Mari sama-sama kita sebut syahadah

Rabu, Julai 02, 2014

SETIAP KALI RAMADHAN, SAYA JADI TAKUT.

Ramadhan 4.

Berpuasa untuk hari ke 4 dalam tahun 1435. Ubat gastrik tinggal 4 biji. Jumaat ni, nak pergi hospital untuk ambil bekalan lagi.

Setiap kali hujung bulan Syaaban. Hati saya akan keluh kesah. Takut. Risau. Hati agak runsing takut-takut untuk berhadapan dengan bulan Ramadhan. Memang itulah yang akan dihadapi oleh saya. Bila dekat dengan bulan puasa sahaja, saya akan menjadi keluh kesah.

Buat apa saya hendak menipu dengan kalian semua. Memang itu perasaan saya jika berada dihujung bulan Syaaban. Perasaan keluh kesah itu bukan kerana tidak mahu berpuasa, tetapi perasaan itu datang kerana selalu berfikir, mampukah saya untuk berpuasa pada tahun itu?

Sesiapa yang tidak mengidap penyakit gastrik, tidak akan tahu, betapa takutnya mereka yang mengidap gastrik ini, apabila menjelangnya bulan Ramadhan. Perasaan takut ini datang kerana al-sabab yang membolehkan saya berpuasa, adalah dengan pertolongan ubat. Jika sebelum sahur, terlupa makan ubat, maka seharian saya terpaksa menanggung kesakitan, sehingga Mahgrib kunjung tiba.

Maka dari situ, untuk mendatangkan ketenangan. Adalah dengan iman. Dengan adanya iman terpaut dihati, maka kepada Allah jugalah tempat kita memohon bantu. Kepada Dia jugalah tempat kita mengadu. Dengan Allah jugalah tempat kita meminta pertolongan.

Saya sudah ditarik Allah nikmat untuk seronok bila datangnya Ramadhan. Allah telah menarik nikmat untuk saya berlumba-lumba puasa sunat di bulan Rejab dan Syaaban.

Namun, walaupun nikmat itu Allah telah tarik, tetapi Beliau telah berikan saya satu lagi nikmat. Nikmat merayu kepadaNya setiap hari agar saya dapat menempuh bulan Ramadhan ini dengan kesihatan.

Memang tersangat beza apabila kita berdoa untuk menempuh bulan Ramadhan dengan kesihatan apabila kita sedang sakit, berbanding dengan ketika sedang sihat. Sangat-sangat berbeza.....

1 ulasan:

suhaimi berkata...

Assalam Tuan,
Simpati saya untuk Tuan. Saya sarankan cuba perubatan homeopati. Kalau boleh, berjumpalah dengan Hj Hashimee di Kampung Pandan Dalam. Beliau doktor homeopati yang banyak pengalaman.