundi PAS. Lagi 40% adalah golongan Melayu yang terlebih semangat nasional Melayunya yang berfikiran hanya umno boleh perintah tanah Melayu. Selebih 30-25% lagi, tidak berminat atau tidak faham dengan Islam yang ingin dibawa PAS didalam sistem pemerintahan. Yang mereka nampak adalah benda. Didalam culaan, mereka ini adalah golongan atas pagar.

Jadi, apakah benda yang patut PAS berikan kepada pengundi Melayu 30% ini? PAS kena buat kerja lain dari yang lain. Lebih dari apa yang telah PAS buatkan sekarang. Kerana apa yang PAS buat sekarang, golongan atas pagar tidak berkenan untuk mereka mengundi PAS.

Lakukan sesuatu PAS. Berfikirlah diluar kotak untuk memenangkan Islam.

Khamis, Mei 26, 2016

CATATAN SUNGAI BESAR

Sungai Besar.

Saya ada 3 hari disana tahun lepas. Berniaga keropok Terengganu di booth karnival sukan Piala Raja2 melayu tak silap saya. 3 hari 2 malam lah saya di stadium Sungai Besar. bersama rakan saya berniaga. Rata-rata yang membelinya, orang Jawa. Jawa Malaysia. Atau lebih tepat Jawa Sungai Besar.

Solat Jumaat di Pekan Sungai Besar. Baik-baik orangnya. Ada sorang ustaz, yang membawa motor, menumpangkan saya sehingga depan masjid. Mungkin melihat saya jalan terhincut-hincut.. kaki kanan saya sakit ketika itu.

Turun dari motor, ustaz itu berbahasa jawa dengan saya. Saya sengih dan katakan saya tak faham. Ustaz itu senyum dan sapa saya dalam bahasa Melayu.. "Oh.. bukan orang sini ya..", ustaz itu menyapa ku.

Subuh esoknya, solat subuh di masjid yang sama. Kerana masjid itu sahaja yang paling dekat dengan stadium. Surau di taman kami dengar azannya.. tetapi tidak tahu di mana suraunya. Maka ke masjid Sungai Besarlah kami solat Subuh.

Makmum agak ramai.

Untuk hari hari ketiga, begitu jugalah kami solat Subuh di masjid yang sama. Tapi, subuh Ahad itu, Ustaz Salehin Mukhyi ada buat kuliah lepas Subuh. Ini first time saya dengar kuliah daripadanya.

Dari pengamatan saya melihat pekan Sungai Besar ini, dengan pengalaman di kedai kopinya, di masjid dan sekitar pekan serta tempat jualan, rata-rata orang tempatan disini begitu akrab antara satu sama lain. Kenal mengenali. Dan majoritinya, jika berbahasa, berbahasa jawa.

Semalam ada berborak dengan kawan lama saya. Beliau budak Shah Alam. Tapi kampungnya di Sungai Besar. Saya bertanya kepada dia, PAS ada peluang menang ke di sana?

Dia jawab, keluarga dia orang kuat umno. Kerana YB yang dahulu kala, adalah saudara kepada atok dia. Saya tidak tanya siapa YB itu. YB Kuala Selangor pula adalah sepupunya. umno juga. Maka disimpulkan, sekeliling keluarganya adalah dari umno belaka dan berjawatan tinggi dalam umno.

Kampung dia di Sungai Limau.

Namun ada sinaran harapan pada ayat ungkapan dia pada saya. Apabila saya kata, kalau gitu, kalah le PAS sebab Jawa Sungai Besar majoritinya kuat umno. Dia menjawab.. tak juga, ada juga yang sokong PAS, dan ada juga dah condong kepada PAS.

Apa yang penting, mereka nak melihat calon umno tu sapa. Kalau tidak sekepala dengan mereka, maka mereka akan undi orang lain gamaknya. Sentimen keluarga juga memainkan peranan di Sungai Besar ini.

Namun yang pasti, pkr dan pan tiada dalam kamus harian mereka.

Khamis, Mac 24, 2016

PUNCA LGE KALUT PASAL RUMAH SEBAB DAP JUGA KE?

