Mari sama-sama kita sebut syahadah

Selasa, Januari 26, 2010

HAMBA MERAJUK SEBENTAR DENGAN ANAK TADI.

Balik pejabat jam 5.40 tadi. Masuk pejabat jam 7.40 pg. 10 jam bekerja. Tiada overtime.

Keluar pejabat, ternampak paku cucuk tayar belakang. Waduh.... melayang RM5. Perlu di tampal dengan gam getah di kedai tayar.

Tayar sudah baik, beli nasi goreng ayam di kedai mek kelate. 2. Satu untuk hamba, satu untuk isteri hamba. Anak-anak, kongsi dengan ayah dan ummi dia.

Siap nasi dibungkus, ambil anak di rumah 'baby sitter'. Cadang hendak beri duit RM400 pada beliau sebagai yuran menjaga, tetapi terlupa. Takpe, esok hamba bayar. Oh ye, lupa hendak maklum, semalam gaji sudah masuk dan semalam juga sudah bayar hutang-hutang wajib bayar tiap bulan.

Sudah ambil anak, pergi ke pekan Rasa. Beli jambu madu. RM6 sebungkus. Manis. Kemudian Jannah mengajak ke supermarket terbesar di Rasa, supermarket MSM. Hamba ikutkan sahaja kehendak Jannah.

Dikedai, hamba terbeli koko crunch atas permintaan ramai, aiskrim 4 jenis, juga atas permintaan ramai. Semuanya RM12.60. Waduh, beli barang sikit itu pun perlu beri 2 nota merah. Tapi dapat baki le.

Sampai dirumah jam 6.50 petang. Buka sahaja pintu rumah, terkejut besar hamba kertas-kertas dan fail-fail berkenaan PAS dan JKKK habis bersepah.

'Ya Allah, ni kenapa ni? Siapa buat ni?' kata hamba, tidak marah dan juga tidak tinggi suara, tetapi suara mendatar. Muka Jannah takut-takut bila hamba melihat kearahnya. Kantoi! Kemudian hamba melihat kearah Iman pula. 'Adik yang buat!!!!', jawab Iman bersungguh-sungguh dan senyum bangga.

Adoi, inilah namanya budak-budak, lurus bendul, tapi hamba seperti dapat mengagak perbuatan ini adalah perbuatan Jannah seorang.

Hamba buat-buat merajuk dengan kakak (Jannah). Tidak mahu bercakap dengannya.

'Ayah, bukak ni ayah....' Jannah minta pertolongan untuk membuka kotak kokocrunchnya. Lembut suara dia.

'Tak naklah. Ayah tak nak buka, ayah merajuk sebab Jannah sepahkan fail ayah.' Jawab hamba.

Jannah senyap. Termenung dia seperti orang yang bersalah.

Semasa hamba mengemas fail2 dan kertas2 yang bersepah, Jannah meminta sekali lagi untuk membuka kotak kokocrunch yang baru dibeli. 'Ayah, bukak ni ayah....' Suara lembut dan seperti suara hendak menangis.

Hamba jawab, 'Tak naklah. Hari ini ayah taknak kawan Jannah sebab Jannah sepahkan fail ayah.' Muka Jannah layu. Kesedihan campur muka bersalah.



Kertas-kertas dan fail yang telah disusun semula.

Setelah selesai kemas, Jannah sekali lagi mencuba dengan berkata, 'Ayah.....' satu sebutan sahaja, lembut, merayu dan sedih sambil tangan menghulur kotak kokocrunch.


Aduiiiii, sedihnya hamba melihat anak merayu gitu. Sedihnya.


Hamba menjawab, 'Ye lah..... ayah bukakan untuk Jannah. Tapi, lain kali jangan sepahkan fail2 ayah ye,' nasihat ayah dia dengan lembut. Jannah senyum gembira, sambil angguk-angguk kepala tanda akan patuh nasihat ayah dia. Seronok hati hamba melihat anak kita seronok.


Maka makanlah dengan seronoknya dua adik-beradik itu sehingga umminya balik.


Semasa umminya balik, beliau ada bertanya tentang fail2 yang bersepah. Sebenarnya fail2 itu telah disepahkan 2 kali oleh Jannah. Pertama isteri hamba sudah kemaskan. Tetapi yang kedua, isteri hamba terkejut Jannah telah sepahkan kembali apa yang umminya telah kemaskan semasa hendak keluar untuk mengajar ke sekolah.


Apalagi, marah benor isteri hamba. Tetapi marahnya bukanlah marah seperti marah budak jahat di sekolah menengah, marahnya seperti marah budak 3 tahunlah. Kepada mereka-mereka yang ada anak yang sedang ligat ini, tahulah apa yang dimaksudkan.


Isteri hamba memohon maaf sebab tidak sempat mengemas fail2 yang bersepah itu. Kasihan pula melihat isteri hamba, rasa bersalah kepada benda yang beliau tidak bersalah pun. Hamba senyum sahaja melihat telatah isteri hamba menceritakan kembali cerita-cerita tentang kesepahan yang telah dilakukan oleh Jannah dan cara marahnya isteri hamba kepada anak sulong kami ini. Adoi, kelakar.... kelakar. Jannah siap boleh senyum mendengar cerita umminya tentang diri dia.


Itulah sketsa hidup hamba sebentar tadi setelah kembali dari kerja. Hendak cerita tentang politik, hamba sudah malas. Banyak sangat politiking cap ayam oleh mereka-mereka yang berkecimpung didalam politik. Hamba pun mengaku hamba ini adalah ahli politik yang aktif, tetapi biarlah kerja politik Islami hamba dibuat disebalik tabir.


Sekian untuk hari ini.

Isnin, Januari 25, 2010

CERITA MENARIK UNTUK DILUAHKAN.

Banyak kisah hendak hamba luahkan, ada kisah meninggal, ada kisah Sultan, ada kisah blogger dan ada kisah cap ayam. Mari kita rungkai satu per satu..


Kisah meninggal.

Walaupun dari segi bahasa, meninggal dunia bagi para Sultan didalam kamus bahasa Melayu adalah mangkat, namun prosesnya adalah sama sahaja. Iaitu malaikat Izrael akan mencabut nyawa seorang manusia dengan izin Allah SWT kerana ajalnya sudah tiba.

Cumanya, yang semua kita tahu ialah semua kita tidak tahu siapa yang akan meninggal dunia dahulu. Yang sakit dan baring dipembaringan katil hospital adalah Sultan Kelantan, yang 'berebut' takhta ayahanda mereka adalah kerabat Kelantan, tetapi yang mangkatnya adalah Almarhum Sultan Johor. Yang tidak nampak kesakitannya dan tidak terfikir akan baginda akan pergi dahulu daripada Sultan Kelantan.

Memang, ajal itu semua makhluk tidak ketahuan bila akan munculnya.



Kisah Sultan.

Ada sesiapa yang teringat atau terperasan bahawa tarikh masehi kemangkatan Sultan Johor adalah sama dengan tarikh terteranya perjanjian Pangkor. Perjanjian dimana kerana mahukan kuasa oleh Raja Abdullah, mengakibatkan kuasa Sultan di Perak menjadi sekecil-kecil kuasa di tanah air sendiri.

Tarikh dimana Residen pertama Inggeris bertapak di negeri Perak. Tarikh di mana bermulanya penjajahan British di tanah Perak dan seterusnya ke negeri-negeri Melayu bersekutu yang lain. Termasuklah Selangor.

