Mari sama-sama kita sebut syahadah

Isnin, Disember 21, 2009

POLITIK UNTUK ORANG JAHAT SAHAJA?

Dalam buku itu ada apa ya jika mamat cermin mata itu adalah poitician?


Sabtu lepas, hamba ada berkata-kata dengan ibu hamba di rumahnya. Kata-kata yang jarang berlaku. Iaitu kata-kata hal-hal politik. Kata-kata kami anak beranak tentang politik hari itu tidak lama, hanya sekitar kurang 5 minit, tetapi amat mendalam kepada hamba.

Ianya bermula ketika hamba menonton iklan petronas. Iklan yang mempunyai lakonan 4 manusia Malaysia berkata-kata tentang minyak baru petronas. Seorang bercakap dalam bahasa Melayu, seorang Tamil, seorang Mandarin dan seorang Inggeris. Ibu hamba memang menyampah dengan iklan itu.

Setiap kali iklan itu terpampang di TV, ibu hamba akan merungut, 'Malaysia sudah takde bahasa rasmi ke?', itulah keluhan ibu hamba. Hamba bersetuju dengan ibu hamba, tetapi hamba tidak luahkan persetujuan hamba kepada ibu. Hamba buat macam endah tak endah sahaja.

Tetapi hari Sabtu itu, entah pasal-pasal, hamba sengaja hendak mengusik ibu hamba. Maklumlah, sudah lama tidak mengusik ibu. Semasa iklan itu berkumandang, ketika seorang pelakon iklan itu sedang berbahasa Tamil, hamba berkata, 'Camne ni ibu? Ok ke? Boleh le kot cakap Tamil, satu Malaysia apa...' hamba mengusik ibu.

Maka ibu pun menjawab usikan hamba, 'Heh! Apa? Bahasa Melayu sudah bukan bahasa rasmi ke?'. Hamba mengusik lagi, 'Satu Malaysia apa ibu, ok le tu...'. Ibu menjawab dengan tegas, ' Malaysia ni dah tak ikut perlembagaan ke? Ni PR pun sama, dah tak tahu bahasa kebangsaan.'

Aik? Mengapa PR pula yang kena ni? Hamba berkata dalam hati. Maka hamba pun menjawab, ' PR mana ada gitu .....' belum sempat habis ayat hamba, ibu menyampuk marah, 'Ah! Semua sama sahaja, BN ke, DAP ke, PKR ke, semua jahat! Politik semuanya jahat! Ibu taknak masuk politik-politik ni, semua jahat!'. Ibu meluahkan perasaan.

Hamba dengan tiba-tiba menjawab, ' Tapi ibu, jika politik jahat, lagi sangat perlulah kita semua masuk politik, sebab kita baik. Orang baik perlu masuk politik supaya selamat Malaysia. Mana boleh orang jahat perintah kita'.

Ibu senyap, lalu senyum.

Hamba pun senyum. Dalam hati terperanjat, kerana jika kami berdua bercerita berkenaan politik, ibulah yang akan menghabiskan dialognya. Maksudnya ibu mesti wajib hendak menang juga. Tetapi kali ini, ibu biarkan ayat-ayat hamba sebagai penghabis kata.

Maksudnya, ibu bersetuju sangat dengan apa yang hamba katakan.

Bermaksud juga, memang benarlah, orang yang baik-baik, orang masjid, orang yang selalu bersama dengan keluarga, orang yang bekerja mencari nafkah halal, perlu bersama memasuki arena politik supaya orang baik ini akan membersihkan politik yang telah dikotori oleh orang yang jahat-jahat.

Janganlah ada lagi mereka yang mengatakan, 'Saya tidak mahu masuk politik kerana politik itu penuh dengan manusia munafik.', itu tidak betul pandangan itu.

0 ulasan: