Mari sama-sama kita sebut syahadah

Sabtu, November 14, 2009

ARAB JAHILIAH PUN BENARKAN NABI MENUNAIKAN HAJI, TAPI INI MELAYU?

Malampau betul. Masih ramai manusia yang berhati syaitan berada di dalam diri orang-orang Melayu ini. Hamba tidak faham, mengapa ada manusia, yang suka sangat membuat kerja bohong fitnah, mengata bermacam-macam, terhadap seorang insan yang terang-terangan baik dan zuhud hanya kerana orang yang baik itu adalah orang PAS, bukan umno?

Hari ini adalah hari dalam sejarah hamba melihat keburukan media massa umno, membuat kerja tidak siuman, mencela insan yang tidak patut dicela sehingga insan itu membatalkan niatnya untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Melampau betul.

Tok Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulama tersohor, dengan sifat zuhud, rendah diri, iman yang teguh, lemah lembut, sanggup ada orang melayu yang mengatakan tok guru menerima rasuah haji. Celaka sungguh melayu itu!

Hamba berharap, manusia melayu yang bertanggungjawab terhadap fitnah busuk yang terlalu najis ini terhadap tok guru Nik Aziz akan ditimpa musibah yang berlipat kali ganda terhadap mereka dunia dan akhirat.

Kafir jahiliah Quraisy dahulu pun membenarkan Rasulullah menunaikan Haji di Makkah. Inikan pula orang melayu, lagi teruk dengan kafir jahiliah kah mereka? Hamba tidak menuduh mereka ini kafir murtad, tidak, jauh sekali tidak! Hamba hanya ingin mempersoalkan, adakah mereka ini berperangai lebih teruk daripada kafir jahiliah? Tolong jawab persoalan ini.

Sedih melihat perangai orang melayu ini, yang berperangai macam syaitan, bernafsukan haiwan, berotakkan najis. Lebih baik kamu semua tidak wujud di dunia ini, tenang hidup.

Kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, hamba walaupun sedih, namun bersyukur dengan peristiwa ini kerana dengan adanya peristiwa ini, menampakkan kita semua, siapakah melayu-melayu yang jahat terhadap Islam.

Khamis, November 12, 2009

TERINGAT MENUNAIKAN UMRAH DAHULU, 1425 HIJRAH.


Gambar Masjidil Haram yang hamba sempat ambil di dalam van untuk ke Tanaim melakukan umrah yang entah keberapa entah...... lupa.......



Gambar Masjidil Haram dari jendela hotel hamba. Rasanya hotel ini sudah tiada. Mesti sudah dirobohkan, wallahualam.


Gambar Masjid Nabawi dari tingkap atas hotel hamba menginap.


1425 Hijrah, adalah satu detik bersejarah bagi hamba kerana pada tahun itu, di bulan rejab, hamba telah pergi menunaikan umrah.

Umur hamba ketika itu 28 tahun, status perkahwinan masih bujang lagi. Solo. Duit sedang berisi di dalam bank. Hamba pergi menunaikan umrah secara solo, tidak berteman. Maksudnya hamba pergi seorang diri di dalam kelompok jemaah umrah yang di dalamnya semuanya ada berpasangan.


Kurusnya hamba ketika ini : Kawasan bukit uhud tak silap hamba.


Seronok dan bebas.

Lebih menyeronokkan ialah, Ustaz membimbing kumpulan umrah ini adalah ustaz Taib Azamuddin. Lebih menyeronokkan 2 kali ganda ialah di Madinah, hamba dapat duduk sebilik dengan Ustaz Taib bersama dengan seorang lagi jemaah yang bekerja di Proton.

Kebebasan yang dinikmati melakukan umrah secara solo ialah, hamba boleh pergi ke masjidil Nabawi dan Masjidil Haram sesuka hati hamba.

Pukul 3 pagi buat umrah pun boleh.

Pergi beribadat di masjidil Haram dari Zohor sehingga Isyak pun boleh.

Hendak tidur dalam masjidil Haram pun no problem.

Memang menyeronokkan iman. Pertama kali menatap Masjid Nabawi sekitar jam 3 pagi di Madinah, amat mengasyikkan iman. Pertama kali melihat Kaabah di dalam Masjidil Haram, amat memilukan hati iman.

Tidak pernah seumur hidup hamba menangis teresak-esak macam budak kecil, melihat Baitullah di depan mata. Anda perlu berada di sana baru anda semua merasai apa yang hamba rasa kesedihan jiwa yang amat sangat melihat Baitullah di depan mata. Air mata menjirus basah ke pipi, kemudian anda akan ketawa dengan tiba-tiba serentak dengan tangisan yang masih keluar dari air mata tanda sungguh bersyukur dan gembira yang amat sangat.

Hamba tidak boleh hendak menggambarkan dengan kata-kata perasaan hamba ketika berada di sana. Ianya adalah perasaan yang mesti dirasai sendiri oleh diri masing-masing.

Jika sudah ke sana, kita pasti akan terasa untuk ke sana lagi berulang-ulang kali. Sekarang ini, ketika AidilAdha akan menjelma, perasaan hamba untuk ke sana tiba-tiba bertambah kuat. Lebih-lebih lagi, abang hamba ada di sana untuk bekerja. Bekerja di landasan keretapi dari Masjidil Haram ke Arafah.

Bilalah agaknya hamba akan menunaikan ibadah haji? Bilakah agaknya kewangan hamba diizinkan untuk hamba ke sana? Hamba berharap sungguh, waktu hamba ke sana, adalah ketika waktu hamba didalam kesihatan yang tinggi untuk memaksimumkan hamba melakukan ibadah haji.

Rindu sungguh hamba dengan Baitullah. Rindu sungguh hamba dengan makam Rasulullah. Rindu sungguh hamba dengan tanah haram. Termasuk rindu sungguh hamba untuk membebaskan tanah haram al-Syarif, Baitulmaqdis.

Beg untuk kembali ke Malaysia. Disebabkan hamba solo dan bujang (maksudnya kuat le) maka hamba ditugas untuk mengangkat beg-beg ini turun dari bas dan juga masuk ke dalam tempat check-in airport, seronok...... :)

Rabu, November 11, 2009

TERJUMPA GAMBAR DATO SERI ANWAR MASA DULU2 KALA.

Sedang buat kerja depan komputer, tiba-tiba terperasan gambar lama hari raya tahun 1425 Hijrah. Hamba masa tu baru kembali dari mengerjakan umrah pada bulan Rejab-Syaaban. Bersama dengan Ustaz Taib Azamuddin (Nanti hamba cerita).


Jika ketua pembangkang kita ada ter'blog' ke sini, yang kebarangkaiannya adalah 1 dari 6 bilion, mesti Dato Seri akan terkenang-kenang rumah lamanya di Bukit Damansara, yang sekarang ini telah dirobohkan dan dibina 2 rumah banglow besar setelah dibeli oleh seorang pak Arab daripada Dato Seri.





Ni gambar masa tahun 1425 Hijrah ni. Raya tahun masehi 2004. Anwar baru je keluar dari penjara, Tan Sri Khalid (baju biru) masih belum masuk PKR lagi. Malam raya itu, takbir rumah pertama adalah di rumah Anwar Ibrahim. Rumah lama dia......


Abang hamba, anak buah hamba, dengan Anwar Ibrahim. Dekat rumah Dato Seri, takbir raya.





Kami sedang bertakbir raya di rumah Anwar. Belakang tu nampak Dato Seri tu. Yang depan berjubah tu Hj. Tunai. Orang kuat PAS.


Dato Seri mesti tidak kenal hamba, kerana hamba ni budak hingusan sahaja di dalam arena politik tanah air. Jika mati hamba, rakyat Malaysia tidak perasan pun. Semasa Dato Seri keluar dari penjara, hamba ada datang ke rumah Dato Seri. Hendak berjumpa dengan Dato Seri, hendak bersalam, perlu beratur panjang. Dan hamba ada ingat lagi semasa hendak bersalam tu, hamba adalah berkata2 nasihat sikit.


Yelah, masa tu hamba baru 28 tahun, berdepan dengan orang yang besar sebesar Dato Seri Anwar, apalagi yang hendak hamba kata? Hamba katalah nasihat2 sikit 5-6 patah perkataan. Dato Seri pun letih baru keluar dari penjara.





Masa ni hamba sedang beratur di belakang insan baju putih tu. Dah siap sedia hamba hendak hulur tangan berjabat tangan dengan Dato Seri ini. Ketika ini, hamba hanyalah ikan bilis Setiausaha PAS Cawangan Bukit Damansara...... errr, sekarang pun ikan bilis juga, setiausaha PAS Cawangan Rasa le pulok.......



Sekarang ini Dato Seri telah menjadi ketua pembangkang, Tan Sri Khalid telah menjadi MB Selangor. Semuanya sedang memegang amanah yang besar kepada negara. Diharap, kedua-duanya bersedia juga memegang amanah tali Allah pula selepas ini. Harap orang-orang besar ini faham apa yang dimaksudkan...... :) Selamat mentadbir.