Selang satu dua minggu ini, cerita berkenaan rasuah pembelian rumah bungalow dengan harga terlampau murah sedang bersepah-sepah dimerata-rata blog dan web page politik Malaysia. Setiap inchi berkenaan pembelian dan cerita berkenaan tukang jual empunya rumah itu akan keluar dari masa ke semasa. Melihat kepada 'bukti' yang dipersembahkan dengan secara detail lagi terperinci, membuatkan saya tertanya-tanya.. adakah sedang berlaku, didalam dap, cubaan untuk memecahkan blog anak beranak Lee dalam pola kuasa pemerintahan Pulau Pinang dan dap sendiri?

Saya cukup yakin, bukti-bukti, yang diterima oleh pihak umno Pulau Pinang, bukan datangnya dari pihak umno sendiri. Saya merasakan, ada dalang di dalam dap sendiri yang membenarkan bukti-bukti ini diambil dengan mudah oleh pihak musuh politik.

Cubaan menghancurkan karier politik LGE pada pendapat saya, sedang berlaku di Pulau Pinang. Dan ianya didalangi pasti dari orang dalam dap sendiri. Atau mungkin juga, pihak umno telah menemui bukti permukaan, kemudian ditambahkan lagi bukti-bukti yang lebih mendalam oleh pihak dap yang anti LGE agar LGE akan terkubur karier politiknya di Pulau Pinang.

Atau, mungkin juga ianya ada kaitan dengan anti LGE dalam dap bekerjasama dengan geng PKR yang sedang bengang dengan tindakan LGE yang memecat 4 wakil PKR didalam glc's pulau Pinang. Perlu diingat juga, MB Selangor sedang berperang senyap dengan KM Pulau Pinang.

Seronok melihat politik di Malaysia ini. Sesiapa yang memerintah, pasti akan menjadi spotlight untuk ditumbangkan dengan berbagai cara dan kaedah. Tidak peduli, samada ianya datang dari musuh, atau musuh dalam selimut. Dengan cara jawapan LGE yang memakan diri sendiri, dengan mulut yang terkunci oleh semua taiko2 dap Pulau Pinang, dengan penambahan bukti dan peluru untuk mengukuh dan membunuh karier politik LGE setiap hari, maka adakah disini, permulaan pengakhiran legasi Lee dalam politik Pulau Pinang?

Saya tidak yakin, Penang akan diambil alih oleh Gerakan daripada dap. Mustahil untuk setahun dua ini. Namun, penukaran KM Pulau Pinang dari LGE kepada Chow Kon Yeow itu ada. ADUN Padang Kota. Pengerusi dap Pulau Pinang. Namun, walau CKY adalah penegrusi dap Penang, beliau bukan anak tempatan Pulau Pinang. Beliau berasal dari Selangor..

Memang menarik politik Malaysia ini..

Khamis, Mac 10, 2016

Catatan Khas: Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen Berubah Bagaikan Dewan Kuliah Universiti

March 9, 2016



Catatan Khas: Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen Berubah Bagaikan Dewan Kuliah Universiti

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik dan mengasyikkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.

2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.

3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.

4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:

a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

b) Seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:

- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.

Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"

- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.

- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.

- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible.

Tuan Guru memetik :
"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17)
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.

Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).

[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]

- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa melalui pengutipan cukai pengampunan dosa.

Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah ideologi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan diambil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.

- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan.

Bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?

Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan amatlah disokong dan dilalukan.

[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]

- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.

- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, undang-undang tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.

[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.

- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada sejumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.

- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan pesalah. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dijatuhkan hukuman 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai.
Inilah keindahan hukum Islam, janganlah percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam.

[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]

- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.

*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang,
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]

- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]

- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dipinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara.
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.

[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan.
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."
Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu juga ada di India, 2 PM India dibunuh oleh penganut Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja.

Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik sesama insan. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh memperoleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?

- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu.

Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan.

Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.

*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.

- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak dituju kepada pihak tertentu.

Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, jika saya tidak baik, perbetulkanlah saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."
Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.

- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara.
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar.

PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, parti-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan).

Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.

6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.

7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS