Mari sama-sama kita sebut syahadah

Ahad, Februari 28, 2010

DERA, MATI, SEKEDUDUKAN.

Semalam, tempat tinggal hamba menjadi glamour sejenak. Ramai orang berkata-kata dan bersembang-sembang di seluruh pelosok tempat, bercerita berkenaan tempat kawasan tempat tinggal hamba.

Walaupun glamour, namun cerita yang dituturkan dari mulut orang ramai sungguh tidak molek untuk didengar. Ceritanya berkenaan budak kecil 3 tahun mati dibunuh lelaki 28 tahun kerana didera. Lebih tepat, dibelasah.

Rumah hamba dengan tempat kejadian, Batu 30, tidak sampai pun 5 km. Naik kereta, kurang 10 minit sudah tiba. Tetapi, malangnya, berita sedih budak 3 tahun yang meninggal itu diketahui hamba ketika hamba di K.L, melalui surat khabar.

Gila. Kerja gila. Memang sah gila. Jika hamba ada ditempat kejadian, memang sah hamba akan belasah lelaki itu sebelasah seteruk-teruk yang maksima. Biar terburai isi perut yang tiada isi perut lelaki syaitan itu dengan tempurung kepalanya terbelah dua dikapak dengan pedang samurai. Biar puas hamba.

Itulah yang patut dibalas kepada silelaki pembunuh budak kecil yang tidak tahu apa-apa itu. Hamba bila ternampak gambar anak kecil yang mati didera itu, hamba teringatkan anak hamba yang sulong. Sedih betul hamba. Pelik melihat ada seorang manusia yang sanggup membuat perkara demikian terhadap budak-budak.

Yang lebih sedihnya, sudahlah mendera budak, lelaki syaitan itu kaki botol dan ganja pula. Bukan setakat itu, bersekedudukan dengan mak sianak yang malang itu selama 6 tahun sehingga ada anak anak zina berumur 1 setengah tahun. Memang gila cerita gila itu.

Anak mati kena dera, mak bersekedudukan dengan lelaki yang mendera. Hancur masyarakat Melayu. Islam ke mana, dosa pahala tonggang langgang. Dari situ, hamba dapat melihat suasana masyarakat di kawasan Batang Kali memang menjurus kepada keadaan yang tidak Islamik. Melihat kaum wanita yang menutup aurat amat payah sekali di Batang Kali. Melihat kaum perempuan yang berpakaian menjolok mata menaiki motor ke sana ke mari adalah seperti rutin hidup kebiasaan di kawasan itu.

Tugas berat kepada pendakwah-pendakwah Islam. Mengembalikan masyarakat yang sudah lama diajar untuk mementingkan materialistik kepada cara hidup berlandaskan Al-Quran adalah satu perkara yang besar lagi berat kepada pendakwah-pendakwah.

Namun, siapakah pendakwah-pendakwah itu? Jawapannya, kitalah sebagai umat Muslim. Jihad yang selalu kita abaikan.

Khamis, Februari 18, 2010

ISU PATI: APABILA WUJUD SEMPADAN NEGARA BANGSA, SAUDARA SEISLAM DILUPAKAN.

Sering kali terdengar suara-suara manusia berakyatkan Malaysia menghina-dina pedatang-pendatang asing datang ke negara ini. Hina-dina agar mereka dihalau dan ditangkap kemudian dihumban kembali ke negara asal menjadi ayat rutin menghentam golongan PATI dan juga PADI (Pedatang Dengan Izin(berpermit)).

Membuat kenyataan separa benar bahawa golongan PATI dan PADI Indonesia menyebabkan punca kepada terjadinya masalah sosial dan jenayah sering kali dilontarkan dengan sembrono tanpa mempunyai bukti dan statistik yang kukuh. Kenyataan hanya dibuat berdasar sebut-sebutan orang bercakap dikedai kopi dan gosip-gosip siang hari.

Hamba sebenarnya pelik dengan sikap manusia yang berakyatkan sesebuah negara bangsa ini. Hanya disebabkan terjadinya garis sempadan negara yang dicipta oleh pihak barat, yaitu pihak Inggeris dan Belanda, maka tanah rumpun Melayu, yang dahulunya dikenali sebagai Nusantara, berbangsakan serumpun malah beragamakan seagama seIslam, menjadikan kita ini walau saudara seagama menjadi begitu taksub sikap assabiahnya hanya kerana kewujudan sebuah negara bangsa.

'Ini kedai Siam ni', padahal tukang masaknya adalah orang Islam Melayu Pattani. 'Ini pasar Filipina ni', padahal mereka yang menjual adalah orang Islam berketurunankan Tausuk.

Bagi rakyat Kelantan bersempadankan dengan Thailand, saudara seagama mereka di Pattani adalah saudara sedarah mereka. Mereka bukannya dianggap pendatang.

Bagi Rakyat Sabah berketurunan Bajau, kaum Tausuk, Moro adalah bangsa seagama mereka walau pihak Malaysia khasnya orang Kadazan bukan Islam memanggil mereka orang PATI Filipina.

'Dia tu orang Indon tu. Pendatang', padahal orang yang disebut itu adalah orang Melayu Riau, sedarah dengan orang Johor. Ataupun orang yang disebut itu adalah orang Jawa, sekuturunan dengan Jawa-jawa di Malaysia ini, malah lebih kuatnya, saudara seIslam!

Jika kita ke negara Arab, melihat telatah bangsa Arab yang seperti kemaruk assabiyah, dengan adanya Arab dari Saudilah, Arab dari Jordanlah, Arab dari Mesirlah, Arab dari Maghribilah, berbagai-bagai Arab, dengan selamba kita tuduh bangsa Arab ini berpecah belah. Tetapi Melayu kita yang bising-bising mengatakan Arab ini berpecah-belah, tidak nampak kepada diri kita sendiri yang berpecah belah.

Berpecah-belah bedasarkan kepada sempadan negara bangsa adalah satu teknik yang berkesan dan terbukti kukuh untuk memecah belahkan umat Islam untuk bersatu padu dibawah satu panji khalifah. Bukti yang terbukti ialah cara kita orang Melayu Malaysia berburuk sangka dengan PATI dan PADI dari Indonesia dan cara orang Indon yang memandang rendah terhadap orang Malaysia kerana menganggap mereka adalah abang dan kita adalah adik.

Kejadian menjadi lebih kelam kabut apabila pihak Rela, diberi kuasa oleh Kerajaan Malaysia untuk menangkap PATI. Kejadian tidak berperi kemanusiaan yang ditunjuk oleh pihak Rela apabila menangkap PATI akan menjarakkan lagi api perpecahan diantara umat Islam hanya kerana undang-undang imigresen diwujud oleh sebuah negara bangsa.

Serupalah dengan kejadian penangkapan PATI di tanah suci kerana tidak mempunyai visa untuk memasuki tanah haram. Visa 'lailahaillallah muhammadurrasulullah' sudah tidak laku lagi di tanah haram. Tanah yang sepatutnya dimiliki oleh umat Islam sekarang dimiliki khas oleh Arab Saudi.

Maka apakah gerangannya kita hendak menuju kepada pemerintahan Khalifah Islam. Masih banyak usaha dan kerja perlu dilakukan.........

Ahad, Februari 14, 2010

SITUA TIDAK MENYAYANGI SIMUDA? SIMUDA TIDAK MENGHORMATI SITUA?

'Ya Allah, Engkau kembalikanlah golongan muda kami ke jalan yang benar'..... itulah sebahagian doa 'rasmi' setiap Khutbah Jumaat kedua di negeri Selangor. Tiap-tiap kali Jumaat, pasti akan didoakan ayat itu, memohon mengembalikan golongan muda ke jalan yang benar. Semasa zaman BN perintah, sehinggalah sekarang, zaman PR memerintah Selangor, doanya tidak berubah.

Yang menjadi persoalan hamba, mengapa hanya golongan muda sahaja yang didoakan untuk kembali ke jalan yang benar? Adakah di negeri Selangor ini, hanya golongan muda yang sentiasa membuat maksiat di muka bumi Allah ini?

Adakah golongan tidak muda, iaitu golongan yang sudah veteran, tidak melakukan maksiat? Adakah semua golongan tua di Selangor ini baik-baik belaka?

Jika hamba ke masjid untuk solat berjemaah, majoriti yang bersolat disitu adalah golongan tua. Bukan setakat sudah tua, tetapi golongan yang sudah pencen. Golongan yang tidak bekerja dan hidup hanya menerima duit pencen menunggu untuk ke alam barzah. Golongan muda, iaitu golongan bujang, tidak kelihatan lansung, manakala golongan umur pertengahan, 30-40-an, adalah dalam lingkungan 10% dari jemaah.

Mengapa jadi begitu?

Mengapa hanya yang berpencen datang ke masjid, yang bekerja jarang-jarang ke masjid dan yang muda, bunyi tapak kasut pun tidak kedengaran diperkarangan masjid?

Jawapannya ialah sistem kehidupan itu sendiri. Sistem kehidupan dialam orang Melayu di bumi Malaysia ini sudah tidak mengikut catuan Islam.

Situa tidak menyayangi simuda, mengakibatkan simuda tidak menghormati situa.

Situa, apabila melihat seorang ramaja datang bersolat di masjid, seorang-seorang, tiada seorang pun situa datang menegur siremaja itu. Tiada seorang pun situa yang datang bertegur memberi salam kepada pendatang baru ke rumah Allah untuk bersama-sama 'joint the gang' sebagai ahli jemaah masjid.

Mengapa jadi begitu?

Kerana sifat ego situa berpendapat bahawa simudalah yang patut menegur mereka kerana mereka lebih tua dari beliau. Simudalah yang patut memberi salam kepada situa kerana situa lebih tua dari simuda. Simuda patut menghormati situa kerana situa adalah tua.

Betulkah gayanya begitu? Betulkah gaya berdakwahnya begitu?

Jawabnya salah. Jika begitulah peranan situa, maka siremaja yang baru berjinak-jinak dengan masjid akan lari dari masjid kerana melihat masjid hanyalah sebagai rumah ibadat untuk golongan tua.

Namun, mengapakah perkara ini terjadi?

Jawabnya, situa yang ke masjid itu semasa mereka muda belia dahulu pun tidak pernah ke masjid, tidak pernah belajar ilmu berdakwah, dan menganggap juga masjid itu hanyalah sebahagian dari rumah ibadat untuk golongan tua. Maka putaran roda itu akan berulang-ulang kembali dari tahun, ke dekad ke abad dan ke melinium seterusnya.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan agar budaya ini dipecahkan. Jawabnya golongan 10% perlu bertindak sesuatu agar simuda dan situa dipertemukan titik persamaan agar dakwah Islam dapat diperluaskan kepada seluruh golongan tua muda dan pertengahan.

Siapakah golongan 10% itu? Kebanyakannya ahli PAS lah. Ya, ahli PAS yang berumur dalam lingkungan 30-40-an. Golongan yang datang ke masjid untuk berjemaah berkopiah putih majoritinya ahli PAS. Jika tidak percaya, kepada situa yang sentiasa ke masjid, cuba tanya kepada golongan 10% ini, mereka ini mengundi siapa?

Golongan 10% ini mestilah bijak memasuki kehidupan situa yang 'ahli masjid'. Jangan endahkan sangat perangai situa yang selalunya ego tidak pernah memberi salam kepada kita. Sebaliknya, kitalah yang perlu memberi salam dahulu. Jika tidak, maka kita akan dianggap sombong. Tidak akan diendah, tidak akan dipandang walau setiap kali kita bersama dengan situa itu didalam rumah Allah untuk beribadat.

Golongan ini tidak melihat 'kesungguhan' golongan 10% ini datang ke masjid walau baru 30 minit tadi, golongan 10% ini baru pulang ke rumah, keletihan baru habis bekerja seharian, kerana semasa usia mereka seusia kita, mereka tidak pun ke masjid.

Oleh itu, hormatilah situa walau situa itu tidak menyayangi simuda. Kerana dari itu, dakwah Islam akan dapat berkembang dari pusatnya, iaitu masjid.

Jumaat, Februari 12, 2010

CERITA MAYAT TAK DITERIMA BUMI BIASA DENGAR, TAPI, KAPAL SELAM TAK DITERIMA LAUT...?

Kapal Selam baru beli 5 bulan tidak boleh menyelam. Cerita lawak atau apa sebenarnya ni? Tidak pernah pula hamba pernah mendengar kereta yang baru dibeli 5 bulan tidak boleh bergerak diatas jalan raya. Inikan pula kapal selam tercanggih didunia bernilai 1 bilion, tidak boleh menyelam dalam laut.



Misteri Kapal Selam, Perempuan dan debu letupannya......


Budak 4 tahun jika mendengar cerita ini pun pasti agak gelak besar seperti budak itu melihat cerita Doraemon. Tidak masuk akal. Duit yang melampau banyaknya dibuat beli kapal selam, akhirnya kapal selam itu jadi serupa sampan nelayan, tidak boleh selam.

Ada juga dengar cerita, berbagai-bagai usaha fizikal dan metafizik telah dilakukan untuk menyelamkan kapal 'kemegahan' Malaysia ini. Pelik juga dengarnya ada juga mereka yang bertanggungjawab dengan kapal selam ini menggunakan cara metafizik untuk memulihkan kapalselam yang tidak boleh selam ini.

Ada kena mengena dengan hantu ke? TV3 mesti pakar dalam perkara ini. Apa kata panggil pengarah cerita ngarut jam 9 malam setiap malam Jumaat, mungkin mereka boleh menghalau hantu itu dari kapal selam yang tidak boleh selam itu.

Selalunya, hamba selalu mendengar cerita bahawa ada mayat yang tidak boleh diterima bumi untuk dikebumikan kerana maksiatnya semasa hidup melampau yang amat. Mungkin juga cerita kapal selam yang tidak boleh selam ini ada kaitan dengan laut tidak boleh menerima kapal selam kerana kapal selam ini ada 'perbuatan' yang melampau maksiatnya semasa hayatnya,.... agaknyalah......

Khamis, Februari 04, 2010

MELAMPAU SUNGGUH TV3 CAP AYAM ITU.

Tidak pernah seumur hidup hamba, hamba ada melihat satu rangkaian Televisyen yang penuh dengan keburukan dan kejahatan. Tidak pernah lagi dalam seumur hidup hamba, hamba ada melihat satu rangkaian televisyen yang penuh hina dan dosa. ...... Sehinggalah hari semalam.

Apabila umur hamba hendak menjangkau 34 tahun, maka mahu tidak mahu, Allah telah mentakdirkan hamba melihat satu rangkaian televisyen yang amat jahat, amat tidak malu, amat penipu lagi amat syaitan. Itulah dia TV3. Rangkaian cap ayam dulu kini dan mungkin selamanya.

Tidak pernah lagi didalam sejarah dunia pemberitaan, sesuatu 'jenayah' yang sedang dibicarakan di beritakan dengan secara terperinci lagi satu per satu keudara secara langsung. Tidak pernah lagi didalam sejarah dunia pemberitaan, terdapat didalam siaran langsung berita yang menceritakan secara detail bagaiman jenayah 'rogol' itu dibicara dengan penuh teliti lagi kotor, selain jika anda pernah membaca buku porno.

Mengapa? Kenapa? dan bagaimana sesuatu pemberitaan itu boleh dikeluarkan secara begitu lucah ayat pembacaan dikeluarkan oleh pemberita dan didengarkan kepada umum tua muda dan kanak-kanak dengan secara siaran langsung. Ke manakah sifat-sifat pemalu sebuah masyarakat yang tidak malu dengan noda dan dosa dengan tidak bertanggungjawabnya menceritakan secara terperinci perlakuan liwat yang berlaku, atau yang tidak pernah berlaku didalam pemberitaan mereka?

Apa sudah jadi dengan TV3? Sudah ke tahap melampau membuat satu perkara tidak masuk akal. Hamba kasihan melihat pemberita dengan cara cap ayam sombongnya memberitakan berita yang diberitakan kepada mereka dengan gaya dan lentok kata yang mengada-ngada. Sudahlah bodoh, dapat dosa pula itu.

Mengapa hamba kata bodoh? Kerana orang yang akan menyampah sekali adalah pemberita didepan TV, bukannya editor buletin utama yang akan dimaki terlebih dahulu. Sudahlah dibodohkan oleh pemberi gaji mereka, TV3, kemudian dibodohkan lagi dengan secara percuma mendapat dosa. Bukan setakat dosa, tetapi dosa yang amat besar yang tidak terkira hebatnya....