SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU

(Harap Ramadhan ini akan menghapuskan dosa-dosa kita, dan apabila Syawal menjelma, amalan kita adalah bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.)


Ramai sungguh manusia berada di Hospital Selayang Isnin lalu. Berbagai-bagai ragam manusia dapat dilihat di wad kecemasan. Kelmarin, yaitu Isnin lepas, hamba dan isteri telah membawa anak hamba yang bernombor dua ke hospital selayang.

Alhamdulillah, setelah darah anak hamba diperiksa oleh pihak hospital, didapati tiada apa-apa penyakit yang memudaratkan di dalam tubuh anak hamba. Hamba bersyukur yang amat sangat kepada Allah SWT. Apabila kembali dari hospital, alhamdulillah, demam anak hamba hilang.

Hamba sebenarnya bukan hanya kesihan kepada anak hamba yang demam itu, tetapi hamba juga kesihan melihat isteri hamba yang tidak tidur malam 4 malam berturut-turut kerana menjaga anak yang demam kerana hanya mahu tidur di atas riba umminya. Kesihan melihat isteri hamba. Betullah apa yang dikatakan, 'syurga anak adalah dibawah tapak kaki ibu'. Memang tepat sekali frasa kata itu. Seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya.

Melihat peristiwa yang agak besar juga di dalam diari kehidupan hamba, membuatkan hamba bertambah kagum dengan sifat-sifat kaum hawa, atau lebih tepat, sifat-sifat keibuan kaum hawa. Sifat keibuan inilah yang tiada di dalam hati nurani lelaki. Kerana itulah, Rasulullah telah menyebut, bahawa anak-anak wajib menghormati ibunya 4 kali ganda lebih daripada menghormati ayahnya. Hamba akan mengajar anak-anak hamba supaya menghormati lebih ummi mereka daripada hamba sendiri. InsyaAllah.

Hamba juga berasa bersyukur kepada Allah, kerana dengan pengalaman ini, membuatkan hamba bertambah rasa hormat dan sayang kepada ibu hamba yang alhamdulillah, masih hidup sihat walafiat sehingga ke hari ini.

Hamba telah berjanji pada diri sendiri, setiap Sabtu dan Ahad, jika tiada hal yang amat penting, hamba sekeluarga akan balik menziarahi ibu dan ayah hamba. Selagi nyawa ibu dan ayah hamba masih ada, hamba akan balik berjumpa dengan mereka selagi ada cuti. Isteri hamba juga amat memahami pendirian hamba. Beliau tidak pernah merungut untuk 'balik kampung' tiap-tiap hujung minggu.

Disebabkan itu, jika cuti sekolah, hamba sekeluarga akan balik ke Terengganu, kampung isteri hamba, walau bagaimana sulit sekalipun. Biar habis RM700-RM800, asalkan isteri hamba dapat melihat wajah ayahnya di batu enam selagi ayah masih hidup. Walaupun penat merantau perjalanan dari Hulu Selangor ke Batu Enam, namun dapat melihat isteri hamba bersama tok tua hamba membuat hati hamba berasa puas dan aman sekali.

"Jangan balik kampung hanya bila pak mentua sakit, jangan juga tangguh-tangguh balik kampung di Terengganu, takut nanti tak sempat bertemu.". Nasihat ibu hamba kepada hamba semasa awal-awal perkahwinan hamba dahulu. Hamba masih ingat lagi. Lebih kurang begitulah maksudnya.

Hamba juga tidak akan lupa melihat wajah tok tua hamba melihat hamba dengan penuh pengharapan agar seperti mengatakan kepada hamba, 'jagalah anak saya sebaik-baiknya'. Ketika itu, tok tua hamba hendak kembali ke Terengganu setelah habis kenduri kahwin belah K.L (belah hamba le). Hamba tiba-tiba terasa seperti satu beban 10 ton menimpa hamba melihat wajah tok tua hamba yang penuh makna tanpa kata-kata. Allahuakbar, besar sungguh tanggung jawab sebagai suami.

Diharap, bulan Ramadhan ini akan menguatkan lagi iman hamba dan taqwa hamba kepada Allah SWT. Selamat berpuasa semua.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?