Ramai juga orang Melayu yang kena tipu hidup-hidup oleh mereka-mereka yang hendak menipu yang mengatakan bahawa Tanah Melayu di jajah selama 500 tahun. Penipu besar itu! Yang dijajah 500 tahun hanya tanah kecil Melaka sahaja. Yang lainnya masih berdaulat tanah Melayu. Tipu... tipu.


Kisah Blogger.

Semenjak akhir-akhir ini, blogger-blogger seperti diperhatikan oleh mata-mata yang membuat kerja mata-mata. Salah cerita, kena tangkap, provakasi sikit, kena tangkap, kutuk-kutuk, kena tangkap.

Eloklah jika yang ditangkap itu adalah kerana salah cerita itu memang buat cerita salah, yang provokasi itu memang sengaja hendak buat porak peranda negara dan kutuk-kutuk itu mengutuk benda yang baik dan tidak patut dikutuk.

Tetapi jika salah cerita itu sebab ceritanya betul, provokasi itu sebenarnya membuat kenyataan politik dan kutuk-kutuk itu sebenarnya adalah nasihat berguna, maka jangan jadi pihak Nazi di zaman Nazi berkuasa dahulu.


Kisah Cap Ayam

Hamba ingatkan TV3 sahaja buat cerita cap ayam, tengok-tengok, ada juga sebentuk blogger yg suka sebut dirinya wa dan dia itu lu buat cerita cap ayam.

Semenjak dia buat karikatur yang syaitan tentang tok guru Abdul Hadi, hamba sudah tidak lihat dan tahu menahu langsung sibudak teruna tidak sedar diri itu. Tetapi apabila terdengar berita dari NurAflah bahawa siteruna tidak sedar diri itu tiba-tiba menjadi 'penakut', maka hamba pun sebut dalam hati.....

'balasan Allah kepada sipembuat fitnah dan mengutuk ulama, akan dihina didunia lagi. Yang sungguh besar kebesaran Allah itu, Allah gunakan mereka-mereka yang memang tidak suka kepada perjuangan Islam sendiri untuk menghentam balik sifitnah dan pengutuk ulama itu.' Allahuakbar!



Akhir kata.

Hamba sebenarnya berasa pelik manusia di Malaysia ini, ada 'mereka-mereka' yang kononnya cuba menjaga riputasi Sultan adalah serupa dengan perbuatan 'mereka-mereka' didalam cerita kalimah Allah. Jika kalimah Allah, 'mereka-mereka' hanya bising hanya jika nama Allah disalah guna, tetapi mereka diam dan menyokong jika syariat Allah diperlekeh dan dibuang ketepi. Pelik... pelik. Mungkin bodoh, bukan pelik atau mungkin hipokrit, bukannya pelik.

Begitu juga dengan cerita institusi Sultan. 'Mereka-mereka' melenting jika ada orang mengutuk batang tubuh Sultan, tetapi 'mereka-mereka' yang sama diam dan menyokong pula ketika kuasa Sultan diperlekeh dan di'susut nilaikan'. Yang ini memang pelik bin ajaib.

Sabtu, Januari 23, 2010

JALAN-JALAN NAIK KERETAPI.

Jalan-jalan naik keretapi.

Sabtu semalam, isteri hamba sekolah. Sekolah 'ganti' untuk cuti seminggu tahun baru cina. Beliau sekolah petang. Jam 12.30 tgh sudah ke sekolah, balik jam 6.30 ptg. Hamba tidak tahu bahawa dia tahu atau tidak tahu bahawa gaji, elaun dan cola guru mungkin akan dipotong. Jika potong, hamba yakin, beliau akan terus mengajar seperti biasa, namun dalam keadaan ekonomi yang tertekan.

Sebelum apa-apa terjadi pada bulan Februari nanti, hamba bercadang dari hamba duduk-duduk rumah menjaga anak, apa kata hamba dan anak-anak jalan-jalan naik keretapi.



Nur Jannah dan Nurul Iman, menunggu di stesyen keretapi perhentian Rasa, untuk menuju ke Rawang. Jam 2.10 petang, ketibaan keretapi 2.16 petang.

'Yeeee! Naik ketapi, jom.' Sorakan kedua-dua anak kesayangan hamba apabila ayah mereka mengajak mereka untuk naik keretapi

Untuk makluman, tempat hamba duduk, Rasa, ada sebuah stesyen keretapi laluan ke Tanjung Malim dan Rawang, serta terus ke KL. Dahulunya menggunakan komuter, tetapi sekarang guna keretapi diesel 2 gerabak.


Pertama kali didalam hidup Jannah naik keretapi. Dahulu ada sekali naik ERL untuk ke KLIA untuk jumpa tok ki di Batu Enam. Ummi dan Iman sudah ada di sana, balik awal untuk mengundi PRU12. Hamba tinggal di Rasa kerana bertugas menangkan BA, Jannah dengan opah di K.L. -Hamba mewajibkan isteri mengundi di Terengganu. Balik, jangan tak balik.

'Hendak ke Rawang berapa harganya encik?', tanya ayah mereka kepada penjual tiket KTM. 'RM2.70, budak comel 2 orang itu saya beri free,' jawab sipenjual tiket itu.

Eh, murahnya 'holiday' hari ini, sudahlah naik kereta dari rumah ke stesyen kurang 5 minit, parkir percuma, pergi ke Rawang RM2.70. Ini bagus nih, boleh buat selalu. Hamba pun memberi 3 nota RM1.00. Duit kelmarin yang ada dikocek baju hamba. Ditambah dengan RM20 didalam wallet. Duit RM75 tinggal 20 sahaja sebab baru beli susu ISOMIL PLUS untuk anak. Setin 900 gram, RM56. Masak hamba. Jika betul gaji isteri akan disusut nilai, maka hamba perlu cari jalan untuk menambahkan pendapatan.



Iman ni memang baru first time naik keretapi. Senyuuuum je dia.

Perjalanan keretapi dari Rasa ke Rawang mengambil masa 30 minit sahaja. Tidak lama tetapi sungguh merujakan hati anak-anak hamba. Sampai sahaja di Rawang, jam 2.50 petang. Hamba bertanya kepada konduktor keretapi,

'bertolak ke Rasa jam berapa keretapi ni?', 'tiap minitnya 20, setiap jam minit 20, keretapi akan bertolak, maksudnya, jam 3.20ptg ini adalah waktu yang terdekat.' jawab beliau, sopan. Jam 3.20 ye. Sekarang 2.50, lagi 30 minit lagi.

Hamba pun keluar dari stesyen Rawang dan terus membeli tiket pulang, RM2.70. Sebelum masuk kembali ke stesyen, hamba 'window shopping' sekejap kedai runcit di stesyen itu.

Stesyen keretapi Rawang. Pandangan dari jejantas atas.

'Nak air soya?' tanya ayah dia, 'Naaaaak!!!!', jawab anak-anak dia. Sekotak RM1.20, kali dua RM2.40. 2.70 x 2 + 2.40, baru RM7.80. Ok le tu. Dalam poket ada nota merah sehelai lagi.


Anak-anak hamba diatas jejantas stesyen keretapi Rawang. Melihat pemandangan keretapi untuk kembali ke Rasa.


Sedapnya. Memang kaki soya anak-anak ini. Seperti ayah dia. Setelah menjadi bapa, kita kadang-kadang terlupa untuk membeli air soya untuk diri sendiri walau kita pun kekeringan tekak. Tapi takpe, boleh kongsi dengan anak-anak.


Seat first class. Dapat duduk didepan sekali masa hendak balik ke Rasa. Siap ada meja tu.


Seronok, itulah yang terpampang diwajah anak-anak hamba. Hamba berasa sungguh lega melihat anak hamba puas kerana dapat naik keretapi. Sebabnya hamba telah janji dahulu untuk membawa mereka naik keretapi. Segala masalah kewangan untuk hari itu hilang seketika. Duit boleh dicari, anak, inilah dia berada didepan mata, pemberian Allah yang amat bernilai.
Sekian untuk hari ini.......

WANG KERTAS ADALAH PERANGKAP MUSUH ISLAM, IANYA BUKAN EMAS BERLIAN.

Duit Kertas, orang sanggup membunuh untuk sehelai kertas ini. Pelik.... pelik.


Alhamdulillah. Jam 7.20 pg tadi, ada seorang hafiz dari Darul Quran menyewa kereta hamba. Dapatlah RM75. Malam tadi, dalam poket seluar hamba ada 50 sen sahaja. Manakala poket baju ada RM3. Waktu kritikal, menunggu masa untuk gaji masuk. Rasa lama sungguh untuk capai 25 haribulan.

Apabila hamba termenung sendirian melihat wang kertas didalam tangan, maka hamba terfikir, setiap individu didunia ini hidup bekerja siang dan malam, dengan cara betul atau secara haram, dengan memohon rasuah atau memberi rasuah atau dengan meminta sedekah atau meragut beg tangan orang, semuanya disebabkan sehelai kertas yang dipanggil wang. Jika di Malaysia ianya dipanggil ringgit Malaysia.

Orang sanggup melakukan benda yang haram, benda yang berdosa dan benda yang tidak bermoral hanya semata-mata hendakkan sehelai kertas ini. Sehinggakan jika seseorang itu tidak ada sehelai kertas ini, maka beliau tidak boleh hidup kerana tidak boleh berurusniaga dengan sesiapapun di seluruh Malaysia. Biarlah dia ada kereta 3 biji sekalipun, rumah banglow besar 2 buah, ada set pinggan mangkuk dari china bone U.K, tetapi jika tiadanya sehelai kertas ini, ingin membeli sebiji gula-gula pun tidak boleh.

Ada rumah tetapi jika tiada sehelai kertas RM, hendak beli susu pun tidak boleh, itulah realiti kehidupan.

Yang lebih pelik lagi ialah, nilai sehelai kertas yang dinamakan RM ini adalah berubah-ubah mengikut tempat. Ya, ianya berubah-ubah. Jika di Malaysia, nilai 1 nya adalah bersamaan 1. Tetapi jika kita seberang ke pulau Singapura, nilai 1 menjadi 0.37. Jika keBahrain pula nilai 1 menjadi 0.01. Jika di U.k, nilai 1 bersamaa dengan 0.15.

Maksudnya apa disini, maksudnya ialah jika kita bekerja di Malaysia sebagai tukang sapu, maka kerja sejam misal contoh kita mendapat RM2.50. Tetapi jika kita buat kerja yang sama, jam yang sama, letih yang sama, tetapi tempat yang berbeza, iaitu di U.K, maka tukang sapu itu mendapat RM17.50 sejam. Itu baru sejam, jika dikira sehari 8 jam macam mana? Di Malaysia dapat RM20, tetapi di U.K mendapat RM 140.00. Itu sehari, jika sebulan? Tukang sapu di U.k adalah sama gaji dengan seorang jurutera di Malaysia.

Mungkin orang akan berkata, 'alah itu U.k, hendak beli air tin pun mahal'.

Sebenarnya tidak. Hidup di U.k dengan hidup di Malaysia adalah sama sahaja, malah kos kehidupan di U.k adalah lebih murah dari Malaysia.

Maksud kos kehidupan ialah, gaji atau pendapatan yang diperolehi berbanding dengan kos saraan hidup atau lebih senang harga barangan seharian untuk dibeli bagi menjalankan kehidupan.

Misal kata, mari kita bandingkan dengan angka-angka. Iaitu nilai kuantiti yang sama. Seorang jurutera baru lepasan universiti di Malaysia untuk kali pertama memasuki kerja, gaji mereka adalah lebih kurang sama, iaitu sekitar 2,500. Baik RM atau pound sterling.

Beli kereta proton baru, di Malaysia adalah 40,000, di U.k 10,000. Petrol di Malaysia seliter 1.80 manakala di U.k 0.80-0.90. Beli air dalam tin di Malaysia 1.50, di U.k 0.80. Shopping di Malaysia penuh satu troli adalah lebih kurang 400, manakala di U.k lebih kurang 100.

Melihat kepada angka, mereka yang menetap dan bekerja di U.k akan lebih mewah daripada Malaysia.

Namun, jika mereka yang menetap di U.k dan bekerja disana, datang ke Malaysia, maka hidup yang mewah itu bertukar menjadi kaya raya. Kerana apa? Kerana nilai 1 di negara mereka, telah diganda menjadi 7. Mengapa pula menjadi 7? Mengapa tidak 1. Mengapa nilai matawang kertas Malaysia dianaktirikan menjadi sekecil-kecil nilai wang 1 dinisbahkan 7? Kepada apa nilai kertas yang kita pegang tiap-tiap hari untuk urusan jual beli di Malaysia ini disandarkan? Mengapa ianya berbeza-beza jika melintas ke sempadan negara-negara lain?

Jawapannya ialah, nilai duit wang ringgit yang kita rebut-rebutkan itu adalah bersandarkan kepada U.S Dollar. RM3.45 = USD1.00. Dan ianya tidak konstan. Mengapa U.S Dollar? Bukan nilai emas? Mengapa bukan bersandar kepada Dinar (Emas) atau Dirham (Perak). Dua nilai urusan perdagangan yang disebut dalam Al-Quran. Emas dan Perak. Mengapa tiba-tiba, selepas perang dunia kedua, semua negara dunia dicucuk hidung untuk mengikut mata wang kertas negara masing-masing semuanya disandarkan kepada U.S Dollar.

Apa akan jadi jika nilai RM jatuh merudum, RM100 = USD1.00? Papa kedana jadinya Malaysia. Nilai kertas RM100 sudah tidak laku untuk membeli beras sekilo. Jika itu berlaku, agak-agaknya, apakah alternatif penduduk di Malaysia ini untuk membuat urusan jual beli. Buat sistem barter? Sekampit beras dengan sekampit gula? Ada ke gula sekampit dirumah kita? Satu jam rollex untuk 50 liter petrol? Ada berapa jam rollex kita simpan di rumah?

Maka, alternatif yang tidak akan ditolak oleh seluruh manusia ialah, emas, beli barang yang hendak dijual dengan emas. Ya, emas, atau Perak. Sebodoh mana pun manusia itu dan sebaik mana pun manusia itu, emas dan perak tetap menjadi satu tarikan. Apa lagi emas dan perak itu dibuat bulat syiling. Lebih terasa hendak memilikinya. Itulah sifat manusia jika melihat emas dan perak. Termasuklah berlian.

Emas, berlian dan perak, industri ini siapa yang pegang sekarang didunia? Golongan kopiah kecil hujung kepala. Ya. Yahudi. Mengapa? Sebab mereka tahu benda inilah yang memegang sesebuah ekonomi dunia. Bukan duit kertas. Yang jika sudah dikoyak kertas itu, ianya sudah tidak bernilai. Kosong!

Oleh itu, kepada rakan-rakan, apa yang perlu kita lakukan? Tidak nampakkah Kelantan sekarang ini ada menjual Dinar emas? Tidak nampakkah ada negara-negara Islam sudah membentuk satu sistem dinar emas untuk dijual kepada manusia? Apalagi, mari kita beli emas, tidak kira emas berbentuk syiling atau berbentuk perhiasan. Ya, emas yang dibeli kepada isteri sebenarnya adalah satu aset yang penting untuk anda sekeluarga. Kepada sisuami, jangan lokek atau bakhil untuk membelikan perhiasan emas kepada isteri.

Terfikir hal keluarga, maka hamba penuh yakin untuk terus menyimpan Dinar Emas.

Kepada isteri, jangan malu dan segan untuk membeli barang emas (yang tulen), jika ada duit. Biar anda miskin macam mana sekalipun, beli emas itu sebagai barang ganti kepada wang kertas ciptaan manusia itu. Musuh Islam akan melenyapkan daulat sebuah negara hanya dengan melingkupkan wang kertas negara itu.


Itulah hakikatnya.

Khamis, Januari 21, 2010

MINYAK NAIK? DAN BOIKOT ISRAEL?

Mulut hamba terbakar membara nih.... panas!


Betul ke bulan 4 ini harga minyak akan naik? Ron 97 RM3.00? 'Orang kaya' macam hamba ini dikatakan tidak boleh dapat subsidi. Betul ke? Kereta yang lebih 2000cc pun tidak boleh dapat subsidi. Nayalah sesiapa yang bawa kereta MPV. Bukan MPV buatan ya, yang betul-betul MPV punya.

Hendak tahu MPV buatan itu apa dia. MPV buatan itu adalah jika naik 7 orang sahaja, maka jadi macam tin sardinlah kereta itu. Atau lebih tepat lagi seat belakang sekali hanya khas untuk bayi bawah umur.

Jika betul cakap-cakap angin itu, maka sesiapa makan gula tidak terasalah kesengsaraan harga gula naik 20 sen sekilo. Tidak terasa jugalah harga roti naik 40 sen. Sebab apa tidak terasa, sebab kita pakat-pakat dengan orang rumah, tiap hari makan biskut kering dengan air suam sahaja. Untung hamba duduk di Selangor, air free, tapi rasa-rasa, biskut kering pun akan naik harga bila petrol naik harga.

Lagi satu perangai pelik orang Malaysia ini , suruh boikot produk Yahudi, korang semua boikot tak? Yang nampaknya, orang Malaysia tolong promosi lagi produk Yahudi adalah. Terutama puak Melayu. Bersepah-sepah kereta lambang McD melekat dicermin-cermin kereta. Inilah namanya Melayu bodoh! Sudahlah bodoh, sombong pulak tu. Sudah tahu terang-terang McD tu beri dana pada Israel tiap-tiap bulan, yang bersekongkol itu buat apa?

Hari ini hamba hendak lepas cakap kepada manusia-manusia terutama manusia Melayu. Siang malam pagi petang buat kerja cari duit, akhir sekali beri pada puak Israel juga korang ye? Inilah dinamanya akal diberi Allah, tidak diguna dengan betul. Mana perginya hati nurani anda semua terhadap tidak sensitifnya iman anda terhadap penduduk Palestin, terhadap masjid Al-Aqsa? Mana perginya.

Disebabkan nafsu perut, hendak makan sangat burger, hendak sangat makan kentang goreng, maka umat Islam Palestin disembelih oleh Israel korang semua buat-buat lupa ya?

Jika setakat kempunan sengat hendak makan, ok, takpalah, walaupun itu pun sudah membuktikan anda semua jahat, rakan baik Israel, takkanlah sehingga hendak promosi produk yahudi pada sticker kereta kot? Sudah melampau namanya. Bersepah-sepah sticker kereta Islami jual di merata-rata tempat, sticker McD Drive Thru juga yang korang letakkan. Akal letak di kepala lutut ke? Atau memang kepala lutut itu akal korang? Marah mendidih sungguh hamba.

Baru sahaja tahun lepas kita semua sudah berpakat untuk memboikot barang Israel, tetapi,seperti melepaskan dayung dalam besen sahaja. Cakap mula berapi-api, kemudian, iklan suruh boikot pun hilang entah ke mana.

Kepada blogger gejuis semua, mana iklan boikot Israel pada laman blog anda semua? Hilang ke mana? Sudahkah anda lupa? Atau buat-buat lupa.........

Rabu, Januari 20, 2010

KERJA HAMBA, PASIR DAN SINGAPURA.

Letih sungguh hari ini. Kesibukan kerja sehingga menyebabkan hamba makan tengah hari jam 4 petang tadi. Hamba seorang jurutera. Jurutera Faundri. Kerja-kerja kasting yang melibatkan penuangan logam.


Sesiapa yang ada melihat cerita Discovery Channel dalam Astro tentang kerja penuangan besi dan keluli, itulah kerja hamba. Kerja yang tidak glamour. Berurusan dengan kerja yang kotor, panas, bertoksid dan sangat merbahaya.


Petang jam 2.20 petang tadi ada penuangan logam besi seberat 2 ton, suhu penuangannya adalah sekitar 1,400'C. Melihat kepada cecair itu sahaja sudah memedihkan mata. Panas yang melampau. Serupa berada didalam larva gunung berapi.


Walaupun merbahaya, tetapi jika dikawal dan dijaga keadaan mengikut pengiraan kejuruteraan dan pengalaman, maka situasi bahaya itu dapat dikawal dan dikendalikan, insyaAllah. Namun jika silap perkiraan, maka diharap jangan ada perkara buruk yang berlaku. Tempat kerja hamba pernah terjadi satu letupan besar terhadap relau 100kg. Namun letupan itu alhamdulillah, tidak ada yang melibatkan kematian. Tidak seperti apa yang berlaku di Perwaja Steel dahulu.


Kerja faundri ini, walaupun tidak glamour, namun hamba cukup minat, sudah 10 tahun hamba berkecimpung didalam bidang ini. Walaupun kadang-kadang tidak tahan dengan karenah orang atasan yang seperti diktator, namun kerana minat yang cukup mendalam, maka hamba teruskan juga dengan kerja ini.


Logam yang dilebur didalam relau akan dituang didalam acuan yang telah dibentuk menjadi rupa produk yang diingini didalamnya. Acuan yang digunakan adalah acuan pasir. Proses membuat acuan pasir atau 'moulding' adalah menjadi tanggung jawab hamba sebagai juruteranya. Pasir yang digunakan adalah pasir silika. Pasir yang disebut-sebut oleh Dr. Mahathir yang dijual oleh Johor kepada Singapura sebanyak 700 lori sehari.


Pembelian pasir silika itu, atau nama Inggerisnya, 'Dried Silica Sand', adalah dibawah tanggungjawab hamba. Satu ton, adalah disekitar RM150-200, mengikut 'mesh number'nya.


Apa yang hamba nampak, pasir silika yang dibeli jika ianya berasal dari Johor, kualitinya amat tidak memuaskan. Terlalu banyak habuk jika hendak dibandingkan dengan Perak dan Selangor (Selangor sekarang tidak dibenarkan menjual pasir). Dahulunya, semasa akhir 90-an, pasir johor adalah cukup elok dan baik, namun semenjak masuknya tahun 2000, pasirnya merudum teruk kualitinya.


Setelah membaca blog TDM, maka memang betullah sangkaan hamba selama ini, pasir yang bagus dijual kepada Singapura dan lebihan pasir yang tidak dijual, barulah dijual ke Malaysia. Cap ayam sungguh! Serupa kes air juga kita ini dibuatnya jika ada urusan berkait rapat dengan Singapura. Teruk sungguh.

Selasa, Januari 19, 2010

GAMBAR: TERKENANG SEMASA DAHULU

Hamba yang botak mendukung anak Along no.2,Masya.

Masya, Aqlan dan Jannah. Iman masa ni baru je lahir.

Lelaki macho bersama satu-satunya anak buah lelaki.


Kena dukung dengan ayah dia ye....

Nurul Iman. Baru lahir. Kepala belum cukur botak lagi.




Jika ikutkan hati, hamba inginkan anak yang ramai. Kenapa?

Kerana jika ada anak yang ramai, maka jika sudah tua nanti, tidaklah hamba kesunyian... mungkin, insyaAllah.

Contohnya, jika hamba sudah tua, datangnya pula hari raya, maka jika anak hamba ada lapan orang, setengah daripanya balik kampung ke rumah pun sudah kira okle tu. 4 anak dengan cucunya sekali datang. Riuh juga rumah nanti.

Agaknya, berapa ya rezeki anak yang Allah hendak berikan kepada hamba. Jika lebih dari lima alhamdulillah. Ramailah lagi umat Islam di bumi Malaysia ini. Dan kita perlu berbaik sangka dengan Allah. Maka Allah akan berikan benda yang baik terhadap kita.

Namun ada sesetangah manusia, tidak mahu anak yang ramai. Kerana apa? Kerana takut miskin. Takut duit tidak cukup menanggung anak yang ramai. Pelik sungguh pemikiran begitu.

Isnin, Januari 18, 2010

BARU HAMBA PERASAN, HARGA ROTI DAH NAIK.

Oleh kerana kamera hamba hilang, maka roti canai ini dimangsakan sebagai gambar roti kerana nama 2 biji benda ini pun adalah roti canai. Maka pada anggapan hamba, mereka ini adik-beradik kepada roti Gardenia yang hamba beli tadi.


Jam 6.30 petang tadi, hamba ambil anak hamba di rumah 'baby sitter'. Kami anak beranak memanggil babysitter itu Mak Ndak. Baik orangnya. Pandai jaga budak-budak. Selain Mak Ndak, mak beliau juga menjaga anak-anak hamba. Jannah dan Iman panggil mak kepada Mak Ndak Opah.

Ketika dalam perjalanan pulang, hamba teringat bahawa di rumah ada sedikit lagi kari kepala ikan di dalam peti sejuk. Lauk semalam. Sedap, tapi tidak habis sebab banyak sangat.

'Makan dengan roti sedap juga nih....' akal hamba berfikir secara mendatar.

Mungkin kerana urat saraf yang menghubungkan akal dengan tangan hamba adalah sensitif dengan fikiran mendatar, dengan tidak semena-mena tetapi didalam perhatian yang penuh oleh tubuh badan, kereta Kenari hamba dilencongkan ke kedai runcit Taman.

Sampai di kedai, hujan renyai-renyai.

'Kakak dengan Iman duduk dalam kereta jap ye. Ayah nak beli roti Gardenia.', ayah memberi informasi berguna kepada anak-anak dalam kereta. 'Pegi leeee......' jawab Jannah selamba namun dengan senyuman. Iman dibelakang masih blurr, mungkin kehendak untuk tidur mengatasi kehendak menjawab kenyataan ayahnya yang sungguh sterotaip jika berlakunya hujan.

Pembaca jangan salah sangka, kereta hamba di parkir betul-betul sebelah rak roti, maka proses pembelian adalah berlaku hanya kurang 3 meter dari pintu kereta hamba.

Namun ketika akad jual beli, ucapan RM2.30 sudah bertukar kepada RM2.70. Apa kehenyalah pulok? Mana datangnya tambahan 40 sen ni? Apa cerita ni? Tokey kedai hendak tipu ke? Tak boleh jadi ni.....

'Encik tak tahu ke harga roti naik bersama-sama dengan harga gula?', tokey kedai itu memberi informasi tanpa disuruh oleh hamba. 'Gula naik 20 sen, roti pun naik juga. Sama-sama naik', tambahan lagi imformasi tokey kedai itu kepada hamba walaupun hamba tidak menyuruhpun beliau memberikan informasi yang zalim terhadap diri hamba yang hanya hendak makan roti cecah dengan kari kepala ikan.

Masuk dalam kereta, kepala hamba menjadi blurr, seblurr dengan Iman yang duduk dikerusi belakang. Hari ini 18 Januari.... Oh, ye, tahun ini adalah kali pertama hamba membeli roti. Hamba tidak perasan harga roti naik. Mungkin disebabkan golongan yang memakan roti adalah mereka yang kaya raya seperti hamba, maka kami rela hati roti dimahalkan untuk menyusahkan kami sebab kami mampu disusahkan oleh golongan pemerintah yang berlandaskan kepada kapitalis. Cis!! Rakyat lagi yang perlu tanggung akibat ketidak upayaan sebuah kerajaan mengendali ekonomi dengan baik.

Disebabkan itulah juga, selepas isya' nanti, akan hamba pastikan roti yang dibeli tadi akan dikunyah semaksima yang mungkin agar hamba dapat menikmati roti itu lebih 40 sen dari yang sepatutnya hamba ingat perlu bayar.

Hah! Subsidilah konon. Tidak mampu bayar subsidi itulah, inilah, petrol pun naik disebabkan subsidi itulah, inilah. Apa ni tak mampu bayar subsidi subsidi ni? Kalau tak mampu, usah jadi kerajaanlah. Letak jawatan, beri pula pada parti yang lebih layak memerintah. Ini tidak, gila kuasa.

Apalah nasib rakyat Malaysia, tak habis-habis diperbodohkan oleh kerajaan separuh masak.

Ahad, Januari 17, 2010

KALIMAH ALLAH LAGI.....

Kereta Kenari baru dipulangkan. Baik sungguh kawan yang menyewa kereta itu. Jurus orangnya. Maklumlah, akhlak seorang penghafaz Al-Quran, adalah serupa dengan Al-Quran itu sendiri. Seorang manusia Al-Quran bergerak.

Dapat masuk Darul Quran tadi, semasa hantar dia balik ke asramanya. Tenang suasana. Setenang insan-insan yang ada diperkarangan institut pengajian Islam itu.

Jumaat lepas, khutbah Jumaat di Kampung Melayu Rasa agak dasyat juga. Khutbah berkenaan dengan penggunaan kalimah Allah. Ramai yang bersetuju agar kalimah suci Allah itu tidak disalah guna oleh kaum kufur dan syirik kepadaNya.

Namun, yang peliknya, setengah dari mereka-mereka yang tidak bersetuju itu adalah juga mereka-mereka yang tidak mahukan Allah. Ya,... tidak mahukan Allah. Lebih tepat lagi mereka yang terima sebahagian Al-Quran, dan membuang dan tidak bersetuju dengan sebahagian yang lain.

Tidakkah perangai mereka juga adalah sama dengan golongan yang hendak menggunakan kalimah Allah untuk majalah mereka? Serupa tetapi mungkin tidak sekata. Yahudi dan Nasrani dikufurkan oleh Allah kerana mereka ambil sebahagian kitab, dan buang yang lain. Malah lebih teruk, mereka mencipta dan menggubal kitab2 mereka sendiri dan mencapur adukkan dengan kalimah-kalimah Allah yang asal.

Sehingga ke tahap taksubnya mereka kepada Rasul mereka sehingga menganggap tubuh badan Rasul itu adalah tuhan. Kafir yang melampau namanya.

Lebih pelik lagi, ada yang sebahagian mereka yang menentang itu menyalahkan Hakim yang memberi hukum. Kan ke pelik namanya. Sepatutnya mereka patut melenting kepada kerajaan Pusat yang membiarkan undang-undang berkaitan dengan Islam terumbang-ambing serta tidak berdaulat.

Sepatutnya, undang-undanglah perlu digubalkan. Undang-undang Islamlah perlu diperkukuhkan untuk kebaikan Islam dan insan. Undang-undang Islamlah yang perlu di'agong'kan. Hudud, satu syariah Islam yang fardhu, perlu dilaksanakan. Jika ini semua berlaku, insyaAllah Islam itu akan terpelihara dengan baik di bumi Malaysia. Diikat dengan undang-undang dan dikuatkuasakan didalam kehidupan.

Lebih melampau peliknya, yang bersungguh-sungguh hendak menggunakan kalimah Allah itu adalah Kristian Katolik, mengapa pula yang dibakarnya adalah gereja Protestan. Ya, satu dari sembilan itu gereja Protestan yang dibakarnya. Kan ke cap ayam namanya. Kalau ya pun hendak buat provokasi, buatlah dengan 'bersungguh-sungguh', ini tidak, hentam kromo sahaja. Memang dasar akal di lutut.

Sabtu, Januari 16, 2010

RUMAH HAMBA TURUN SALJI......:)

Pantai airport, Terengganu. Merasai keindahan angin pantai pagi jam 11. Mungkin ketika ini mereka berdua telah bermesyuarat untuk melaksanakan program 'operasi turun salji' bila balik ke Rasa nanti..... mungkin.



Sekarang hamba ada dok rumah ni. Hari Sabtu, cuti. Petang ni ada seminar jam 2. Di Batang Kali. Cadang hendak ke rumah ibu lepas seminar. Tapi, rasanya seperti ada banyak kerja hendak dibuat di Rasa ini. Mungkin insyaAllah minggu depan kot balik.

Jam 11 pg nanti, ada student hendak sewa kereta. Student Darul Quran. Kereta Kenari hamba buat sewa. RM75 sehari. Harga boleh runding. Selalunya hamba yang kalah runding, sebab kasihan dengan student Darul Quran, mereka bukannya berduit sangatpun. Lagipun, mereka sewa selalunya adalah untuk program dakwah mereka.

Hamba hari ini batuk-batuk. Sudah 2 hari. Dan juga, sudah 2 hari makan ubat doktor beri. Rasanya seperti hingus pula yang hendak keluar. Zaleha selesema. Iman dan Jannah batuk2 sikit. Tetapi mereka sihat dan aktif. Alhamdulillah mereka berdua sudah kembali sihat dan kembali membising dan menyepahkan rumah.

Seperti biasa, kakak Jannah akan mengajar adiknya bagaimanakah cara yang paling efisien lagi teratur untuk menyepahkan rumah agar ummi dan ayahnya akan menjerit, "Ya Allah! apa korang buat ni?".

Pernahkan anda sekelian melihat rumah anda diturun salji. Pernahkah?

Rumah hamba semalam telah diizinkan Allah untuk turun salji ditempat yang spesifik, iaitu ruang dapur tempat menonton TV. Lantai mozek dan tikar yang dibentang didepan TV rumah hamba berwarna cokelat muda. Serupa warna kayu jelutuong gitu. Namun, dengan izin Allah, semalam, lantai mozek dan tikar telah ditimbusi dengan salji berwarna putih.

Ya,.. salji. Mengapa? Tak percaya ke?

Namun salji ini bukan berlandaskan kepada air, tetapi ia berlandaskan kepada talkun. Harap sesiapa yang membacanya, faham-fahamlah apakah bahan yang dipanggil 'salji' itu.

Maka rumah hamba, pada ketika itu, harum wangilah berbaukan bedak talkun. Untuk mendramatikkan lagi situasi, maka ayat yang akan kedengaran ke udara adalah suara ayahnya, " Sapa yang buat niiiiii?!", dengan nada yang macam marah.

Maka akan dijawablah oleh suara yang comel, "Saya yang buat!", sambil angkat tangan dengan bersungguh-sungguh.

Dengan jawapan itu, persoalan yang timbul, adakah si bertanyakan tadi akan terus berkata-kata dengan nada yang marah atau gelak besar melihat telatah anak-anak kecil umur 3 dan 2 tahun?

Anda sekelian fikirlah sendiri........

Isnin, Januari 11, 2010

ANAK SULONG HAMBA DEMAM.


Sedih melihat anak yang aktif, tiba-tiba duduk 'statik' tidak bermaya kerana tidak sihat - Nur Jannah, 3 tahun.

Jam 3.30 pg tadi, hamba melihat suhu badan Nur Jannah kembali naik. 39.7'C. Demam panas. Hamba ambil keputusan memberi ubat bontot kepada anak hamba yang sulung itu.

Sudah masuk 3 hari beliau demam. Semalam seperti sudah kebah, namun pagi ini, suhunya naik kembali. Hamba bercadang hendak ambil cuti esok. Anak tidak sihat, masa beginilah sepatutnya hamba ambil cuti.

Alhamdulillah opahnya dari KL datang menjenguk. Bolehlah anak hamba yang sulong itu bermanja lebih dengan opahnya. Kasihan pula ayah hamba, atok Jannah, ayah terpaksa berjaga pagi kerana cucunya demam. Jannah tidur dengan opahnya jika opahnya ada.

'Ayah, boleh tepi sikit, nak beri ubat pada Jannah ni.', kata hamba kepada ayah hamba yang juga tidur dengan Jannah. Memang cucu kesayangan Jannah ini. Mengganti cucu sulong ibu dan ayah, Aqlan, anak saudara hamba yang tersangat disayangi opahnya itu yang sudah berhijrah ke Bahrain.

Hamba tidak boleh tidur. Buka internet untuk memohon cuti 'emergency'. Tempat kerja hamba, mohon cuti gunakan cara ICT sahaja. 'Paperles'. Sudah buka internet, maka apalagi, berbloglah hamba.

Selalunya begitulah, Jannah paling kurang akan kebah demamnya selama 3 hari. Adiknya dan ayahnya demam dahulu. Hari Rabu, petang, Nurul Iman demam. Hamba pun demam. Kuat juga demam adiknya itu. Suhu tertinggi 40.1'C. Namun, alhamdulillah, hari Jumaat beliau sudah kebah. Kakaknya pula yang sambung demam, jam 3.00pg Sabtu. Mungkin jangkit dengan adik dia, atau dengan ayah dia, sebab Jannah suka tidur sebelah ayah dia.

Ingat lagi hamba, jam 3.00 pagi itu, hamba terjaga dari tidur kerana terperasan badan Nur Jannah seperti panas. Hamba mengambil termometer, mengambil suhu di telinganya. Hamba beli termometer yang mahal sedikit, suhu dibaca ditelinga kerana ia adalah suhu yang tertepat dan cepat. Pada ibubapa yang mempunyai anak kecil, habiskanlah wang ada sebanyak sedikit untuk beli termometer telinga ini, dalam lingkungan RM150 ke atas. Banyak gunanya.

37.5'C. Itulah bacaan suhunya. Hendak demam, mungkin. Hamba tukarkan pampernya yang sudah penuh dan tukar baju kepada baju yang lebih terbuka agar wap haba dapat keluar. Jam 4.00pg, ambil kembali suhu Jannah. 38.7'C. Sah, demam. Naik cepat. Hamba beri beliau ubat.

Kepada pasangan yang baru bernikah semasa cuti sekolah lepas, maka insyaAllah anda semua akan melalui pengalaman ini. Semasa 'honeymoon', memang seronok yang amat. Kemudian,dapat anak sulong, lagilah seronok yang amat. Kemudian menjaga anak yang baru lahir, lagilah seronok yang amat.

Tidur tidak menentu. Jaga jam 2 pagi, 3 pagi, 4 pagi melayan karenah anak, memang meletihkan, tetapi percayalah, walau jika anda tidak pernah terjaga malam sebelum ini, tetapi untuk anak, anda sanggup melakukannya. Lepas subuh pening kepala, dipejabat pagi-pagi seperti hendak pengsan kerana tidak cukup tidur, akan dilalui oleh anda semua. Muntah di tandas pejabat kerana pening terjaga malam menjaga anak demam jam 3-4 pagi, seperti sudah terbiasa.

Namun percayalah, anda tidak akan menyesal dengan kesakitan badan yang anda terima kerana menjaga anak kecil. Malah, anda redho dan seronok. Barulah kita ternampak, beginilah caranya ibu dan ayah kita menjaga kita semasa kecil dahulu.

Hamba melihat sekarang ini ibu dan ayah sedang tidur dengan cucunya, merenung lama-lama kedua-dua mereka, datang rasa sebak melihat kedua orang tua hamba. Sungguh banyak dosa hamba kepada orang tua hamba....... sungguh banyak.......

Sabtu, Januari 09, 2010

WAJIB BACA : PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH. (OLEH TUAN GURU ABDUL HADI AWANG)



Penggunaan kalimah “ALLAH”

Oleh; Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja katholik mengguna-pakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH adalah sangat mulia di sisi umat Islam.


Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.


Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama ?. Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.


Apa yang perlu di fahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab ?. Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini ?. Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat islam di serata dunia yang terdiri dari berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.


Perkataan Allah di sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.


Firman Allah bermaksud:61.

Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.


Firman Allah bermaksud:63.

Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).


Firman Allah bermaksud:25.

Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).


Firman Allah bermaksud:38.

Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".


Firman Allah bermaksud: 9.

Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".


Firman Allah bermaksud:87.

Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?


Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.


Hari ini kita melihat mukjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD dan LORD; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.


Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.


Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al Asma Al Husna) . Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al Asma Wa Sifat).


“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan” .


Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.


Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:


64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".


Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang di halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.


Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama-sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah ALLAH di hadapan umat Islam.


Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun :


(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).


Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.


Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.


Firman Allah yang bermaksud :


108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.


Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.


Wallahua’alam.


7 Januari 2010

Rabu, Januari 06, 2010

KALIMAH SUCI ALLAH: MENGAPA BERHUJAH SESAMA SENDIRI, SEPATUTNYA BERHUJAH DENGAN PIHAK KRISTIAN.

Apabila kita masuk ke dalam padang untuk bermain bolasepak, sesebuah pasukan itu mestilah ada 11 pemain di atas padang. Pasukan itu juga perlu ada pemain simpanan dan untuk memperkuatkan lagi semangat pasukan, pasukan bolasepak itu akan membawa penyokong-penyokong mereka bersama ke dalam stadium.

Perlawanan bolasepak akan bermula apabila tiupan wisel permulaan pengadil dibunyikan. Setiap perlawanan perlu ada 2 pasukan sahaja diatas padang. Itulah undang-undang permainan bolasepak, tidak boleh ada 3 pasukan atau lebih didalam satu-satu masa perlawanan diatas padang itu.

Jika ada dua pasukan yang dinamakan A dan B bertanding, maka cara untuk memenangi perlawanan bolasepak itu ialah pasukan A perlu menjaringkan gol ke dalam pasukan B dan pasukan B perlu menjaringkan gol ke dalam pintu gol pasukan A. Mana-mana pasukan yang mendapat gol yang terbanyak, pasukan itulah yang menang.

Namun, cuba kita bayangkan, jika kumpulan A itu bertanding dengan pasukan B, tetapi didalam masa perlawanan, kumpulan A itu bukannya mahu menjaringkan gol ke dalam pintu gol pasukan B, malah mereka, iaitu kumpulan A itu sibuk berebut-rebut bola sesama sendiri untuk menunjukkan skil masing-masing.

Bukan setakat berebut bola, malah sehingga ketahap menggelecek rakan pasukan sehingga tercedera ringan untuk mendapatkan bola itu. Lebih memeningkan lagi, apabila salah seorang dari 11 orang didalam pasukan A itu mendapat bola, beliau bukannya hendak menjaringkan gol ke pintu pasukan B, malah beliau membawa bola itu sekekeliling padang dan kadang-kadang menyepak bola itu kearah penyokong-penyokong pasukan A itu yang duduk ditepi stadium.

Oleh kerana bola sudah berada di kaki penyokong, maka bola itu direbut-rebut pula oleh para penyokong kumpulan A untuk menunjukkan skil bermain bolasepak mereka walaupun sebenarnya mereka bukannya pemain bolasepak.Bukan hanya setakat itu, 10 pemain kumpulan A kecuali penjaga gol, turut bersama keluar dari padang bola dan berebut-rebut bola itu dari kaki para penyokong kumpulan A ditepi stadium.

Maka kumpulan B pun akan tergelak-gelaklah kesukaan kerana melihat didalam padang hanya tinggal seorang sahaja pemain kumpulan A iaitu penjaga gol, Kumpulan B pun akan memintalah bola dari penjaga garisan untuk membuat 'throw in' bola kembali ke dalam padang dan kumpulan B pun akan mencubalah menjaringkan gol ke pintu gol pasukan A yang hanya tinggal seorang sahaja pemain iaitu penjaga golnya.

Jika kita adalah penyokong kumpulan A, maka apakah yang akan bermain difikiran kita melihat pasukan bolasepak A yang sudah bercelaru tidak tahu bermain bolasepak. Bagaimana kumpulan A ini hendak menang sesuatu pertandingan? Tumpuan sebenar cara untuk menang didalam sukan ini telah dipesong dengan pemikiran yang sudah lari dengan tujuan asal.

Cuba kita bayangkan kumpulan A ini sebenarnya adalah gerakan Islam, dan kumpulan B pula adalah kumpulan kufur yang ingin menyesatkan manusia. Apa akan jadi dengan manusia jika gerakan Islam ini menggunakan kaedah kumpulan A bermain bolasepak untuk mencapai kemenangan menentang kekufuran?

Isu yang hendak diketengahkan oleh hamba ialah berkenaan dengan kalimah Allah yang hendak digunakan oleh pihak kufur kepada Allah. Mengapa umat Islam bertungkus lumus siang malam pagi petang membuat kenyataan dengan berbagai-bagai dalil untuk menyatakan pihak kufur boleh atau tidak menggunakan perkataan Allah pada Tuhan mereka?

Mengapa tidak gerakan Islam dan kumpulan Islam bertungkus lumus berdakwah menyelamatkan manusia dengan memberikan dalil-dalil yang jelas dan nyata, membuat kenyataan-kenyataan akademik yang tinggi, bahawa kufur itu adalah kufur dan Ad-Deen Allah hanyalah Islam? Ahmad Deedat-Ahmad Deedat yang baru, tolong bangun dari tidurmu.....

Jumaat, Januari 01, 2010

JIKA KRISTIAN MENGAKU JESUS ITU RASUL BUKAN ANAK TUHAN DAN MUHAMMAD ITU RASUL TERAKHIR, MAKA BOLEHLAH DIBAWA BINCANG MENGGUNAKAN ALLAH SEBAGAI TUHAN.

Sesiapa yang tidak mengaku bahawa Allah SWT itu adalah tuhan, beliau itu adalah kafir. Sesiapa yang tidak mengaku bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, maka mereka itu adalah kafir. Sesiapa yang tidak mempercayai Al-Quran itu adalah kitab Allah, maka mereka itu adalah kafir. Ini adalah pendirian agama Allah, Islam.

Maka dari situ, keadilan terhadap umat Islam ialah, sesiapa yang syirik kepada Allah, iaitu mereka menyembah benda lain selain Allah sebagai tuhannya, maka mereka itu tidak layak memberi nama tuhan mereka adalah Allah. Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu ada anak, maka mereka itu telah mensyirikkan Allah kerana Allah itu Lam yalid wa lam yu lad, Dia tidak beranak dan diperanakkan. Maka orang yang mengatakan Allah itu ada anak maka mereka adalah tidak layak memanggil tuhan mereka Allah.

Isu Herald atau pihak Kristian Malaysia hendak mengguna kalimah Allah sebagai tuhan mereka, atau God mereka, hamba tentang 100%. Penentangan ini bukan kerana takut kononnya akan menimbul kekeliruan kepada umat Islam di Malaysia, tetapi penentangan hamba adalah kerana hamba ingin menegakkan keadilan terhadap umat manusia akan kesesatan yang sedang dilakukan oleh puak yang kufur kepada Allah.

Kebenaran hendak ditukarkan kepada kebatilan dengan satu ayat yang sama. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Ini bukan persoalan kebebasan beragama, tetapi ini adalah persoalan keadilan kepada manusia agar kalimah suci Allah tidak digunakan untuk kebatilan yang nyata. Kufur itu nyata dan iman itu nyata. Ianya tiada kabur, ianya tiada kekeliruan, ianya tiada tiga atau jutaan.

Jika pihak Kristian mengaku Allah itu Esa, Allah tidak memberanakkan Jesus, Roh Kudus itu bukan bahagian dari Allah, menggugurkan enologi triniti atau 3 dalam satunya, mengaku Jesus itu hanyalah seorang manusia agong iaitu Rasul, bukan anak Tuhan, maka selepas itu barulah boleh diperbincangkan untuk menggunakan kalimah Allah di dalam majalah Herald mereka.

Jika pihak Kristian, mengaku Muhammad itu adalah Nabi terakhir, selepas Nabi Jesus a.s, maka bolehlah diperbincangkan untuk mereka menggunakan kalimah Allah. Jika, pihak Kristian, mengaku bahawa Allah dengan kuasaNya, telah mengandungkan Mariam tanpa bapa, dan melahirkan seorang Rasul, bukannya anak Tuhan, maka bolehlah diperbincangkan mereka menggunakan kalimah Allah itu sebagai Tuhan mereka.

Jika, pihak Kristian, mengaku bahawa Al-Quran itu adalah kitab Allah yang terakhir selepas Injil, maka selamat datang menyertai kami sebagai umat Islam, agama Allah yang awal dan akhir.

KEMALANGAN BAS 2 TINGKAT SANI: SALAH PEMANDU SHJ ATAU PENGHADANG JALAN TIDAK IKUT PIAWAI?

Kemalangan bas dua tingkat dari syarikat Sani yang menyebabkan kematian 10 penumpang membuatkan hamba terfikir, adakah penghadang jalanraya yang dipasang di lebuhraya di Malaysia ini adalah untuk menyelamatkan pengguna jalanraya jika terdapat kemalangan atau ianya sebenarnya adalah senjata makan tuan, iaitu satu peluru membunuh jika ada kenderaan merempuhnya.

Hamba tidak tahu 100% punca kematian penumpang bas itu, adakah mati kerana hentakan kuat akibat pelanggaran atau yang sebenarnya disebabkan hentakan atau tusukan penghadang jalanraya ke dalam bas berkenaan.

Yang menjadi tanda tanya pada fikiran hamba ialah, mengapakah penghadang jalan itu boleh pecah dan patah semasa hentakan kemalangan sehinggakan penghadang yang sepatutnya dipasang untuk menyelamat kenderaan yang kemalangan tiba-tiba menjadi senjata pisau tajam membunuh pula kepada kenderaan yang menghentamnya.

Adakah satu piawai yang tertentu bagi penghadang jalan ini untuk memastikan penghadang ini dapat menerima hentakan dari mana-mana kenderaan yang melalui lebuh raya itu? Maksud piawaian itu bukan hanya setakat piawai bahan penghadang, tetapi piawai cara pemasangan, pembinaan dan cara ikatan dari satu segmen penghadang kepada penghadang yang lain.

Jika ada, siapakah yang akan memantau bagi memastikan setiap penghadang jalan di jalanraya di Malaysia ini mengikut piawai yang disediakan. Adakah ianya termasuk didalam bidang kuasa Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) atau ianya didalam bidang kuasa Jabatan KerjaRaya (JKR). Adakah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) diberi kuasa untuk memantau setiap penghadang jalan adalah selamat digunakan jika berlakunya hentakan.Adakah juga Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai bidang kuasa dan juga kakitangan yang dikhususkan untuk kerja-kerja ini?

Sudah 2 kali pada tahun ini kemalangan melibatkan bas dua tingkat di lebuhraya PLUS menyebabkan kematian akibat daripada kegagalan penghadang jalan melaksanakan tugasnya untuk meminimakan kecelakaan didalam sesuatu kemalangan. Satu pada 13 April 2009 di km 443 lebuh raya PLUS dekat dengan tol exit Rawang, manakala yang terbaru pada 27 Disember 2009 dekat dengan tol exit Ipoh Selatan, lebuhraya yang sama. Kedua-dua kemalangan itu, penghadang jalan pecah dan terputus sehingga menyebabkan penghadang yang terputus itu merempuh masuk ke dalam bas dan menjadi seperti pisau tajam kepada penumpang didalamnya.

Jangan salahkan pemandu 100%. Hamba yakin, kemalangan itu menjadi maut bukan kerana sebab seorang pemandu yang cuai sahaja (ada sebab mengapa pemandu itu cuai, bukan sengaja buat cuai), tetapi ianya ada juga kena mengena dengan kegagalan fungsi penghadang jalan di lebuhraya di Malaysia.

Mohon Blogger buat penyiasatan lanjut terhadap kes ini.