Isnin, November 09, 2009

SELAMAT HARI LAHIR IBU.....


Opah dengan cucunya, atau Ibu dengan anak-anak hamba.

Hari ini 9/11. Esok 10/11. Hari ini Isnin, esok Selasa.

Hari ini hamba di Rasa bekerja, esok di KL, juga bekerja.

Tetapi apa yang sangat membezakan hari ini dan esok ialah, hari ini ibu hamba tiada apa-apa yang hendak disambut, tetapi esok adalah hari lahir ibu hamba.

Selamat hari lahir ibu.

Hari lahir yang ke ........ Tak leh bagitahu, orang kata golongan muslimat sensitif dengan umurnya, ye ke?

Terima kasih ibu, dengan adanya ibu didunia ini, maka lahirlah hamba, dengan adanya kasih sayang ibu, maka inilah dia hamba yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Syurga adalah dibawah tapak kaki ibu.

Memang itulah kenyataan. Maafkan anak ibu ini yang banyak berdosa dengan ibu. Maafkan andy ye......

Menantu ibu juga memohon maaf kepada ibu jika ada perkara yang mengguriskan hati ibu. Maafkan kami ibu.

Hadiah hari lahir........

Doa seorang anak agar ibunya hidup bahagia dunia dan akhirat. Tiap kali solat wajib dan sunat, akan anak ibu ini hadiahkan kepada ibu, ....... dan juga ayah.

Hadiah duniawinya,...... tunggulah esok, he, he. Anak ibu yang bongsu sedang membelinya. Semalam sudah berbincang hendak beli apa. Hari ini adalah tindakannya.

Akhir kata, diulang perkataan, selamat hari lahir ibu, semoga umur ibu diberkati Allah SWT dunia dan akhirat.

Selamat Hari Lahir.


Daripada anak ibu, menantu ibu, cucu ibu Jannah dan cucu ibu Iman.

Ahad, November 08, 2009

TOK GURU PRESIDEN WAJIB PERLU KEMBALI TEGAS.

(Tok Guru Presiden Parti Islam SeMalaysia)


Adakah betul PAS sekarang mempunyai 2 kumpulan di dalam satu jemaah? Adakah terdapat komplot yang sedang bermain kencang agar kepimpinan atasan PAS yang telah menang semasa Muktamar yang lepas digantikan dengan cara yang tidak berpelembagaan? Adakah benar ada satu kumpulan didalam jemaah PAS sengaja mahu menggunakan orang akademik untuk menjatuhkan kredibiliti kepimpinan PAS?

Jika terdapat bukti yang kukuh dan jelas, maka pada pendapat peribadi hamba, Tok guru Presiden perlu kembali tegas seperti waktu dahulu didalam setiap tindakan beliau. Tok guru Presiden sekarang perlulah 'garang' terhadap anak-anaknya yang telah mula naik minyak dan berjinak-jinak dengan perangai nakal.

'Amanat Haji Hadi' perlulah kembali bersuara di dalam setiap tindakan Tok guru Presiden agar jemaah yang satu ini kembali menjadi satu.

Setelah tangan ghaib atau 'think thank' PAS dahulu berjaya telah melembutkan Tok guru Presiden terhadap tindak tanduk politiknya, maka Tok guru Presiden sekarang perlulah kembali tegas dan mantap didalam setiap arahan dan hala tuju yang ingin dibawa oleh Tok guru Presiden.

Permasalahan negeri Selangor, iaitu permasalahan berhubung dengan DAP yang terlalu anti Islam atau Islamophibia didalam bekerja sama didalam setiap tindakan EXCO PAS untuk menaik tarafkan kehidupan Islam di negeri Selangor perlulah lebih ditegaskan. Jangan terlalu banyak bermain politik dan terikut-ikut amalan 'berhemah' dengan puak yang seperti serupa seia sekata dengan BN yang nyata bencikan kehidupan Islami wujud di Malaysia.

Ramai orang sangka, masalah di Selangor adalah Hassan Ali, tetapi ramai orang Islam tidak tahu, masalah di Selangor adalah Teresa, Xavier, Ronnie dan Ellizabeth. Mesti ada bertanya-tanya, mengapa arak di kawasan majoriti Islam masih tidak dilaksanakan tindakan untuk diharamkan penjualannya? Ini semua disebabkan masalah iktikad kawan-kawan PAS yang berlandaskan kepada demokrat sosialis dan liberalisme. Tiadanya pemikiran berlandaskan agama dan Ad-Deen.

