Mari sama-sama kita sebut syahadah

Rabu, September 24, 2008

TANDA BESAR KIAMAT - MATAHARI TERBIT DARI BARAT SUDAH BERLAKU?

Hari ini hamba alhamdulillah, agak kaya sedikit dengan wang ringgit. Maklumlah, baru dapat bonus 1 bulan untuk gaji tahun lepas. Lega sedikit kengkangan kewangan untuk menyambut bulan Syawal nanti.

Elok juga bonusnya diberi lewat, jika sebulan sebelum Syawal, alamatnya, belanja sakanlah hamba untuk persiapan Hari Raya. Tahun ini, semuanya sederhana. Perbelanjaan semuanya sederhana. Tetapi, dulu pun persiapan rayanya sederhana, tetapi tahun ini, lebih sederhana daripada sederhana yang dulu.

Dapat SMS dari adil, kes mahkamah Anwar telah ditangguh ke 7 Oktober. OK le tu. Bab-bab politik hamba sudah ringan sedikit untuk dibuat berfikir. Maklumlah, 10 hari terakhir bulan Ramadhan, banyak fadilatnya. Masjid di tempat hamba tinggal juga telah diadakan tazkirah selepas tarawih. Kelmarin, ustaz Badrul Amin datang. Lama benar rasanya kerinduan kami di Rasa untuk mendengar suara ustaz Badrul Amin. Akhirnya, kesampaian juga.

Hamba sebenarnya handak bercerita lain daripada yang lain untuk artikel kali ini. Hamba ini, biasalah, sebelum memasuki tajuk artikel, hamba akan selit cerita-cerita kehidupan terlebih dahulu. Hari ini hamba hendak memberi pendapat tentang Tanda-tanda Besar Kiamat.

Salah satu daripada tanda-tanda besar kiamat, selain datangnya dajjal, ada lagi satu tanda yang menarik minat hamba. Iaitu, "Matahari Terbit Dari Barat". Mengapa ianya menarik perhatian hamba? Kerana hamba rasa, matahari telah terbit dari barat cukup lama sudah. Semenjak 1960-an. Fuih,.. biar benar, tiap-tiap kali kita keluar rumah pada waktu pagi, matahari tetap terbit dari timur, ni apekehenya hamba ni?

Mungkin ada kawan-kawan terkejut dengan pendapat hamba yang sensasi ini. Namun, pada hamba, apa yang diperkata didalam hadith Rasulullah SAW tentang 'matahari terbit dari barat', bukanlah terang-terangan ianya terbit dari barat. Tetapi ianya bahasa kiasan yang lebih teliti.

Teliti? Teliti seperti apa? Ada yang mengatakan bahasa kiasan untuk matahari itu adalah ilmu. Ilmu akan terbit dari barat. Tetapi pendapat peribadi hamba tidak berapa berkenan dengan kiasan itu. Hamba berpendapat, memang matahari itu, dilihat sendiri oleh mata kepala manusia sendiri melihat matahari itu terbit dari barat.

Jika begitu, biar betul? Siapa pula yang pernah melihat matahari terbit dari barat dengan kedua belah matanya didalam alam nyata yang bukan mimpi? Siapakah gerangan manusia itu? Biar hamba hendak perjelaskan.

Jika sebuah kapal terbang sedang dipandu dari arah timur ke barat, dan matahari berada di depan pesawatnya, yakni matahari berada di sebelah barat, jika kapal terbang itu dipandu dengan kelajuan kurang dari kelajuan putaran bumi, maka pemandu kapal terbang itu akan melihat matahari tetap akan turun dari ufuknya, iaitu dari timur (atas) ke barat (bawah).

Jika kapal terbang itu dipandu pada arah yang sama, tetapi dengan kelajuan sama dengan kelajuan putaran bumi, maka apa yang akan dilihat oleh pemandu kapal terbang itu adalah matahari tidak akan turun dari ufuknya, sebaliknya, dari kacamata pemandu itu, matahari akan tidak bergerak, ianya akan statik. Tidak ke atas(timur), dan tidak ke bawah (barat).

Tetapi, jika kapal terbang itu bergerak dengan kelajuan lebih laju dari kelajuan bumi, maka pemandu kapal terbang itu akan melihat matahari itu akan bergerak dari ufuknya dari bawah (barat) ke atas (timur). Ya, pemandu kapal terbang itu akan dapat melihat matahari akan terbit dari barat ke timur!
Bolehkah pesawat kapal terbang memandu lebih laju daripada kelajuan peredaran bumi? Jawapannya, boleh!

Kelajuan bumi adalah 1674.4 km/j. Manakala, kelajuan yang diukur untuk pesawat adalah menggunakan simbol Mach. Samada Mach 1, Mach 2 atau sebagainya. Mach 1, adalah kelajuan yang lebih dari kelajuan bunyi pada suhu 21C. Manakala kelajuan bunyi adalah 1,238 km/j. Oleh itu, Mach 1 bolehlah dikatakan sama dengan kelajuan 1,238 km/j. Apa-apa kapal terbang yang boleh mengatasi Mach 1, ianya dikatakan kapal terbang supersonic.

