ANWAR HENDAK BERMUQABALAH?

Lepas solat Jumaat, hamba membuka KLpos, akhbar internet yang mengaku suara kepada umat melayu. Sebuah tajuk "Anwar tidak berganjak untuk bela Melayu" membuat hamba terfikir tujuh lapan kali apabila membacanya. Salah satu perenggan ada disebut di dalam tajuk itu berbunyi seperti di bawah;

"Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah bermusuh atau membenci Umno tetapi akan sentiasa mahu mendekati Umno dengan mengajak para pemimpinnya berma'aruf untuk permuafakatan bangsa Melayu."

Sekali baca seperti Anwar mahu bermuqabalah dengan UMNO. Dua kali baca pula seperti Anwar mahu bermuzakarah dengan UMNO. Tiga kali baca seperti Anwar bersetuju untuk berbincang-bincang dengan UMNO untuk kebaikan orang Melayu. Jika dibaca berulang-ulang kali pula seperti Anwar pun bersetuju kepada sebahagian rakan PAS beliau yang ada sudah 3 kali ber'muzakarah' dengan kepimpinan UMNO untuk kebaikan Islam dan Melayu.

Menarik juga apa yang beliau ucapkan kepada orang ramai semasa ceramah perdana PKR bertajuk "Pembongkaran Konspirasi: Menjawab Tuduhan". Betullah apa yang beliau ungkapkan, kekuatan Melayu adalah bersatu padu.

Tetapi, mengapa mesti kita sebut Melayu, mengapa tidak disebut perjuangan Islam. Alangkah eloknya jika Islam itu lebih diutamakan daripada perkara yang memang haram iaitu semangat assabiyah, semangat kebangsaan. Melayu tidak ke mana tanpa Islam. Seperti Lina Joy. Beliau adalah melayu tetapi sudah kafir dan beliau sudah tiada apa-apa nilai pada Allah kerana kemurtadannya, tetapi beliau masih Melayu.

Lebih menarik lagi, mungkin ungkapan ayat keramat dari Anwar ini akan memahamkan manusia-manusia yang taksub anti kepada UMNO yang beranggapan sesiapa sahaja yang bercakap-cakap dengan puak UMNO, maka orang itu juga adalah musuh walau yang dibincangkan adalah untuk kebaikan Islam. Memang menarik.

Hamba memang telah lama membenci UMNO kerana musuh mereka terhadap Islam. Kerana UMNOlah bangsa bukan Melayu cukup meluat dengan Islam. Tetapi, hamba tidak mahu menjadi UMNO, hamba ingin menjadi pejuang menegakkan Islam. Berdendam dan membenci yang melampau bukan sifat pejuang Islam. Sumber pejuang adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Bukan akal semata-mata.

“Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang - orang yang beriman.” Al-Anfal, 61-62.

Takkan tidak faham-faham apabila membaca ayat dari Allah ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KIRA-KIRA KOS BALIK KAMPUNG.

NABI ISA AL-MASEH LAHIR 25 DIS ATAU 1 JAN?

KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?