Tok guru Presiden wajib mempertahankan politik Islam yang masih lagi didokongi oleh PAS. Tok Guru Presiden sekarang ini perlu berani dan lebih bersifat progresif untuk mempertahankan politik Islam yang seperti telah dilonggarkan oleh sesetengah pimpinan PAS mengikut perspektif orang luar.

Pemikiran melonggarkan pegangan politik Islam untuk mendapatkan kuasa atau cara yang berhemah untuk PAS lebih mendapat kuasa pemerintahan adalah satu tindakan yang akan menjurus kepada kehancuran politik Islam itu sendiri mengikut pandangan dan perspektif umat Islam yang sekarang ini terdapat satu kelompok yang agak kecewa dengan cara PAS ingin menegakkan kehidupan Islam itu.

Biar apapun yang dikatakan media, biar apapun yang dikatakan oleh 'ahli akademik' kononnya, Tok guru Presiden mulai sekarang wajib berani, wajib tegas dan wajib jelas didalam tindak tanduknya agar anak-anaknya dibawah menghormati setiap tindakan daripada Tok guru Presiden.

Jangan wujud lagi terdapat masalah ahli yang lebih menghormati arahan orang luar berbanding dengan 'ayahnya' sendiri kerana beranggapan akal orang luar itu luar biasa, 'lebih daripada Presiden', tetapi lupa iktikadnya adalah berbeda dengan politik Islam.

Hamba secara peribadi telah lama hidup dengan golongan 'liberal' di dalam PAS ini. Hamba telah masak dan tahu pe'el-pe'el mereka dan cara tindak-tanduk mereka untuk memancing ahli-ahli menyokong pendapat mereka. Jangan ada lagi ketua cawangan PAS yang mencadangkan agar muslimat PAS menggugurkan tudung labuh mereka, dan memakai tudung trend baru agar masyarakat dapat menerima PAS kerana rupa mereka serupa dengan mereka yang tidak bertudung labuh. Jangan ada lagi.

Jangan ada lagi menghina dengan senyap ulama-ulama lama PAS dengan mengatakan cara pemikiran mereka telah 'out dated' dan sepatutnya mereka perlu mendengar cara mereka didalam tindak tanduk didalam politik agar menang pilihanraya. Jangan ada lagi.

Semangat kepimpinan ulama perlulah diteruskan. Tok guru Presiden perlu tegas mengingatkan kembali ahli-ahlinya maksud kepimpinan ulama ini. Kerja PAS adalah memastikan kehidupan manusia di Malaysia ini adalah tenang dan harmoni dengan berlandaskan kehidupan yang hakiki iaitu berlandas kata-kata Allah dan Rasulullah.

Tegas tok guru Presiden, Tok guru wajib perlu kembali dengan ketegasan mu.





Takbir!!!!!

Isnin, November 02, 2009

YANG SELALU KENA TUDUH, TAK PERNAH BUAT HAL PUN.

Ada satu cerita, 3 kumpulan bergabung menjadi 1 entiti iaitu kumpulan a, b dan c menjadi entiti d.

Hendak dijadikan cerita, kumpulan a ini, semenjak dua menjak ini, selalu dituduh ingin menikam belakang d. Selalu dikecam, dicemuh dilontar fitnah dan dipersepsikan orang bahawa kumpulan a ini adalah kumpulan yang akan keluar dari entiti d.

Namun realitinya, esok-esok, keluar cerita, kumpulan b tikam belakang d, kumpulan c keluar dari d.

Yang b dan c tikam belakang masuk bebas sokong e, yang satu lagi c keluar d kerana khinzir punya pasal namun masuk balik d kerana insaf kot.

Jadi, apakah moralnya cerita ini. Mengapa a ini masih lagi dituduh bukan-bukan tetapi realitinya b dan c yang banyak buat hal.

Jawapannya kerana wak-wak dogol duduk di rumah blok..... atau blog....... rasa seperti pandai, rasa macam pembela, rasa macam sayang, tapi sebenarnya wak-wak dogol ini adalah seperti beruang menampar nyamuk di muka tuannya.

Kesiannnnn..................

Ahad, November 01, 2009

ALONG HAMBA KERJA DI MEKKAH.

Abang hamba hari ini akan ke Dubai menjalankan tanggungjawab kerja barunya di sana. Kerja dia berkaitan dengan keretapi laju yang akan dibuat di antara Masjidil Haram dengan padang Arafah.



Keretapi itu nanti akan digunakan khusus untuk kerja-kerja haji.