(Kapal terbang supersonic ketika ianya hendak memasuki ke arah kelajuan supersonic)


Oleh itu, apakah kaitannya dengan tahun 1960-an? Kaitan dekad itu dengan tanda besar kiamat "matahari terbit dari barat" adalah sebuah kapalterbang yang dinamakan SR-71 'Black Bird' telah dicipta dan digunakan pada tahun 1964. Kelajuan kapalterbang itu adalah 3.1 Mach dan boleh terbang dengan konsisten dengan kelajuan 3.1 Mach itu.



(Blackbird SR-71)

Bermaksud, 3.1 Mach adalah bersamaan dengan 3.1 x 1,238 = 3,837.8 km/j. Ya, Black Bird boleh dipandu selaju 3,837.8 km/j iaitu lebih 2 kali ganda kelajuan bumi. Maka, setiap pemandu kapal terbang SR-71 'Blackbird', akan dapat melihat matahari terbit dari barat ke timur. Tanyalah sesiapa yang pernah memandu kapalterbang Balckbird, mesti komfirm pemandu kapal terbang itu akan mengatakan beliau pernah melihat kejadian yang menakjubkan itu. Sungguh menarik rasanya ya, pendapat peribadi hamda yang agak mengarut ini.

Biarlah, mengarut pun mengarutlah, tetapi itulah pendapat peribadi hamba yang rasanya macam lojik boleh masuk akal bahawa tanda besar kiamat 'matahari terbit dari barat' telah berlaku semenjak 1964.

Namun, ada lagi satu perkara yang lebih menarik, ya'jud dan ma'jud juga mungkin secara 'teorinya' telah muncul dibumi ini,....... semenjak tahun 1947.

Ahad, September 21, 2008

BUATLAH PERKARA YANG BAIK DIBULAN RAMADHAN INI.

Pada hari Khamis lepas, hamba telah menempah 2 baju Raihan untuk dijadikan sebagai baju harian hamba ketika hendak berjalan-jalan. Bukan untuk baju menyambut Hari Raya. Semenjak sudah tua ini, hamba tidak hiraukan sangat untuk membeli baju raya. Cumanya jika untuk anak dan isteri, adalah juga bernafsu untuk membelinya.

Tiket kapal terbang untuk balik raya di batu enam sudah dibeli. Naik firefly. Yang peliknya, anak hamba yang sulong dipaksarela untuk dibeli tiket orang dewasa. Ada patut ke dengan tidak semena-mena, kami tidak dibenarkan untuk membawa 2 'infant' ke dalam kapal terbang. Alasannya kapal terbang penuh. Kalau ye pun nak duit orang, cakap je lah yang 'kami hendakkan anak kamu yang lagi 2 bulan untuk berumur 2 tahun memasuki kapal terbang dengan bayaran orang dewasa, bukan infant'. Kan ke senang cerita.

Zakat fitrah masih belum lagi dibayar. Cadang jumaat depan hendak membayarnya. Zakat pendapatan pun belum lagi dibayar. Tahun ini, zakat hamba akan dibayar kepada JAIS gamaknya. Selama ini, terus 'direct' kepada jemaah.

Hamba sebenarnya sudah bosan untuk berblog semenjak akhir-akhir ini. Bukan kerana bosan hendak menulis, tetapi bosan melihat blogger-blogger yang buat artikel 'anggap-menganggap' semenjak akhir-akhir ini. Ada yang menuduh PAS sekongkol dengan ISA, ada yang menunjuk-nunjuk pandai tentang sejarah-sejarah PAS, ada yang melabel-label jemaah PAS kepada beberapa proksi dan ada yang terbawa-bawa untuk sesama dengan blogger yang 'anggap-menganggap' ini di dalam blog masing-masing untuk menghentam jemaah PAS.

Elok sangatlah itu, pada bulan puasa, memberi pahala percuma kepada pemimpin-pemimpin PAS kerana 'anggap-menganggap' yang mereka lakukan sehingga lupa pada bulan ini adalah bulan pintu syurga dibuka, dan pintu neraka ditutup. Mungkin hendak 'menunjuk-nunjuk' pandai agaknya. Biarlah.

(Haa,... inilah akibatnya memakan buah oren yang masam. Oleh itu, kepada yang dewasa, jangan berkata-kata perkara yang 'masam' ye,.....)


Perkara yang paling sedih, diulangi, PALING sedih, ada juga blogger yang beranggapan perjuangan menegakkan negara Islam adalah satu perkara utama liabiliti kepada jemaah PAS. Maksud dia mungkin hendak kembalikan perjuangan PAS kepada zaman 60an-70-an dahulu yang lebih kepada ultra nasionalis Islam? Mungkin gamaknya.

Entahlah, ada lagi seorang blogger, yang sehingga sanggup buat fitnah 'melampau' kepada jemaah PAS. Dulu blogger ini buat perkara 'jahat' pada blogger Nora. Maka disebabkan itu, maka tidak perlulah hamba hendak 'olah' panjang-panjang 'pendapat' melampau beliau. Biarlah dia dengan ego-egonya yang tidak-tidak padam itu.

Pada bulan Ramdhan ini, hamba cukup tertarik dengan Roslan SMS. Memang akhlak Islami beliau amat kukuh dengan artikel-artikel yang tenang dan matang, sematang orangnya. Hamba juga merindui blogger MSO tinta merah, yang sedang menjalani ibadat umrah. Banyak cerita-cerita politik dari beliau yang amat menarik untuk difikir-fikirkan, walau kadang-kadang, ada juga artikel yang dibuatnya, hamba sendiri, secara peribadi tidak bersetuju.

Namun, sempena kita semua hendak menyambut hari Raya Aidilfitri ini, hamba hendak memohon maaf kepada semua pelayar-pelayar internet, jika hamba ada membuat salah dan silap. Termasuk jugalah kepada mereka-mereka yang suka 'anggap-menganggap' itu. Maafkanlah hamba. Jika ada yang tidak berpuas hati dengan hamba selama mana hamba hidup, hamba juga ingin memohon maaf akibat perbuatan hamba yang tidak molek itu.

Salam Aidilfitri semua, semoga ibadah di bulan Ramadhan ini diterima Allah SWT. Takbir!

Selasa, September 16, 2008

Yahoo! Menang!

(Lambang perjuangan menegakkan Islam)

Menunggu cerita tukar-tukar kerajaan. Samada Paklah yang menang atau Anwar yang menang. Tengok-tengok, Ustaz Hashim yang menang. Yahooooooo,......

Sumber:

Calon PAS diisytihar menang di Sanglang.

Hendak diberitahu juga, DUN Manir, Ustaz Harun Taib menang petisyen pilihanraya terhadapnya. Ustaz Harun kekal menang di DUN Manir. Takbir!!

Nampak gaya, 16 Ramdhan ini, Allah telah memenangkan 2 ulama untuk memimpin di kawasan DUN masing-masing. Allahuakbar!

MERCUN; TERINGAT SEMASA DAHULU.

Hamba tadi baru masuk kerja, jam 7.30 pg. Masuk kerja sebenarnya jam 8.00 pg sempena Ramadhan. Balik 4.30 ptg. Semasa hendak 'punch', datang kawan hamba. "Assalammualaikum!", kata hamba. "Wa'alaikummussalam.", jawabnya ringkas. "Nak beli mercun?", tanya kawan hamba pada hamba sepontan.

Waduh! Dalam hati hamba menjawab. Bahaya tu. Barangan terlarang. Maka hamba pun menjawab, "Bunga api ada?".

Itulah dia sketsa pagi tadi didepan pintu pegawai keselamatan tempat kerja hamba dimana terletaknya mesin 'punch' untuk masuk kerja. Tidak lama lagi, kawan hamba hendak membawa contoh gambar bunga api dan mercun pada hamba. Iklan.

Semasa termenung didepan komputer pejabat, sebelum hamba berblog (waktu bertugas belum masuk lagi ye), teringat hamba semasa hamba sedang belajar di ITM dahulu. Waktu diploma. Hamba juga adalah tokey jual mercun di kolej Perindu 1. Kaya yang amat waktu itu, maklumlah, waktu itu mercun adalah barangan terlarang oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu, harga mercun boleh dijual 3 kali ganda harga borong. Fuih! kaya hamba ketika itu.

Namun, kerja menjual mercun ini penuh dengan bahaya. Memang bahaya. Bukan mudah hendak mencari pengedar mercun, ada cara-caranya. Hendak tahu dimana hamba dapat supply? Hendak tahu bagaimana cara untuk mendapat barang mercun untuk dijual. Mari sini hamba hendak kabo.

Pengedar mercun yang hamba kenal ketika itu berada di Petaling Street. Kedai warna hijau muda, dan kedainya menjual lampu-lampu cina yang dibuat dari kertas minyak. Jika hendak beli mercun, maka kita perlu masuk ke dalam sedikit kedai itu. 'Mercun ada jual?', tanya hamba pada pekedai Tiong Hua lelaki, 'tade, tade, mana ada jual. Sini tade jual.', jawabnya tegas. 'Alaa tokey, saya sudah selalu beli itu barang sini kedai la,...', jawab saya. 'Haiya, lu pegi belakang.' jawabnya selamba.

Maka hamba akan pergi ke belakang kedainya dan berjumpa dengan tokey kedai berbangsa Tion Hua perempuan. 'mau beli apa? pilih-pilih. mana satu you mau beli.' tanya tokey itu kepada hamba sambil menghulurkan hamba album kecil yang penuh dengan gambar-gambar mercun.

Maka hamba pun tunjuklah gambar-gambar mercun yang berkenan di hati. Tokey itu menulis di dalam kertas dan menulis juga jumlah dan harganya.

'Okey, lu pergi belakang sana, tunggu van mahu datang.'. La, belakang lagi, berapa banyak belakang da ini kedai. Hamba pun pergi ke belakang kedai untuk menunggu van yang disebut. Semasa di belakang, sudah ada 2 orang juga menunggu van yang disebut.

Lebih kurang 5 minit, van datang. 'Okey, masuk ini van. cepat-cepat', beritahu tokey kedai itu kepada kami. Maka kami pun masuklah van itu dan van itu pun berjalanlah sehingga menuju ke Cheras. Jauh juga tu.

Sampai sahaja di Cheras, di kawasan yang sunyi dan entah dimana-mana tah lah, kami disuruh turun. 'Lu olang tulun dulu ya, nanti wa datang balik.' beritahu pemandu van itu. Kami pun turunlah dari van dan menunggu macam orang PATI kena tangkap di situ. Lebih kurang 10 minit, van itu kembali. 'okey! ini balang sekian-sekian-sekian mercun, sapa punya?' tanya pemandu tadi. ' Saya punya!' jawab hamba. 'RM350', pemandu itu beritahu hamba.

Maka terjadilah urusan jual beli ketika itu. Kemudian, kami kembali menaiki van dengan barangan belian tadi dan kembali ke belakang kedai itu dan kami pun pulang ke kenderaan masing-masing ikut lorong belakang kedai. Terhegeh-hegehlah hamba ketika itu membawa plastik besar dan berat berisi barangan larangan mercun melalui jalan di Petaling street. Janganlah kena cekup dengan polis, hati hamba berbisik. Haru,... haru,....

(Ini bukan thunder clap, ini mercun moon traveler je,... tak power, he, he,....)

Haa,.... itulah ceritanya bagaimana hamba dapat supply mercun ketika itu. Mercun yang hamba beli dengan borong RM350, hamba senang-senang boleh jual sehingga RM 1000-rm 1200. Lumayan wei. Hamba ingat lagi, mercun 'thunder clap', ketika itu cukup terkenal, hamba boleh jual sebatang dengan harga RM2.00, dan harga belian hamba hanya sebatang 40-50 sen ikut kuantiti. Dan lebih mengejutkan, duit jualan mercun itu boleh lesap dengan senangnya sehingga hamba pun tidak tahu dimana hamba belanjakan duit itu.

Itulah ceritanya, mungkin duit itu duit tidak berkat agaknya. Betul. Sekejap sahaja duit itu habis. Entah ke mana-mana perginya duit itu lesap begitu sahaja. Hamba tidak perasan apa yang hamba belanja dengan duit 'mercun' itu. Namun, 2 Ramadhan berturut-turut, hamba menjadi tokey mercun. Semasa mengambil Ijazah Sarjana Muda, kawan-kawan hamba sungguh tidak berpuas hati kerana hamba sudah tidak menjual mercun. Mana boleh kawan-kawan. Tugas merbahaya wei,.....

Oleh itu, moral of the storey, janganlah jadi penjual mercun, kerana itu kerja yang salah disisi undang-undang negara dan,..... nak beli bunga api takpe kot?.... :)

Ahad, September 14, 2008

UMNO DAN PKR LAH KENA IKUT PAS.

Sekarang ada kumpulan blogger yang menunjuk-nunjuk 'pandai'. Keliru sebenarnya mereka ini. Mungkin hamba pun termasuk di dalam kategori blogger tunjuk 'pandai' ini. Dan mungkin juga hamba keliru.

Apa-apa pun, pedulikan apa jika PAS ada yang pro UMNO dan pro Anwar. Asalkan Islam menang. Apa, elok sangat ke UMNO dan PKR itu? Hamba lihat, lebih kurang tak sama je. Dua-duanya sama dan tak sama. Tidak sama, rekod adil terhadap rakyat, PKR tiada sejarah lagi, UMNO sudah ada, dan ianya gagal! Yang sama, kedua-duanya mengamal politik neo sekular. Itu memang sama.

Jadi pada pendapat peribadi hamba, peduli apa PAS ada proUMNO dan proAnwar. Dua-duanya tidak berapa betul. Yang sepatutnya, PAS adalah yang PAS dan hanya PAS. UMNO dan Anwarlah yang perlu ikut PAS, kerana PAS ikut Islam. Betul tak? :)

KARUT LE.


(Lapah! jangan tak lapah! inilah dia, jika hendak dilihat, lembu itu adalah senario politik Malaysia sekarang. Haru biru.)




Perkara yang mengarut telah berlaku sekarang ini di bumi Malaysia. Tangkapan tanpa bicara masih lagi berlaku dibumi Malaysia. Manusia yang berkata mengarut dan manusia yang melakukan perkara mengarut telah ditahan didalam undang-undang mengarut. Jika benarlah manusia-manusia ini mengarut, dan sebenarnya mereka ini memang mengarut, perlu ditangkap didalam akta yang juga mengarut, mengapa tidak ditahan di lokap, kemudian didakwa ke mahkamah, kemudian dibicarakan dan jika bersalah, hukumlah mereka seadanya.

Allah SWT, Beliau jika hendak memasukkan seorang kafir masuk ke neraka, Allah tetap akan membicarakan si kafir itu di padang masyar, walaupun seluruh makhluk seantaro dunia mengetahui sikafir itu adalah kafir dan layak masuk ke neraka. Namun Allah tetap membicarakannya. Inikan pula manusia kerdil pemerintah Malaysia, hendak buat perkara karut terhadap rakyatnya sendiri.

Manusia berkata sesat ditangkap oleh manusia yang mengamalkan ajaran sesat. Manusia benci jawi ditangkap oleh manusia yang menghapuskan jawi. Kan ke pelik lagi mengarut punya cerita. Pening-pening. Tahap kepeningan hamba sehingga ke tahap ini sahaja pendeknya artikel hamba untuk tajuk ini. Hamba pening,......

Khamis, September 11, 2008

BANYAK MENGARUT PUNYA CERITA.

(Pantai mengelibang talipot - Gambar tiada ada kena mengena dengan tajuk artikel)


Baru lepas solat tarawikh. Balik dari masjid, pergi dapur, cari makanan. Lapar pula rasanya. Isteri sudah tidur bersama anak-anak. Kesian melihatnya. Cukup letih isteri hamba menguruskan 2 anak kami yang masih kecil. 'Infant', itulah ayat untuk anak-anak hamba jika mahu beli tiket kapal terbang. Ligat, cukup-cukup ligat anak hamba yang sulong. Anak nombor dua, selalu kena buli dengan kakaknya, kesian.

Di dapur jumpa ayam percik dan roti jala. Fuih! Sedap ni. Hamba bawa depan TV. Makan sambil menonton. 'On' TV, keluar cerita hantu, bilik no 13. Cis! ngarut punya cerita. Tukar siaran ke TV3. Keluar cerita tahyul kekasihku seru. Cis! ngarut punya cerita. Tukar lagi siaran ke 8tv. Keluar cerita GODA. Cis! lagi ngarut punya cerita. Apa ni, semua cerita cap ayam ni?

Apalagi, hamba buka notebook, layar internet. Baca blog, baca laman web, semua puji Anwar. Baca lagi, banyak kutuk Mustaffa Ali. Baca lagi, banyak mengumpat ustaz Nasaruddin. Baca lagi, ada juga yang hina dina Tuan Guru Hadi Awang. Yang ini hamba tidak boleh tahan.

Terus terang hamba kata, tidak peduli apa yang lain hendak komen, kawan-kawan dunia siber kutuk-kutuk dan hina dina Tok Guru Hadi Awang, hamba tidak boleh toleransi. Serupa mamat-mamat taksub Anwar. Jika ada mereka-mereka yang kutuk Anwar mesti melenting punya. Hamba pun samalah. Ada sesiapa menghina Tok Guru Hadi Awang, mestilah hamba melenting.

Kurang ajar namanya tu. Ya, semenjak-menjak 'menang', rakyat yang mendokong keadilan, sudah lupa diri untuk mendokong keadilan itu. Apakah 'keadilan' mamat-minah lupa diri ini hendak kutuk-kutuk Tok Guru tanpa ada adab tatasusila kepada orang tua dan ulama. Hoi! korang kutuk ulama tu! Pewaris Nabi!

Takkan hamba hendak mamat-minah lupa diri ini hendak bandingkan zuhud dan taqwa Anwar dengan Tok Guru kot? Ngarut la semua ni. Perangai-perangai mamat-minah tak sedar diri ini membuat hamba teringat balik perkara yang tidak sepatutnya hamba ingat. Anwar dulu pun dalam UMNO juga. Anwar dulu kutuk tok guru Nik Aziz juga. Peristiwa Memali dulu berlaku, semasa Anwar dalam UMNO. Masa kebangkitan Islam awal 80-an dulu, siapa yang tikam belakang jemaah Islam, Anwar juga.

Tapi itu cerita lama, Anwar sudah sedar. Beliau difitnah sebegitu rupa. Syaitan betul puak UMNO. Ketua no.2 mereka pun boleh tergamak buat gitu? Anwar kena seksa, kena penjara di dalam mahkamah penipu. Terseksa Anwar. Bukan dia sahaja terseksa, anak-anak dia pun terseksa juga. Harap ini adalah satu peristiwa jalan kehidupan saudara Anwar kembali kepada perjuangan Islam.

Tapi yang masalahnya sekarang. Ramai sangat mamat-minah yang sudah melalut-lalut taksub tidak tentu pasal dengan seorang manusia. Bukan taksub dengan perjuangan yang diperjuangkan oleh PKR, tetapi pada Anwar. Ini pada hamba, masalah besar. Ini serupa masalah manusia taksub pada Mahathir dahulu. Wahai manusia, jangan taksub pada manusia, taksub hanya pada Islam sahaja. Perjuangkan Islam. Islam ini adalah kehidupan. Ad-Deen. Siasah itu wajib ada.

Jangan jadi ayam. Apa nampak bedal sahaja. Apa ada atas tanah, bedal sahaja. Lupa diri semasa hendak makan. Sudah makan, berkokok bising-bising. Ganggu ayam-ayam lain. Ayam lain pun hendakkan ketenteraman juga. Janganlah menjadikan diri-diri anda menjadi manusia cap ayam.

Fuih! Dasyat ni, bulan puasa pun hamba hendak bising-bising. Apasal mahu bising-bising, mestilah mahu bising, mereka-mereka yang menyokong PR dah lupa diri. Ini belum perintah lagi, sudah jadi gini penyokongnya, macam serupa seia sekata dengan UMNO. Tiada sifat-sifat Islam langsung. Ya, hamba kata TIADA sifat-sifat Islam langsung. Cubalah bawa hormat dengan manusia yang lain. Ini tidak, dengan ulama pun kurang ajar. Serupa perangai UMNO. Cis!

Cukuplah, banyak sangat hendak dimarahkan lagi ini sebenarnya. Hamba pun baru terperasan, memang hari ini, media nyata dan maya, dimana-mana hamba lihat, semuanya cerita karut marut belaka. Tidur lagi baik.......

Rabu, September 10, 2008

JIKA BETUL PR PERINTAH, PAS WAJIB MINTA 5 KEMENTERIAN INI.

Tarikh 16 september ada seminggu lagi. Jika terjadilah pertukaran kerajaan dari BN kepada PR, maka hamba ingin memberi pendapat kepada PAS agar wajib meminta 5 kementerian ini.

1) Kementerian Pertahanan.
2) Kementerian Pendidikan.
3) Kementerian Penerangan.
4) Kementerian Dalam Negeri (Hal Ehwal Islam).
5) Kementerian Dalam Negeri (Hal Ehwal Keselamatan Dalam Negeri).

Cukup 5, tidak perlu banyak-banyak. Mungkin ahli parlimen untuk menjawat jawatan ini adalah seperti berikut.

1) Kementerian Pertahanan - YB Dato Seri Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
2) Kementerian Pendidikan - YB Salahuddin Ayub
3) Kementerian Penerangan - YB Mahfuz Omar
4) Kementerian Dalam Negeri (Hal Ehwal Islam) - YB Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib
5) Kementerian Dalam Negeri (Hal Ehwal Keselamatan Dalam Negeri) - YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Pada mereka yang lain, menjadi Timbalan menteri pun sudah memadai. Apa yang penting, 5 kementerian ini PAS perlu bersungguh-sungguh mendesak untuk diperolehi kepada wakil jemaah PAS.

Walaubagaimanapun, ini hanyalah sekadar pandangan peribadi hamba.

Isnin, September 08, 2008

KESIAN RPK, DAH LAH TIDAK BIJAK, SOMBONG PULA ITU.

Kesian. Itulah ungkapan yang hamba dapat katakan kepada Raja Petra Kamarudin tentang isu bertudung di dalam artikelnya bertajuk 'the great tudung debate' dan 'the great tudung debate 2". Sungguh sedih dan pilu melihat tulisan beliau yang penuh kejahilan lagi menunjukkan tidak bijaknya RPK apabila beliau membuka mulut atau menulis berkenaan dengan Islam.

Pengharapan hamba terhadap beliau ialah beliau bertaubat dan mengikis sikap ego beliau bahawa beliau tahu segala-galanya. Mungkin didalam ilmu politik beliau memang pakar, namun jika berkenaan agama yang dianutinya, beliau amat menyesatkan.

Mengapa menyesatkan? Untuk mencari jawapan yang mudah, hamba hendak bercerita contoh yang mungkin boleh dikaitkan dengan perlakuan RPK terhadap hukum agama. Contoh yang boleh menjelaskan situasi yang celaru ini mungkin akan mudah untuk difahamkan kepada mereka yang tidak faham dan buat-buat tidak faham.

Contohnya adalah seperti di bawah ini;

Seorang manusia yang di dalam profesyen pekerjaannya adalah arkitek telah menulis didalam blog peribadinya tentang proses membuat produk dari Manganese Steel;

"Untuk menjalankan proses pembuatan Manganese Steel, takat peleburan yang perlu ada pada relau adalah pada kadaran 780C dan peratusan manganese mestilah pada kadaran 1.2%. Peleburan boleh dilakukan di dalam masa 10 sehingga 20 minit dengan menggunakan sumber gas asli. Acuan yang boleh digunakan untuk proses pembentukan produk Manganese Steel adalah acuan pasir silika green sand. Coating pada permukaan acuan mestilah digunakan coating berasaskan zircon, ataupun zircon 'base'.

Hamba memberhentikan contoh ini setakat itu.

Hamba hendakkan kepastian, jika seseorang membaca 'ayat' di atas, adakah sesiapa yang membaca artikel ini akan bersetuju atau tidak bersetuju tentang apakah yang ditulis oleh arkitek di dalam blognya. Semesti jawapannya adalah mereka tidak tahu kerana berapa sangat kerat manusiakah yang menceburi dan mempunyai ilmu di dalam bidang kejuruteraan faundri di dunia Malaysia ini.

Mungkin pembaca sekelian pun tidak tahu, apakah bidang faundri itu. Perkataan 'faundri' pun mungkin tidak pernah didengar, inikan hendak mengetahui tentang ilmu-ilmu di dalam bidang yang amat jarang sekali masyarakat umum mengetahuinya, malah di dalam profesyen jurutera, tidak ramai yang yang menceburi bidang pengkhususan ini.

Jika si arkitek itu mempertahankan hujahnya tentang tatacara pembuatan manganese steel yang ditulis di dalam blognya, dan beliau mempunyai ramai peminat blognya kerana kepakarannya di dalam mentafsir politik sesebuah masyarakat, maka akan banyaklah gerombolan manusia yang tidak tahu menahu tentang kejuruteraan faundri akan mengkomen di dalam blog itu dengan berbagai-bagai komen persetujuan kepada artikel beliau dengan berbagai-bagai tafsiran yang menunjuk-nunjuk kepandaian yang sebenarnya jahil.

Maka apakah jawapannya kepada ayat di atas?

Jawapannya adalah hanya ahli di dalam bidang faundri sahaja yang mengetahui jawapannya. Dan jika ahli faundri membaca ayat di atas, maka sudah pasti jawapan yang akan terkeluar di dalam mulut ahli di bidang faundri itu adalah "rubbish!", "who is this stupid monkey making a stupid statement in his stupid blog?" dan "kah! kah! kah! Ada juga badut cap ayam yang berangan-angan pandai hendak mengajar orang, tapi bodoh dooh lallu".

Ya, itulah jawapan keras yang akan dilemparkan kepada si arkitek yang menganggap dirinya pandai itu. Mengapa jawapannya sekeras itu, ini kerana statement yang dikeluarkan pada ayat di atas memang statement yang amat tidak bijak, sesat, jahil, dungu dan lain-lain seangkatan dengan bodoh sombong.

Maka apabila si arkitek itu menerima kritikan yang amat pedas lagi 'menyakitkan hati' dari ahli di bidang itu, maka si arkitek itu membuat artikel jawapan kepada statement tidak bijaknya itu merujuk kepada pakar bidang kejuruteraan awam. Ya, menjawab persoalan tentang bidang kejuruteraan faundri, beliau merujuk pakar di dalam kejuruteraan bidang buat bangunan yang tidak tahu menahu tentang ilmu di dalam bidang faundri.

Kan ke bodoh sombong namanya itu. Kesiannya.......

Jumaat, September 05, 2008

ADA AHLI PARLIMEN SARAWAK YANG MUALAF.

(Anda kenal siapa dia ini?)


Perasan tidak perasan, sementara mereka-mereka yang di dalam kerjaya politik sedang sibuk dengan ahli parlimen Sabah dan Sarawak, hamba baru terperasan bahawa di dalam Parlimen Sarawak, ada seorang bekas Menteri Kabinet yang mempunyai rahsia cerita yang penuh indah lagi menarik.

Beliau sudah bergelar Datuk Seri dan mempunyai gelaran Doktor. Dahulunya Menteri Pelancongan dan sekarang adalah YB Parlimen di negeri Sarawak. Dahulunya beragama Kristian Khatolik dan sekarang sudah kembali kepada agama Islam. Datuk Seri Dr. Mohammad Leo Toyad Abdullah, kenalkah anda semua ahli politik ini. Hamba pasti, ramai yang mengenalinya.

Walaupun YB Leo menganggap ianya sebagai peribadi, namun untuk dakwah Islam, maka berita berkenaan Yb Mohammad Leo memasuki Islam adalah satu perkara yang perlu digembar-gemburkan. Rakyat Malaysia perlu tahu, pemimpin besar Sarawak dari keturunan Melanau ini telah memeluk agama Islam sebagai pegangan hidupnya.

Pihak Jabatan agama perlu menolong saudara baru kita ini agar Islam yang dianutinya dipegang teguh dengan ilmu, iman dan taqwa. NGO-NGO Islam yang berada di Sarawak juga perlulah mendekati YB Mohammad Leo agar ilmu dan keperibadian YB Leo ini dapat digunakan untuk dakwah Islam di Sarawak. Bukan setakat NGO Islam perlu mendekati YB Mohammad Leo, malah jemaah PAS juga, yang wadahnya adalah untuk perjuangan Islam perlu mendekati YB Mohammad Leo agar Islam di Sarawak dapat dikembang dengan pesat melalui kekuasaan politik.

Diharap, Perhubungan PAS Negeri Sarawak sudah bermuzakarah dengan YB Mohammad Leo agar beliau juga akan akan bersama-sama dengan PR untuk melihat perubahan pucuk pimpinan daripada yang baik kepada yang lebih baik, mengikut lunas-lunas Islam. Diharap juga sinar cahaya Islam di Sarawak akan bergemerlapan dengan permulaan seorang pemimpin berwibawa YB Mohammad Leo menerima Islam sebagai jalan hidupnya.

Rabu, September 03, 2008

SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU

(Harap Ramadhan ini akan menghapuskan dosa-dosa kita, dan apabila Syawal menjelma, amalan kita adalah bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.)


Ramai sungguh manusia berada di Hospital Selayang Isnin lalu. Berbagai-bagai ragam manusia dapat dilihat di wad kecemasan. Kelmarin, yaitu Isnin lepas, hamba dan isteri telah membawa anak hamba yang bernombor dua ke hospital selayang.

Alhamdulillah, setelah darah anak hamba diperiksa oleh pihak hospital, didapati tiada apa-apa penyakit yang memudaratkan di dalam tubuh anak hamba. Hamba bersyukur yang amat sangat kepada Allah SWT. Apabila kembali dari hospital, alhamdulillah, demam anak hamba hilang.

Hamba sebenarnya bukan hanya kesihan kepada anak hamba yang demam itu, tetapi hamba juga kesihan melihat isteri hamba yang tidak tidur malam 4 malam berturut-turut kerana menjaga anak yang demam kerana hanya mahu tidur di atas riba umminya. Kesihan melihat isteri hamba. Betullah apa yang dikatakan, 'syurga anak adalah dibawah tapak kaki ibu'. Memang tepat sekali frasa kata itu. Seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya.

Melihat peristiwa yang agak besar juga di dalam diari kehidupan hamba, membuatkan hamba bertambah kagum dengan sifat-sifat kaum hawa, atau lebih tepat, sifat-sifat keibuan kaum hawa. Sifat keibuan inilah yang tiada di dalam hati nurani lelaki. Kerana itulah, Rasulullah telah menyebut, bahawa anak-anak wajib menghormati ibunya 4 kali ganda lebih daripada menghormati ayahnya. Hamba akan mengajar anak-anak hamba supaya menghormati lebih ummi mereka daripada hamba sendiri. InsyaAllah.

Hamba juga berasa bersyukur kepada Allah, kerana dengan pengalaman ini, membuatkan hamba bertambah rasa hormat dan sayang kepada ibu hamba yang alhamdulillah, masih hidup sihat walafiat sehingga ke hari ini.

Hamba telah berjanji pada diri sendiri, setiap Sabtu dan Ahad, jika tiada hal yang amat penting, hamba sekeluarga akan balik menziarahi ibu dan ayah hamba. Selagi nyawa ibu dan ayah hamba masih ada, hamba akan balik berjumpa dengan mereka selagi ada cuti. Isteri hamba juga amat memahami pendirian hamba. Beliau tidak pernah merungut untuk 'balik kampung' tiap-tiap hujung minggu.

Disebabkan itu, jika cuti sekolah, hamba sekeluarga akan balik ke Terengganu, kampung isteri hamba, walau bagaimana sulit sekalipun. Biar habis RM700-RM800, asalkan isteri hamba dapat melihat wajah ayahnya di batu enam selagi ayah masih hidup. Walaupun penat merantau perjalanan dari Hulu Selangor ke Batu Enam, namun dapat melihat isteri hamba bersama tok tua hamba membuat hati hamba berasa puas dan aman sekali.

"Jangan balik kampung hanya bila pak mentua sakit, jangan juga tangguh-tangguh balik kampung di Terengganu, takut nanti tak sempat bertemu.". Nasihat ibu hamba kepada hamba semasa awal-awal perkahwinan hamba dahulu. Hamba masih ingat lagi. Lebih kurang begitulah maksudnya.

Hamba juga tidak akan lupa melihat wajah tok tua hamba melihat hamba dengan penuh pengharapan agar seperti mengatakan kepada hamba, 'jagalah anak saya sebaik-baiknya'. Ketika itu, tok tua hamba hendak kembali ke Terengganu setelah habis kenduri kahwin belah K.L (belah hamba le). Hamba tiba-tiba terasa seperti satu beban 10 ton menimpa hamba melihat wajah tok tua hamba yang penuh makna tanpa kata-kata. Allahuakbar, besar sungguh tanggung jawab sebagai suami.

Diharap, bulan Ramadhan ini akan menguatkan lagi iman hamba dan taqwa hamba kepada Allah SWT. Selamat berpuasa semua.

Isnin, September 01, 2008

ANAK HAMBA DEMAM PANAS. 4 HARI DAH.


Anak hamba yang nombor dua demam panas. Kesian dia. Baru 9 bulan, sudah dapat demam panas ke tahap 40.2 C. Hamba sedang risau akan kesihatan anak hamba ini. Diharap, sesiapa yang ter'blog' ke blog hamba ini, tolonglah doakan kesihatan terhadap anak hamba nombor dua ini, Nurul Iman.


Setakat ini, hamba tidak ada masa sangat hendak ber'blog', walaupun dalam kepala hamba, banyak isu hendak dikongsikan bersama. Doa-doakan kesejahteraan anak hamba.