DISEBALIK KISAH CIKGU CHOY; MASIH TERBELAKAH MARUAH PEKERJA ISLAM?

Hari ini aku nak beri cerita ni pada korang semua.....

Masih akan terbelakah maruah pekerja Islam? Di sebalik kisah Cikgu Choy


Rombongan I-Guru melawat Cikgu Choy Yi San (dua dari kanan)
Rombongan I-Guru melawat Cikgu Choy Yi San (dua dari kanan)
Diskriminasi dan penindasan terhadap pekerja Islam di premis bukan Islam sering diperkatakan. Ia telah mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak puas hati kepada penganut Islam. Ia juga memberi mesej buruk bahawa kedudukan orang Islam di negara Islam sendiri tidak dihormati.

Syiar Islam direndah-rendahkan walaupun hanya berkuasa dalam premis yang terhad iaitu sebuah sekolah. Mereka telah berani dengan sewenang-wenangnya mengambil tindakan ekstrim mengugut dan mendiskriminasi seorang muslim yang bekerja di premis tersebut.

Yang terbaru seorang guru muallaf telah diugut keselamatannya kerana beliau hanya menggunakan hak peribadinya sebagai seorang muslim untuk mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa menyakiti dan menghina bangsa lain.

Choy Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun, berasal dari Seremban. Beliau merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Beliau memeluk agama Islam ketika usianya 23 tahun. Pada mulanya, Cikgu Choy tidak bertudung kerana belum bersedia untuk mendedahkan keislamannya kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Pada pagi Ahad 19 Januari, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru), sebuah agensi di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menziarahi Cikgu Choy yang menetap sementara di rumah keluarga angkatnya di Kota Tinggi untuk mendengar sendiri kisah yang dilalui oleh guru muda itu.

Rombongan disambut dengan ceria oleh Cikgu Choy dan keluarga angkatnya. Dalam pertemuan ringkas itu, kami mendengar luahan hati Cikgu Choy berkenaan kesnya yang kurang mendapat perhatian daripada pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada awal tahun 2013 selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di sebuah institut perguruan.

AZAM BARU 2014

Selepas setahun mengajar, beliau bertekad memakai tudung di sekolah sebagai salah satu azam di tahun baharu. Identiti baru sebagai muslimah sejati yang bertudung dan menutup aurat telah lama tersemat di hati sejak memeluk agama Islam.

Hari Rabu, 1 Januari yang merupakan hari pertama persekolahan sesi 2014 adalah hari pertama beliau bertudung di sekolah. Kemunculan beliau bertudung ternyata tidak disenangi oleh pihak pentadbiran sekolah. Beliau telah menerima jelingan sinis daripada daripada beberapa orang termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan.

Namun, Cikgu Choy meneruskan tekadnya bertudung. Pada hari berikutnya, beliau menerima reaksi yang sama.

Pada 6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat Guru Besar untuk membincangkan agihan tugas guru kerana beliau dilantik sebagai PK Pentadbiran lantikan dalaman.  Guru Besar mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyoal dan memberi “nasihat” mengenai keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat” beliau ialah masih berpeluang lagi untuk kembali ke agama asal, masih banyak pilihan lagi, kenapa hendak mengurung diri dalam agama Islam. Tetapi Cikgu Choy tidak langsung mengendahkan “nasihat” itu.

Pada 7 Januari, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Pang telah datang ke sekolah untuk memeriksa perkembangan pertukaran jubin Bilik Sumber Sekolah. Beliau tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa seperti biasa walaupun agak terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang bertudung, kemudian beliau ke pejabat Guru Besar.

DIUGUT BUNUH

Tidak lama kemudian, Guru Besar meminta Cikgu Choy ke pejabatnya. Pada awal pertemuan, Encik Pang memberi pandangan negatifnya mengenai keIslaman Cikgu Choy. Keadaan semakin tegang dan serius apabila Cikgu Choy menerima 3 ugutan dari Encik Pang yang melibatkan maruah dan keselamatan Cikgu Choy jika tidak membuka tudung semasa bertugas.

Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.
Kedua: Jika beliau masih tidak membuka tudung, pihak sekolah akan memanggil wartawan lalu beliau dan keluarganya akan dimalukan di hadapan wakil media itu dan disiarkan di akhbar.

Ketiga: Jika beliau masih tidak membuka tudung, En Phang akan menembak Cikgu Choy dan kemudian En Phang akan menembak mati dirinya sendiri.

Pada petang 7 Januari itu juga, Cikgu Choy diminta hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) oleh seorang Pegawai PPD. Maka Cikgu Choy berniat untuk berjumpa dengan Bapa Angkat Sekolah untuk mendapat pendapat beliau terhadap masalah yang baru ditimpa itu selepas perjumpaan dengan Pegawai PPD tersebut.

Tiba sahaja di PPD, baru Cikgu Choy mengetahui bahawa pegawai PPD tersebut ingin memberi zakat peribadi kepada beliau. Pegawai PPD tersebut bertanya sama ada Cikgu Choy mempunyai masalah setelah memeluk agama Islam. Cikgu Choy menyatakan baru timbul masalah dengan penduduk Telok Sengat. Beliau menggunakan istilah “penduduk Kampung”  kerana masih tidak tahu mengajukan kepada siapa. Pegawai PPD tersebut mencadangkan untuk terus berjumpa dengan Timbalan PPD Kota Tinggi.

Dengan segera, Cikgu Choy berjumpa dengan Timbalan PPD dan memberitahu masalah yang dialami itu untuk mendapat pandangan Tuan Timbalan PPD.

Cikgu Choy dinasihati untuk membuat laporan polis kerana ugutan bunuh bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Beliau kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.

Selepas laporan polis dibuat, pihak PPD bertindak segera dengan menukar Cikgu Choy ke sekolah lain di Kota Tinggi atas alasan keselamatan. 

Walaubagaimanapun, ugutan yang diterima tidak melemahkan semangat Cikgu Choy untuk meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Beliau tidak merasa gusar dengan peristiwa yang berlaku, bahkan merasa bertuah kerana apa yang berlaku ini telah menjadikan keislamannya bukan lagi rahsia. Apa yang beliau bimbangkan bahawa tudungnya perlu dibuka telah dapat diatasi. Beliau masih boleh memakai tudung walaupun diugut.

Menurut Cikgu Choy lagi, kes ini bukan isu terpencil di sekolah tersebut bahkan terdapat beberapa orang murid perempuan beragama Islam di sekolah itu yang dilarang bertudung oleh pihak sekolah. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Guru Besar yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang mengatakan beliau menghormati pemakaian tudung oleh orang Islam.

Suatu yang dikesali ialah tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak pengurusan sekolah terutamanya En Phang. Meskipun siasatan polis sedang dijalankan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah kerana pihak sekolah telah menafikan hak asasi seorang muslimah bahkan melakukan tindakan ekstrim dengan pelbagai ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.

Apakah dengan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa ini bermakna memberi laluan luas kepada mana-mana institusi bukan Islam untuk melakukan pelbagai diskriminasi terhadap pekerja Islam yang bekerja di bawah seliaan mereka?

Adakah tudung seorang muslimah telah dianggap sebagai mengancam keselamatan di sekolah?

Siti Khadijah Salleh
Wartawan ISMA Johor


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?