InsyaAllah selepas musim haji nanti, abang hamba akan ke Jeddah bekerja di 'site' tanah haram. Ok le tu, boleh buat umrah tiap-tiap hari.



Cumanya abang hamba ada bertanya, jika dia memasuki tanah haram tiap-tiap hari, kerana kerja dan kerana rumahnya dan juga pejabatnya di Jeddah, maka adakah beliau perlu tiap kali kena melaksanakan tawaf selamat datang di dalam masjidil haram?



Rasa seronok melihat abang sulong hamba dapat bekerja di tanah haram. Siapa yang tidak mahu ke sana. Semua orang mahu. Tetapi, yang menariknya, abang hamba dapat ke sana, tetapi apabila ke tanah haram, abang hamba diberi gaji oleh Allah SWT.



Fuih, seronoknya. Bekerja untuk meningkatkan kemudahan orang Islam melaksanakan rukun Islam kelima. Dapat gaji di bumi dan juga akhirat. Fuih, seronok, seronok. Peluang melihat Kaabah tiap-tiap hari, siapa tak nak.



Harap kerja along yang baru ini dapat meningkatkan iman beliau menjadi seorang Islam yang bertaqwa dan soleh sehingga wafatnya beliau, insyaAllah, amin........

BUDU DAN HUDUD: SAMA SEPERTI KEHIDUPAN HAMBA.


Gambar : Mohd Aqlan, 7 tahun - pasar malam, pekan Brinchang, Cameron Highland.


Gambar : Mohd Aqlan, 7 tahun. - Kedai bunga, Cameron Highland

Jam 11 pagi ini, hamba bercadang untuk ke penjara Kajang. Bukan melawat banduan, tetapi menerima jemputan walimatulurus dari rakan sekerja. Ayah dia bekerja sebagai warden penjara, maka upacara perkahwinannya dibuat di kuaters penjara.

Selepas itu, isteri hamba ingin berjumpa adiknya yang menetap di Semenyih. Hendak memberi budu dari Terengganu.

Sebelum hamba bernikah, iaitu ketika hamba bujang, makanan yang dipanggil budu hamba tidak pernah menyentuh untuk dimakan langsung. Tidak sedap, itulah firasat hamba. Makan belum, rasa belum, bau pun belum. Hamba telah menghukum bahawa budu itu adalah tidak sedap.

Namun, setelah bernikah dengan isteri hamba yang kuat memakan budu itu, maka hamba pun mencubalah makanan ruji insan Terengganu ini. Setelah makan dengan'expectation' yang negatif, hamba sekarang ini telah menjadi seorang manusia yang boleh memakan epal dengan mencicah budu. Begitu taksubnya hamba dengan budu, ketika ini.

Begitu jugalah hamba hendak kabor disini, hamba dan budu adalah lebih kurang serupa dengan syariat Islam dengan orang Malaysia.

Syariat Islam, yang selalu disebut oleh rakyat Malaysia dengan hukuman hudud, adalah satu undang-undang hukum yang dianggap zalim walaupun mereka yang menuduh hudud itu zalim belum pernah merasa, melalui dan menikmati kehidupan didalamnya ada hukum hudud.


Salah satu hukum hudud ialah tentang larangan meminum arak dan hukumannya. Mengapa manusia yang meminum arak cukup takut dengan larangan ini? Jawapannya kerana mereka masih belum merasai kenikmatan kehidupan bebas arak.

Persepsi manusia yang hanya melihat keperluan manusia yang sudah ketagih arak, terutama ahli politik yang terlampau mencintai pengundi arak mereka, mereka hanya melihat perkara yang kearah satu matlamat iaitu menang kerusi. Asal menang kerusi, lantaklah pengundi itu hendak minum arak sehingga mengganggu kehidupan peminum arak yang pastinya akan kearah kemusnahan itu.

Lebih2 lagi, industri pembuatan arak telah melekat di Malaysia yang memberikan dana haram yang cukup besar kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Maka di sini, apakah cara penyelesaiannya?

Cara penyelesaiannya ialah marilah kita bernikah dengan Islam, kemudian mencuba menghadam hukum hudud, agar makanan hudud itu akan memasuki perut perundangan Malaysia dan menjadi darah daging negara Malaysia.

Pasti Malaysia akan mencicah buah epal dengan budu.

Manusia besar melihat hudud dengan penuh tanda tanya. Tetapi bagi manusia kecil yang bersih akal fikirannya, melihat hudud itu sambil melambai-lambai keseronokan menjemputnya datang ke dunia mereka.