Mari sama-sama kita sebut syahadah

Sabtu, November 27, 2010

BAGAIMANA HAMBA MASUK JEMAAH PAS.

Hamba minat didalam politik sudah lama. Semasa hamba sekolah rendah lagi. Semasa hamba darjah 6, umno ketika itu telah di'baru'kan oleh Tun Mahathir. Kumpulan yang lagi satu menubuhkan umno lama tetapi ROS tidak membenarkan parti itu dinamakan umno, maka terpaksa dibuat nama Semangat 46.

Minat hamba didalam politik Malaysia adalah disebabkan ayah hamba. Beliau seorang ahli umno. Semasa pru 1990, ayah hamba menyokong team Mahathir. Ingat lagi sehingga sekarang, ungkapan ayah hamba kepada hamba, "Jika s46 memerintah, habis orang Melayu.", ketika itu hamba yakin 100% apa yang ayah hamba katakan, maklumlah, baru 14 tahun.

Hamba masih ingat, betapa leganya Tun Mahathir apabila dapat majoriti 2/3 semasa PRU 1990. Ingat lagi hamba ayat2 Rais Yatim tentang bakar jambatan. Ingat lagi hamba melihat keputusan DUN Kelantan hanya diumumkan media keesokan harinya. Ingat lagi hamba isteri sepupu hamba berkata, "Bolehke tok guru jadi MB. Takat ceramah agama bolehlah.". Hamba ingat semua itu kerana hamba minat akan politik. Hamba ketika itu memang kuat semangat Melayunya, mungkin suasana didalam rumah adalah sebegitu.

Ayah hamba orang Melaka. Tetapi dibesarkan di Singapura. Beliau hidup dimana orang Melayu adalah lemah didalam masyarakat majoritinya Cina. Beliau berpengalaman hidup di Singapura diherdik oleh kaum Cina. Semasa umno memberi percuma tanah Singapura kepada Lee Kuan Yew, ayah hamba berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, ayah bertemu ibu hamba dan mereka berdua telah merasai peristiwa 13 Mei. Mereka tinggal di Kampung Baru ketika peristiwa itu. Tempat berpusatnya pergaduhan diantara Cina dan Melayu.

Oleh itu boleh difahami, sifat kuatnya sentimen Melayu oleh ayah dan ibu hamba telah membentuk hamba kearah itu. Ayah memilih umno sebagai wadah hidupnya, walaupun sebenarnya jiwa ayah adalah lebih kepada Kesatuan Pekerja yang diketuainya. Manakala ibu tidak percaya kepada parti politik baik umno atau PAS, tetapi membenci yang amat kepada DAP.

Ketika ditingkatan 3, datang seorang ustaz mengajar hamba di sekolah hamba. Ustaz Ishak namanya. Namun beliau hanya dapat mengajar hamba selama 8 bulan. Kemudian beliau ditukarkan ke tempat lain, tidak tahu mengapa. Apa yang hendak diketengahkan disini adalah cara pengajaran agamanya memang lain dari yang lain. Beliau tidak mengajar 100% menggunakan buku teks, tetapi banyak mengajar tentang daulah Islam. Yang paling memberi kesan ialah beliau ada mengajar tentang perlembagaan Malaysia yang menunjukkan negara Malaysia ini BUKAN negara Islam. Terkedu hamba.

Terkedunya hamba itu menyebabkan hamba mencari dan membeli buku-buku politik. Ya, ketika hamba tingkatan 3, hamba sudah meminati mengumpul buku politik. Ada satu buku yang hamba beli dengan duit simpanan sendiri, tajuknya hamba sudah lupa, dan bukunya hamba lupa disimpan di mana dan hambatidak dapat mencarinya sehingga sekarang, menceritakan berbedaan diantara umno dan PAS. PAS itu konsisten dalam perjuangan, umno berubah-ubah ikut musim. Hamba cukup benci buku itu pada mulanya kerana ianya memburukkan umno.

Tetapi, lama kelamaan, setelah mendapat info demi info, maka hati hamba kepada umno semakin pudar dan pudar. Maksud info adalah maklumat berkenaan apa itu sekularisme, apa itu kapitalisme, apa itu sosialisme, apa itu nasionalisme. Bagaimana nasionalisme telah menghancurkan khalifah Islam. Bagaimana pengasasan negara bangsa memecahkan dominan politik umat Islam. Arab dengan bangsa Arabnya. Parsi dengan bangsa Parsinya. Turki dengan bangsa Turkinya. Urdu dengan bangsa Urdunya. Melayu dengan bangsa Melayunya. Satu umat Islam telah dipecahkan mengikut bangsa masing-masing.

Tetapi ketika itu, hati untuk bersama jemaah PAS masih belum bersedia lagi. Mungkin hamba sedang akan menduduki SRP. Hamba berjinak-berjinak dengan PAS semasa hamba ditingkatan 4. Bukannya menjadi ahli, tetapi mengikuti perkembangan dengan kaset-kaset ceramah dan buku-buku tentang gerakan Islam. Ibu dan ayah nampak akan minat hamba itu. Malah mereka memberikan galakan lagi agar hamba mengkaji hal-ehwal politik di Malaysia dan dunia Islam.

Pemimpin pertama PAS yang hamba kenal adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Ceramahnya cukup memberi kesan kepada orang yang baru mengenal hidup seperti hamba ketika itu. Walaupun hamba ketika tingkatan 4 dan 5 hingga belajar diploma di ITM, luaran hamba adalah 'mat rockers', tetapi hati ini sebenarnya telah terpaut dengan perjuangan PAS.

Semasa di ITM, mereka-mereka yang berwatakkan Islamik, atau kader-kader PAS, tidak melihat hamba sebagai seorang insan yang menyokong perjuangan mereka. Perangai hamba yang hu ha hu ha, mendengar lagu-lagu berat thrash metal, tidak pernah berusrah, tamrin dan ceramah kelompok bersama puak-puak ini, memberikan persepsi bahawa hamba ini sebagai sebahagian dari kumpulan mereka yang tiada pendirian. Dan hamba tidak kisah mereka menganggap hamba sedemikian. Hamba minat kepada PAS, hamba tahu perjuangannya dan hamba adalah penyokong tegar PAS. Hanya kawan-kawan rapat hamba yang mengetahui hamba ini penyokong fanatik PAS.

Namun, sifat 'menyorok' menyokong PAS itu terhapus semasa peristiwa Anwar Ibrahim dipecat. Tahun 1998. Hamba sebelum peristiwa hitam itu, cukup membenci Anwar. Masuk tong tahi untuk bersih tahi. Tetapi ketika peristiwa hitam itu berlaku, perasaan kasihan kepada Anwar begitu menebal sehingga hamba pun turut sama berada didalam gelombang reformasi.

Cumanya, semasa perhimpunan beramai-ramai di Masjid Negara hamba tidak dapat mengikutinya kerana hamba terkena penyakit mata. Kedua-dua belah mata hamba sakit membengkak. Jika tidak, hamba pasti akan berada disana dan kemungkinan besar hamba akan ditangkap polis kerana rakan baik hamba terkena tangkap oleh polis setelah dibelasah dan disembur air asid dan gas pemedih mata semasa perhimpunan itu. Ketika ini jugalah hamba berjinak-jinak dengan usrah dan ceramah kelompok semasa gelombang reformasi sedang kuat membuak.

Hamba akhirnya menjadi ahli PAS pada tarikh 22 Januari, 2000, setelah mengisi borang ahli PAS pada bulan Ogos 1999. Ahli seumur hidup. Cawangan Bukit Damansara, Kawasan Segambut, K.L. Tahun 2003 hamba dipaksa menjadi Setiausaha Cawangan, Ajk Kawasan dan Ajk Pemuda. Sehinggalah sekarang, masih menjadi setiausaha cawangan, tetapi di kawasan lain, Hulu Selangor, cawangan Rasa. Perlu menjaga 4 UPU, 10 saluran, pengundi lebih kurang 8000 pengundi. Namun alhamdulillah DAP dan PKR disini juga agak aktif. Ringan sedikit bebanan 4 UPU itu.

0 ulasan: