Mari sama-sama kita sebut syahadah

Rabu, Januari 06, 2010

KALIMAH SUCI ALLAH: MENGAPA BERHUJAH SESAMA SENDIRI, SEPATUTNYA BERHUJAH DENGAN PIHAK KRISTIAN.

Apabila kita masuk ke dalam padang untuk bermain bolasepak, sesebuah pasukan itu mestilah ada 11 pemain di atas padang. Pasukan itu juga perlu ada pemain simpanan dan untuk memperkuatkan lagi semangat pasukan, pasukan bolasepak itu akan membawa penyokong-penyokong mereka bersama ke dalam stadium.

Perlawanan bolasepak akan bermula apabila tiupan wisel permulaan pengadil dibunyikan. Setiap perlawanan perlu ada 2 pasukan sahaja diatas padang. Itulah undang-undang permainan bolasepak, tidak boleh ada 3 pasukan atau lebih didalam satu-satu masa perlawanan diatas padang itu.

Jika ada dua pasukan yang dinamakan A dan B bertanding, maka cara untuk memenangi perlawanan bolasepak itu ialah pasukan A perlu menjaringkan gol ke dalam pasukan B dan pasukan B perlu menjaringkan gol ke dalam pintu gol pasukan A. Mana-mana pasukan yang mendapat gol yang terbanyak, pasukan itulah yang menang.

Namun, cuba kita bayangkan, jika kumpulan A itu bertanding dengan pasukan B, tetapi didalam masa perlawanan, kumpulan A itu bukannya mahu menjaringkan gol ke dalam pintu gol pasukan B, malah mereka, iaitu kumpulan A itu sibuk berebut-rebut bola sesama sendiri untuk menunjukkan skil masing-masing.

Bukan setakat berebut bola, malah sehingga ketahap menggelecek rakan pasukan sehingga tercedera ringan untuk mendapatkan bola itu. Lebih memeningkan lagi, apabila salah seorang dari 11 orang didalam pasukan A itu mendapat bola, beliau bukannya hendak menjaringkan gol ke pintu pasukan B, malah beliau membawa bola itu sekekeliling padang dan kadang-kadang menyepak bola itu kearah penyokong-penyokong pasukan A itu yang duduk ditepi stadium.

Oleh kerana bola sudah berada di kaki penyokong, maka bola itu direbut-rebut pula oleh para penyokong kumpulan A untuk menunjukkan skil bermain bolasepak mereka walaupun sebenarnya mereka bukannya pemain bolasepak.Bukan hanya setakat itu, 10 pemain kumpulan A kecuali penjaga gol, turut bersama keluar dari padang bola dan berebut-rebut bola itu dari kaki para penyokong kumpulan A ditepi stadium.

Maka kumpulan B pun akan tergelak-gelaklah kesukaan kerana melihat didalam padang hanya tinggal seorang sahaja pemain kumpulan A iaitu penjaga gol, Kumpulan B pun akan memintalah bola dari penjaga garisan untuk membuat 'throw in' bola kembali ke dalam padang dan kumpulan B pun akan mencubalah menjaringkan gol ke pintu gol pasukan A yang hanya tinggal seorang sahaja pemain iaitu penjaga golnya.

Jika kita adalah penyokong kumpulan A, maka apakah yang akan bermain difikiran kita melihat pasukan bolasepak A yang sudah bercelaru tidak tahu bermain bolasepak. Bagaimana kumpulan A ini hendak menang sesuatu pertandingan? Tumpuan sebenar cara untuk menang didalam sukan ini telah dipesong dengan pemikiran yang sudah lari dengan tujuan asal.

Cuba kita bayangkan kumpulan A ini sebenarnya adalah gerakan Islam, dan kumpulan B pula adalah kumpulan kufur yang ingin menyesatkan manusia. Apa akan jadi dengan manusia jika gerakan Islam ini menggunakan kaedah kumpulan A bermain bolasepak untuk mencapai kemenangan menentang kekufuran?

Isu yang hendak diketengahkan oleh hamba ialah berkenaan dengan kalimah Allah yang hendak digunakan oleh pihak kufur kepada Allah. Mengapa umat Islam bertungkus lumus siang malam pagi petang membuat kenyataan dengan berbagai-bagai dalil untuk menyatakan pihak kufur boleh atau tidak menggunakan perkataan Allah pada Tuhan mereka?

Mengapa tidak gerakan Islam dan kumpulan Islam bertungkus lumus berdakwah menyelamatkan manusia dengan memberikan dalil-dalil yang jelas dan nyata, membuat kenyataan-kenyataan akademik yang tinggi, bahawa kufur itu adalah kufur dan Ad-Deen Allah hanyalah Islam? Ahmad Deedat-Ahmad Deedat yang baru, tolong bangun dari tidurmu.....

0 ulasan: